Yusuf Dikec Rimas Pakai Peralatan Khas: “Saya Semulajadi, Tak Suka Pakai Kelengkapan Tu”

Kisah Yusuf Dikec yang memenangi perak dalam acara menembak di Sukan Olimpik 2024 menjadi sensasi. Melebihi cerita pemenang emas. Kerana gayanya bersahaja tanpa peralatan khas seperti atlet lain.

Dia dengan gaya santai dan penuh keyakinan dengan tangan sebelah di dalam poket. Pada usianya 51 tahun, dia hanya memakai cermin mata kanta yang biasa untuk kegunaan harian.

Bukan sebab Turki tak mampu memberikan peralatan canggih itu. Kerana Turki menyediakan peralatan kepada atlet lain sesuai dengan keperluan mereka.

Namun untuk Yusuf Dikec, dia yang berstatus legenda diberikan pengecualian khas atas permintaan dia sendiri. Dia menyatakan bahawa dia rimas memakai peralatan yang terlalu banyak dan rumit.

Dia lebih suka tampil dengan ringkas dan semulajadi dalam menembak. Dia sudah terbiasa bergantung kepada naluri .

“Ya, saya tak suka memakai peralatan khas. Saya tak perlukan peralatan khas, sebab saya seorang penembak semulajadi dan saya seorang yang semulajadi,” tegasnya.

Dikec berjaya meraih perak bersama pasangan duonya, Sevval Ilayda Tarhan dalam acara 10 meter pistol angin. Dan ianya pingat sulung Turkiye dalam acara menembak di Sukan Olimpik.

Dikec bergaya santai sementara Sevval Ilayda sama seperti penembak lain menggunakan lensa khas untuk membantu menajamkan lagi penglihatan dan juga set kepala anti bunyi di telinganya.

Mereka kalah di tangan Mikec dan Zorona Arnovic dari Serbia. Sementara India meraih gangsa menerusi Manu Bhaker dan Sarabjot Singh.

Dalam acara individu, Dikec berada di tangga ke-13. Dan dia berjaya menamatkan acara duo di tempat kedua. Sasarannya adalah untuk beraksi di Olimpik 2028 sambil menyatakan: “Saya berharap pada masa itu nanti saya akan menang emas.”

Siapakah Yusuf Dikec?

Dia merupakan rakyat Turkiye yang lahir pada 1973 di perkampungan Goksun, di daerah Kahramanmaras. Selepas tamat belajar sekolah menengah, dia menyertai akademi tentera pada 1994 di Ankara. Dia berjaya graduasi dan memulakan kerjaya tentera di Mardin.

Pada 1999, Dikec memasuki Sekolah Tentera Gendarmarie. Dan dia dianugerahkan pangkat Sarjan. Berkhidmat di Istanbul selama setahun dan kemudian dia dipindahkan ke Jandarma Gucu di Ankara. Alasan utama adalah kerana dia mulai menunjukkan bakatnya dalah arena sukan untuk acara menembah.

Di Ankara dia mulai terlibat aktif dalam acara sukan menembak bermula 2001. Dia cemerlang di pertandingan peringkat antara tentera dan juga di peringkat kebansgaan. Dan mulai menjadi wakil negaranya dalam acara menembak.

Satu tabiatnya sejak dari dulu adalah, dia menembak dengan bawa diri sahaja. Dia tak guna peralatan yang canggih kerana dia menyatakan peralatan itu mengganggu fokusnya, membuatkan dia rimas.

Selain daripada menjadi atlet menembak, dia juga pemegang ijazah dalam bidang Pendidikan Jasmani Dan Sukan di Universiti Gazi di Ankara.