Mantan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak hanya memberi layanan ‘istimewa’ kepada segelintir bekas pemain bola sepak atau atlet sahaja.
Sebaliknya, Zolkples mahu KBS lebih proaktif dalam mengambil tahu kebajikan bekas pemain bola sepak dan atlet terutama mereka yang sudah bersara serta tidak lagi aktif dalam arena sukan.
Ramai bekas atlet yang memerlukan bantuan di luar sana dan berdepan dengan masalah kewangan.
Dipetik dari BH Online, Zolkples Embong berkata: “Ramai lagi bekas pemain yang mengalami masalah sama seperti Khalid.”
“Tetapi sayangnya, tidak mendapat perhatian sewajarnya.”
“Kita pun perlu beri perhatian khususnya kepada mereka yang tidak sempat merancang untuk masa depan kerana berdepan kecederaan yang tidak dijangka.”
Beliau kemudian mengingatkan Wan Ahmad Fayshal agar lebih teliti di dalam tindakannya dalam isu ini dan mengambil penyelesaian yang terbaik.
“Apapun, saya nasihatkan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan (Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal) supaya lebih berhati-hati kerana selepas ini, saya pasti ramai bekas pemain bola sepak dan bekas atlet dari sukan yang lain akan beratur untuk meminta bantuan di pejabatnya,” katanya.
Lantas Zolkples mencadangkan agar langkah alternatif yang lebih baik diambil untuk membantu para bekas pemain dan atlet termasuk Khalid Jamlus.
Ini selepas beliau mendengar Khalid Jamlus berhadapan dengan masalah kewangan dan terpaksa melepaskan koleksi peribadinya termasuklah Anugerah Kasut Emas yang dimenangi 18 tahun lalu.
“Saya difahamkan mereka ada pertemuan, jadi kita tunggu apa hasilnya. KBS mungkin boleh beri tawaran yang lebih baik daripada apa yang diterimanya kalau dia menjual koleksinya.”
Zolkples anggap ramai lagi bekas pemain bola sepak, atlet hadapi masalah sama#BHsukan https://t.co/Ox1F0jmYro
— Berita Harian (@bharianmy) July 8, 2020
“Kita faham mungkin dia terpaksa mengambil jalan itu, jadi sekiranya dia mendapat tawaran lebih baik, tidak perlulah sampai dia terpaksa melelong semua koleksinya itu,” katanya.
Sebagai rekod, Khalid Jamlus menyatakan beliau mendapat bidaan setinggi RM40,000 untuk kasut emas miliknya.
Dan beliau sudah memutuskan untuk melepaskan kasut emas itu kepada tuan baharu.
#BHSukan: Pertemuan bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan positifhttps://t.co/vDcKV1FcmP
— Berita Harian (@bharianmy) July 8, 2020
Selain itu, Khalid turut menjual beberapa memorabilia lain termasuk jersi treble miliknya.
Zolkples turut mengingatkan para pemain bola sepak dan atlet supaya sentiasa memiliki perancangan untuk hari tua.
Ini untuk membantu mereka daripada terjerumus ke dalam masalah kewangan selepas mereka bersara daripada arena sukan.
“Ketika sedang berada di puncak, mereka perlu sentiasa beringat dan mula merancang kerana apa sahaja boleh terjadi pada masa akan datang,” katanya lagi.