Pemilik pasukan Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman hari ini membongkar surat MFL kepada beliau yang penuh dengan cara merba.
Antaranya MFL menyatakan bahawa ZamSaham merupakan individu yang mengambil alih Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedangkan beliau hanya mengambil alih pasukan Kelantan FC.
Berikut kenyataan oleh ZamSaham menerusi Facebook beliau:
SURAT BALAS MFL YANG SUDAH DIHANTAR LEBIH AWAL SEBAGAI JAWAPAN ISU PEMOTONGAN 3 MATA KELANTAN FC.
BACA TELITI DGN HATI TERBUKA
15 Januari 2021
MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE
Arena Futsal FAM,
Jalan SS5A/9 Kelana Jaya,
47301 Kelana Jaya,
Petaling Jaya, Selangor
Tuan/Puan,
Per: KENYATAAN DI PLATFORM MEDIA SOSIAL FACEBOOK “ZAMSAHAM”
Saya merujuk kepada perkara di atas dan surat daripada pihak Malaysian Football League (“MFL”) bertarikh 14 Januari 2021 (“Surat MFL”).
2. Merujuk kepada perenggan 3 surat daripada MFL bertarikh 14 Januari 2021 yang dirujuk di atas, saya menegaskan bahawa syarikat saya, Team Red Warriors Sdn Bhd (“TRW”) BUKAN MENGAMBIL ALIH PEMILIKAN PERSATUAN tetapi mengambil alih pemilikan penuh pasukan bola sepak Kelantan (“Kelantan FC”). Ianya merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan kerana pihak MFL tidak tahu membezakan antara PERSATUAN dengan PASUKAN yang bertanding.
3. Oleh yang demikian, kami ingin memberikan pencerahan dan menegaskan bahawa Team Red Warriors Sdn Bhd dan Persatuan Bolasepak Kelantan adalah merupakan dua entiti yang berasingan (separate legal entity) antara satu sama lain.
4. Sebagai Ketua Pengarah Eksekutif MFL, Dato’ sewajarnya dan sepatutnya mempunyai pemahaman yang lebih tepat berkenaan dengan pemilikan pasukan-pasukan bola sepak yang bertanding di Liga Malaysia termasuklah Kelantan FC dan jelas dengan status mereka.
5. Seperti yang dinyatakan dalam perenggan 4 Surat MFL, sebagai salah satu daripada PEMEGANG TARUH KEPADA LIGA MALAYSIA, pihak TRW dengan segala hormatnya memohon pihak MFL untuk bertindak dengan lebih telus dan profesional secara:-
a. Mengadakan mesyuarat, perbincangan, perjumpaan dan/atau pertemuan antara pihak-pihak; antara lainnya pemilik kelab;
b. Mengemukakan dan membentangkan akaun, transaksi dan kesemua urusan kewangan berkaitan MFL, bagi meningkatkan kredibiliti, ketelusan dan pematuhan oleh kesemua pihak dengan lebih efektif di tahap yang tertinggi.
Setakat hari ini, pihak Kelantan FC masih belum menerima sebarang laporan audit akaun MFL terdahulu atau memberikan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan;
c. Lain-lain cara, inisiatif atau usaha yang dirasakan perlu dan penting bagi membolehkan mutu dan kualiti Liga Malaysia dipertingkatkan dari segenap aspek termasuklah pengurusan.
6. Setakat pada hari ini, saya tidak pernah dipanggil untuk sebarang mesyuarat, perbincangan, perjumpaan atau pertemuan antara pihak MFL dengan semua pemilik- pemilik kelab yang bertanding dan/atau pemegang taruh di dalam Liga Malaysia.
7. Selain itu, pihak TRW menegaskan bahawa TRW tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan dan menimbulkan tanggapan negatif terhadap MFL, Liga Malaysia dan/atau mana-mana pihak, sekaligus mengundang dan menimbulkan sebarang kesan dan implikasi negatif secara langsung dan tidak langsung kepada mana-mana pihak termasuklah MFL dan TRW.
Apa yang dibuat adalah dengan satu misi iaitu untuk meningkatkan credibility, transparency dan good corporate governance yang seterusnya akan meningkatkan taraf dan value keseluruhan Liga Malaysia.
Isu utama adalah kegagalan pihak En Stuart Ramalingam untuk memastikan kenyataan media beliau adalah benar dan merujuk/consult terlebih dahulu sebagaimana di paparkan di Media Berita Harian pada 14 Januari 2021 bertajuk KELANTAN FC BOLEH DIPOTONG 3 MATA.
8. Berkenaan dengan perenggan 5 Surat MFL, TRW merujuk kepada jadual yang dilampirkan, antara lainnya, seperti yang berikut:-
Kesalahan Keempat:
(i) Untuk kenyataan yang dibuat oleh pegawai pasukan
– Pegawai pasukan tersebut dilarang daripada memasuki kawasan stadium untuk tempoh minimum 6 bulan dan maksimum 2 bulan
9. Pihak TRW memohon penjelasan yang telus dan terperinci daripada pihak MFL berkaitan dengan tindakan dan/atau denda yang dinyatakan kerana mengelirukan pihak TRW dan sama sekali tidak masuk akal iaitu tempoh larangan minimum sebanyak 6 bulan tetapi maksimum sebanyak 2 bulan.
10. Berkenaan dengan isu media Berita Harian bertarikh 14 Januari 2021 tentang pemotongan mata yang mungkin dikenakan kepada Kelantan FC sekiranya Persatuan Bolasepak Kelantan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain-pemain terdahulu, pihak MFL sepatutnya dan sewajarnya merujuk, dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (“FAM”) dan/atau mana-mana pihak berkaitan termasuklah pihak media, dan mengambil sebarang tindakan yang berkenaan, termasuklah penyiasatan dan/atau semakan mengenai ketepatan sesuatu perkara sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau sebaran maklumat terlebih dahulu.
Saya dan pasukan The Red Warriors Kelantan FC berterima kasih atas keprihatinan Tuan akan pasukan Kelantan FC.
Semoga MFL lebih telus dan teliti dalam menguruskan liga di dalam musim Covid-19 yang sangat mencabar ini.
Sama-samalah kita memajukan industri bola sepak yang sudah lama mahukan ranking yang lebih baik dari kacamata penyokong dan penggiat industri bolasepak tanahair. Kita mahukan tahap liga yang lebih berkualiti dan seterusnya ranking dunia 153 sekarang naik ke paras yang lebih baik.
Nota editor: Di atas adalah kenyataan rasmi pihak CEO Kelantan FC.