England 1 Romania 0: Three Lions Catat Kemenangan Ke-6 Berturut-Turut

England berjaya menewaskan Romania 1-0 dalam perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Riverside, Middlesbrough sebelum bermain di Piala Eropah.

Jaringan tunggal Marcus Rashford pada minit ke-68 sudah cukup buat skuad bimbingan Gareth Southgate melakarkan kemenangan ke-6 berturut-turut.

Aksi luar biasa penjaga gol, Samuel Johnstone juga menjadi faktor penting England meraih kemenangan tersebut.

Johnstone berjaya menyelamatkan 4 percubaan dan 1 darinya boleh menghasilkan gol buat Romania jika tidak kerana kecemerlangan penjaga England itu.

Pertemuan ini merupakan perlawanan kedua yang disusun oleh pasukan England. Tiga hari lepas England menewaskan Austria dengan angka jaringan yang sama.

Pada kali ini, Rashford telah diberi peranan sebagai kapten pasukan, menjadikan pemain Manchester United ini kapten paling muda selepas Michael Owen.

Rashford kini berusia 23 tahun 218 hari dan Michael Owen berusia 23 tahun 179 ketika menjadi kapten pasukan England pada tahun 2003.

England menguasai permainan babak pertama namun gagal menghasilkan sebarang gol.

Pada minit ke-10 Romania terlebih dahulu menguji gawang England melalui percubaan dari Razvan Marin, namun percubaannya agak lemah.

Setengah jam permainan England terus buntu dan gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.

Peluang ke-2 Romania hadir pada minit ke-30 melalui percubaan dari Constantin Paun-Alexandru, sekali lagi diselamatkan oleh Johnstone.

Selepas itu, Jack Grealish dan James Ward-Prowse mencipta 2 peluang keemasan namun gagal diterjemahkan kepada gol.

Separuh masa pertama berakhir dengan 0-0.

England mula menekan Romania pada minit ke-63, 5 minit kemudiannya Grealish melakukan larian ke dalam kotak penalti dan dia ditolak oleh Tiberiu Capusa.

Pengadil perlawanan Thiago Martins dari Portugal tidak teragak-agak menghadiah sepakan penalti. Rashford mudah memperdayakan Florin Nita untuk meletakkan England dihadapan.

Andrei Virgil Ivan berpeluang menyamakan kedudukan apabila mengutip bola lantunan tetapi sekali lagi Jonhstone berada ditempat yang tepat untuk menyelamatkan percubaannya.

HENDERSON GAGAL SUDAHKAN PENALTI

England dihadiahkan satu lagi penalti apabila Vlad Chiriches terlalu agresif menyekat kemaraan Dominic Calvert-Lewin dalam kotak penalti.

Kali ini Nita melakukan aksi cemerlang menyelamatkan sepakan dari pemain Liverpool, Jordan Henderson.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat permainan.

Barisan Eksperimen Southgate Tewaskan Austria 1-0 Tetapi…

Southgate hanya mengekalkan 2 pemain dari kesebelasan utama menentang Austria iaitu Grealish dan Tyrone Mings.

Southgate sekali lagi melakukan eksperimen, memberi peluang kepada beberapa pemain yang tidak berada dalam senarai ke Piala Eropah.

Ben Godfrey, Ben White dan Ward-Prowse berada dalam kesebelan utama dan Jesse Lingard dimasukan pada 15 minit terakhir perlawanan.

Akibat terlalu ramai menggunakan pemain luar senarai, hampir 8 pemain tidak sempat diberi aksi pemanas badan termasuk beberapa pemain yang masih dalam proses pemulihan.

Reece James, Ben Chilwell, Harry Maguire, Kyle Walker, John Stone, Mason Mount, Phil Foden dan Rahem Sterling antara pemain yang tidak terlibat dalam 2 perlawanan tersebut.