Zaniolo Cedera Lagi, Sebelum Ini Alami 13 Siri Kecederaan, 2 Kali ACL, Rehat 525 Hari

Kecederaan adalah sesuatu yang dielakkan dan tidak diingini oleh mana-mana pemain bola sepak. Malangnya, perkara buruk telah berlaku kepada pemain muda AS Roma yang berbakat, Nicolo Zaniolo.

Dia dijangka akan tersisih sekurang kurangnya sebulan kerana bahu yang terkehel. Kecederaan terbaru menambahkan lagi senarai panjang siri kecederaan pemain bola sepak Itali.

Nicolo Zaniolo adalah pemain yang sangat berbakat. Malah satu ketika pernah dianggap jelmaan Kaka.

Dia sendiri merupakan peminat setia legenda Brazil itu.

Namun karier Zaniolo dihiasi oleh banyak sekali siri kecederaan. Membuatkan dia dianggap salah seorang pemain paling malang setakat ini.

Beberapa hari lalu dia dikaitkan dengan perpindahan ke EPL denga  Tottenham Hotspur mahukannya. Namun Roma mahu mengekalkan pemain itu.

Dan kini pemain itu terpaksa berada di bilik fisio sekali lagi. Kerana dia perlu menjalani rawatan pemulihan bahu.

Kecederaan ini bukan kali pertama dialami Nicolo Zaniolo. Itu kerana kerjaya awalnya bersama AS Roma berjalan lancar sehingga kecederaan ligamen cruciate (ACL) berlaku pada Januari 2020. Ia menamatkan musimnya dengan pantas buat pertama kali dalam kerjaya profesional di Serie A.

Nicolo Zaniolo tidak patah semangat. Dia bergelut untuk pulih pada masanya apabila pertandingan ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Selepas berhempas pulas, Nicolo Zaniolo berjaya pulih. Kemudian, dia bermain beberapa perlawanan selepas pertandingan dimulakan semula. Tetapi, satu lagi musibah datang. Dia sekali lagi mengalami kecederaan ligamen cruciate (ACL) pada September 2020. Itu menyebabkan dia tidak dapat bermain sepanjang musim 2020/2021.

Ia adalah tamparan hebat buat Nicolo Zaniolo, yang terpaksa hanya menyaksikan kejayaan Itali di Euro 2020 sebagai penonton.

Nasib malang Nicolo Zaniolo belum berakhir. Musim lalu, Nicolo Zaniolo juga terlepas beberapa perlawanan dengan pelbagai masalah kesihatan, dari lutut hingga sakit otot.

Kini, pemain berusia 23 tahun itu kembali terpaksa bekerja keras untuk pulih daripada satu lagi kecederaan yang mengecewakan. Dia akan tersisih sekali lagi kira kira sebulan dengan bahu yang terkehel.

Doktor tetap menyatakan bahawa Zaniolo mungkin harus berasa lega kerana mengelak patah bahu atau tulang selangka. Jika tidak, kecederaan itu adalah lebih serius.

Sejak 2019/20, Zaniolo mengalami 13 siri kecederaan dan memaksanya berehat 525 haru secara terkumpul setakat ini. Pastinya 2 kecederaan ACL adalah yang paling berat untuk ditanggungnya.

Dan kini senarai itu akan menjadi 14 dengan kecederaan bahunya yang terbaru.

Baca yang lain