Pemain yang diangga gergasi bola keranjang dari China, Yao Ming merupakan pemain yang dengan sengaja ‘dicipta’ dan dibesarkan untuk sukan tersebut.
Ketika bersekolah, Yao Ming bukanlah penggemar bola keranjang. Cita-cita beliau adalah mahu menjadi tentera.
Bukan mudah untuk Yao Ming mahu menuruti kehendak kerajaan China. Malah dalam bukunya, Yao Ming sendiri pelik kenapa dia menjadi begitu besar, berbanding dengan rakan sekolah sebayanya. Dan berterusan mengambil ubatan untuk membantunya membesar?
Bertahun tahun beliau menghadiri program fizikal dan untuk meningkatkan tumbesarannya. Yao Ming seperti berkata: “Biar betik? aku kan dah tinggi?”
Dia hanya mulai mengetahui hal sebenar ketika dia remaja. Di mana sebenarnya dia adalah anak lelaki yang dilahirkan oleh ibunya atas kehendak kerajaan.
Tiada cinta cintun dalam perkahwinan ayah dan ibunya. Selepas kahwin baru fikir soal China.
Milik kerajaan China
Yao Ming antara salah seorang atlet yang dari muda, masa kanak kanaknya dirampas dan dimiliki kerajaan. Pernah dengar program pembentukan atlet China yang melibatkan paksaan ke atas kanak kanak kecil? Yao Ming salah seorang daripadanya.
Sistem ini pernah dikritik oleh media barat. Media di China tak akan berani menulis tentangnya. Kalau ada pun, penulis yang berada di luar negara.
Yao Ming terus membesar dan semakin tinggi sehinggalah dia mencapai ketinggian 228 sentimeter.
Wartawan Newsweek – Brook Larmer, telah menggelarkan projek Yao Ming sebagai Operasi Yao Ming. Ianya projek yang mereka bangunkan dan bersedia untuk digunakan pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Menurut Larmer, Yao Ming merupakan eksport sukan China yang paling berjaya di dalam sejarah. Pemain yang berjaya mendapatkan kontrak dengan NBA.
Larmer berkata: “Yao di satu sisi adalah simbol kemajuan moden China yang hebat ini, ikon komersial yang dapat merentasi Pasifik dan memainkan peranan sebagai jambatan antara Timur dan Barat,” katanya.
“Tetapi di satu sisi, dia masih merupakan produk sistem kuno yang memaksa. Yang juga merupakan salah satu benteng terakhir sosialisme di China.”
Simbol sosialis yang memaksa
Larmer mengatakan kelahiran Yao telah ditunggu selama beberapa dekad oleh pegawai komunis – yang ingin meningkatkan kebanggaan negara melalui sukan – yang telah mengejar keluarganya selama dua generasi.
Dia menerangkan sistem ini berfungsi; di mana doktor yang dilengkapi dengan manual ramalan pertumbuhan khas mengukur tulang dan rambut kemaluan anak muda untuk mengenal pasti atlet masa depan.
Atlet angkat berat mesti berjengket dengan rangka badan yang kuat; penerjun perlu memiliki pinggul kecil untuk mengurangkan percikan; pemain bola keranjang mestilah tinggi lampai.
“Bukan kebetulan ada generasi pemain yang terus bertambah tinggi,” katanya.
“Salah seorang pemantau bakat NBA terpegun dan tergamam ketika kali pertama dia pergi ke utara China dan melihat lebih dari 20 orang remaja di sana yang berketinggian lebih tujuh kaki [213cm].”
Kisah terhasilnya Yao Ming
Datuk Yao, salah seorang lelaki yang tertinggi di Shanghai. Namun dia dikesan oleh kerajaan terlambat untuk bola keranjang tetapi anaknya, Yao Zhiyuan yang berukuran 205cm, segera ditarik oleh kerajaan ke dalam sistem sukan yang berupa paksaan.
Di sana dia telah dipasangkan dengan Fang Fengdi yang berketinggian 182cm, kapten pasukan bola keranjang wanita China yang pernah menjadi Red Guards yang ditakuti semasa Revolusi Budaya meragut banyak nyawa.
Kedua-duanya diarahkan untuk berkahwin berdasarkan sistem eugenik, manipulasi gen-gen kontroversi yang menjadi salah satu daripada sistem kerajaan China.
“Itu bukan program kesuburan nasional, ini adalah keinginan di kalangan pegawai Shanghai untuk mereka berkumpul,” kata Larmer.
“Tetapi ketika Yao dilahirkan, semua orang di komuniti sukan di Shanghai dan secara nasional mengetahui bahawa dia adalah sesuatu yang istimewa.”
Bayi gergasi itu, yang baru berusia lapan tahun ketika mencapai tinggi purata untuk lelaki dewasa Cina iaitu 171cm.
Yao Ming direkrut untuk bermain bola keranjang walaupun ada bantahan ibu bapanya dan kebencian Yao Ming sendiri terhadap sukan itu.
“Walaupun ibu bapanya pada mulanya menolak untuk memasukkannya ke dalam sistem yang sama yang menyebabkan mereka menderita dan kepahitan, tetapi mereka tidak banyak pilihan,” kata Larmer.
Yao Ming benci bola keranjang
Ibunya menghantar surat rasmi untuk meminta agar anaknya yang tak suka dengan sukan itu dikecualikan daripada sistem itu. Jawapannya? TIDAK!
Kerajaan tak menerimanya. Ibu dan ayahnya harus tunduk kepada sistem ataupun mereka akan dikenakan tindakan.
“Yao Ming benci permainan itu sehingga dia berusia 10 tahun. Dia tidak menyukainya, dia tidak pandai melakukannya.”
Yao yang berusia lapan tahun memulakan program latihan intensif dan berulang-ulang di bawah pelatih disiplin yang memberikan sedikit dorongan atau semangat kepadanya.
Motivasi utama pastinya demi negara dan demi kemahsyuran dirinya sendiri. Namun untuk budak berusia 8 tahun, dia tidak memikirkan soal sebegitu. Yang dia mahukan adalah bermain di lorong dengan rakan sebayanya dan menonton kartun pada hujung minggu.
Sementara itu, saintis secara berterusan memberinya beberapa ramuan serta ubatan misteri untuk menjadikannya lebih tinggi, meningkatkan kemungkinan rawatan hormon.
Saintis sangat berhati hati, menjaga kandungan darahnya, risau Yao Ming mendapat dos berlebihan dan terkait dengan kesalahan doping.
“Dalam kes Yao, saya tidak mempunyai bukti … [tetapi] dalam jangka waktu itu pada tahun 1990-an mereka menggunakan semua jenis bahan eksperimen untuk meningkatkan stamina dan kekuatan pemain,” kata Larmer.
“Sukan adalah salah satu ukuran yang China rasa dapat meningkatkan namanya di mata dunia. Dan semangat kebangsaan begitu kuat, saya rasa itu tidak akan mudah untuk ditarik dari mereka.”
“Pingat emas telah menjadi satu ketagihan untuk mereka. Bagaimana anda membuang kebiasaan ini ketika anda sudah sampai di puncak?”
Karier Yao Ming
Yao Ming kemudian membesar menjadi atlet yang luar biasa. Beliau berjaya menjadi salah satu nama legenda di NBA. Beliau antara atlet yang paling disayangi rakyat China dan juga di seluruh dunia.
Yao Ming menyertai kelab bola keranjang remaja Shanghai Sharks.
Dengan fizikal dan baka yang diwarisi, Yao Ming terus menjadi pemain remaja elit walaupun bermula agak lewat untuk serius dalam sukan ini. Beliau akhirnya dipilih menyertai pasukan Olimpik China.
Pada 1998, Nike telah menjemput Yao Ming untuk beraksi dalam beberapa perlawanan pertunjukan di sana. Dan tidak lama selepas itu, beliau telah menjadi bintang bola keranjang China kerana aksi cemerlang dalam Shanghai Sharks dan juga pasukan kebangsaan.
Yao Ming menerima tawaran daripada NBA yang menawarkan cek bayaran sejuta dollar. Pada ketika itu, isu pemasaran dan publisiti juga memainkan peranan penting dalam usaha membawa Yao Ming ke AS pada 1999.
Namun begitu, kelab lama beliau, Shanghai Sharks telah meminta bahagian yang besar dalam perjanjian Yao Ming. Ia melanggar syarat NBA.
Kerajaan China juga enggan melepaskan Yao Ming ke AS kerana Yao Ming sedang dipersiapkan untuk sukan Olimpik Sydney 2000.
Yao Ming berjaya menunjukkan aksi menakjubkan ketika di Sydney. Yao Ming beraksi cemerlang bersama-sama Menk Batere dan Wang Zhizhi. China tewas di tangan AS 119-72.
Masuk draf NBA dan berjaya mendapatkan kontrak
Selepas aksi cemerlang beliau, Yao Ming berjaya berada dalam senarai NBA Draft pada 2001.
NBA Draft adalah merujuk kepada pemain-pemain remaja yang berpotensi untuk bermain dalam NBA. Mereka haruslah berusia 19 tahun ke atas.
Biasanya, draf ini adalah senarai daripada pemain-pemain kolej yang cemerlang di AS. Namun Yao Ming telah menjadi pemain dari luar AS yang pertama berada dalam senarai no.1 dalam draf tersebut.
Jadi, beliau ketika itu sudah boleh mengharap dan menantikan panggilan daripada NBA. NBA telah meluaskan pencarian bakat baru ke luar AS untuk tujuan promosi kepada sukan tersebut.
Untuk negara di luar AS, liga kolej yang kompetitif itu tidak ada, jadi pemilihan pemain muda dari NBA Draft ini lebih kepada pemain muda yang sudah beraksi dalam skuad kebangsaan.
Namun Yao Ming tidak berjaya menyertai NBA seperti rakannya Batere yang menyertai Denver Nuggets. Mungkin peraturan NBA Draft untuk pemain yang bukan daripada kolej AS perlu berusia 22 tahun ke atas atas status rookie.
Yao Ming terus beraksi untuk Sharks dan ditawarkan kontrak lumayan $20,000 semusim dan membantu pasukan itu menang CBA Championship pada 2002.
NBA datang kepada beliau sekali lagi. Akhirnya CBA memberikan restu Yao Ming ke NBA dan meminta bahagian kecil daripada jumlah kontrak tahunan Yao Ming.
Legenda Houston Rockets
Houston Rockets telah memenangi Yao Ming daripada NBA Draft 2002 dan Yao Ming menandatangani kontrak 4 tahun dengan mereka.
Kontrak bernilai keseluruhan $18 juta. 5% daripada jumlah kontrak itu diberikan kepada CBA.Beliau menjadi pemain kebangsaan pertama bermain dengan NBA atas tiket NBA Draft.
Kemasukan Yao Ming ke NBA ternyata memberikan kesan publisiti yang sangat kuat sama ada kepada NBA, Houston Rockets dan juga China.
Pada musim pertama sebagai rookie, Yao Ming telah menunjukkan aksi luar biasa. Jadi, beliau berjaya menepis tag yang mengaitkan beliau hanya untuk pemasaran.
Pada 17 November 2002, ketika menentang Los Angeles Lakers, Yao Ming menjaringkan 20 mata dengan 9/9 percubaan disempurnakan.
Pada akhir tahun 2002, beliau dinamakan Western Conference’s Rookie Of The Month – December 2002. Beberapa minggu selepas itu, beliau mengejutkan ramai apabila mendahului carta undian pemain tengah terbaik pilihan penyokong mengatasi Shaquille O’Neal.
O’Neal ketika itu nampak terancam dengan publisiti Yao Ming dan melancarkan serangan verbal. Media menggelarnya Shaq attack. Beliau telah mengajuk bahasa cina Yao Ming. Namun Yao Ming tenang membalas:
“Tak apalah, saya pun dulu susah nak cakap Cina bila masih kecil.”
Gentle Giant
Yao Ming kemudian memperbaiki Bahasa Inggeris beliau dan dia sendiri tampil yakin bercakap dengan media lebih kerap.
Beliau mulai digelar “Gentle Giant” dan menjadi idola penyokong di Houston kerana keperibadiannya yang lembut dalam tutur kata dan tidak mudah melatah.
Ketika musim pertama beliau menjadi rookie, tiket bermusim di Compaq Center telah dijual habis. 2,000 lebih banyak daripada musim sebelum itu. Yao Ming terus menjadi buruan syarikat gergasi untuk mendapatkan publisiti beliau.
Dengan imej beliau yang bersih dan disukai peminat, beliau berjaya menarik tajaan Apple Computer, Visa dan kemudian perjanjian mega $100 juta dengan Reebok. Ia kekal menjadi perjanjian paling besar Reebok dengan atlet sukan setakat ini.
Di China, beliau terus menjadi kuasa publisiti yang besar termasuk dengan jenama Yanjing dan China Unicom.
Pada musim 2003, beliau meneruskan musim cemerlang dengan 17.5 mata untuk setiap perlawanan dan 9 rebound untuk setiap perlawanan.
Beliau menjaringkan mata paling tinggi dalam karier ketika menentang Atlanta Hawks pada Februari 2004 dengan 41 mata. Beliau membantu Rockets mara ke NBA playoffs tetapi tewas di tangan LA Lakers.
Di kalangan rakan-rakan sepasukan, beliau dipanggil Dinasti Ming. Merujuk kepada dinasti agung di China bernama Dinasti Ming.
Bekas rakan sepasukan beliau, Moochie Norris kagum dengan kemahiran hantaran Yao Ming.
“Apabila dia suruh kamu bersedia dan menjerit nama kamu. Kamu akan melihat bola sampai kepada kami tak kira sukar dan sempit macamana pun situasi.”
Beliau terus berkhidmat untuk negaranya dan bermain dalam Sukan Olimpik Athens 2004. Beliau dipilih sebagai pemegang bendera untuk kontinjen China. Beliau sekali lagi menjadi atlet tertinggi dalam temasya olimpik.
Dalam NBA hanta Shawn Bradley yang lebih tinggi daripada beliau dengan 7 kaki 6 inci. Kerana pengaruh Yao Ming, perlawanan Rockets pernah ditonton 14 juta penonton di China.
Beliau juga diarak oleh penyokong beliau setiap kali kembali ke tanah air. Peter Hessler menceritakan yang Yao Ming seorang yang sangat sayangkan negaranya.
Beliau sentiasa mahu pulang ke China bila sahaja ada peluang berbanding dengan beberapa atlet NBA lain yang lebih mendambakan malam pesta di Vegas.
“Tetapi dia dahulu mahu popular sebagai saintis ataupun ahli politik. Tapi sekarang, siapa kisah, dia pun tetap popular sebagai pemain bola keranjang.”
Yao Ming terlalu sayangkan Houston Rockets. Beliau tidak pernah terfikir untuk menyertai pasukan NBA lain. Beliau menghargai apa yang kelab telah lakukan kepada beliau. Beliau bersara pada Julai 2011.
Pernah sekali dalam satu ucapan beliau, Yao Ming menceritakan tentang sekeping wang $1 dollar yang sentiasa dibawanya ke sana kemari.
“Dahulu, ketika musim pertama saya di sini. Rakan-rakan saya dan coach telah membuat satu kejutan sempena Tahun Baru Cina.”
“Saya mendapat satu angpau diisi $2 dollar di dalamnya. Ia adalah tradisi kami di China untuk hadiah. Saya masih simpan duit itu sehingga hari ini.”
“Kerana, setiap kali saya berjalan ke mana sahaja, apabila saya membuka dompet saya dan melihat wang itu, saya tahu yang ‘rumah saya’ sentiasa di sisi saya.”
Ucapan Yao Ming menyentuh perasaan ramai peminat ketika itu yang bertepuk tangan. Houston Rockets telah mengambil keputusan untuk merehatkan no.11 kepunyaan Yao Ming tanda penghargaan kepada legenda mereka itu.
Legenda sejati
Itulah kisah Yao Ming. Di sebalik kelegendaannya, ada kisah yang sukar untuk keluarganya dan beliau ketika kecil. Walau apapun cara dia sampai ke kemuncak, Yao Ming adalah legenda.
Namun beliau tetap berjaya menjadi salah seorang pemain bola keranjang legenda sepanjang zaman kerana disiplin dan semangatnya demi negara kesayangannya.