Greenwood Gagal Pindah Ke Marseille Gara Gara Ligue 1 Tak Ada Nilai Komersial

Manchester United masih gagal menjual Mason Greenwood. Dengan Erik Ten Hag sebelum ini sudah menyatakan dia tidak mahukan pemain tersebut.

Greenwood ketika ini masih bercuti selepas musim pinjaman yang cemerlang di Getafe.

Man United berusaha mendapatkan pembeli pemain tersebut. Namun halangan utama adalah dari segi harga dan juga gaji Greenwood.

Sebelum kes Greenwood pukul aweknya, dia sempat melanjutkan kontrak baharu di United yang menyaksikan gajinya sangat tinggi.

Pemain berusia 22 tahun itu berdepan dengan tindakan tegas daripada kelab walaupun dia dibebaskan oleh mahkamah daripada kes kelakuan kawalan melampau dan kes serangan seksual.

United meminjamkan pemain itu ke Getafe sebagai usaha untuk membantu kelab itu mencari kelab baharu. Dia berjaya mempamerkan aksi cemerlang di sana walaupun berdepan cemuhan peminat lawan setiap minggu.

Pemain itu menjaringkan 8 gol dan 6 assist untuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik Getafe Musim 2023/24.

Beberapa kelab memantau perkembangan Greenwood termasuk Barcelona, Borussia Dortmund, Juventus, Lazio dan Atletico Madrid. Dan terbaru Marseille juga berminat dengannya.

The Athletic minggu ini melaporkan bos baharu Marseille, Roberti De Zerbi mahu membawa Greenwood ke kelab itu. Rundingan sudah dibuat antara Marseille dan wakil Greenwood. Dengan pengurusan tertinggi Marseille diberitahu bahawa mereka kini menjadi kelab pilihan utama Greenwood.

Namun masalah utama adalah harga. United meminta £40 juta untuk pemain itu sama seperti yang mereka beritahu kepada kelab lain sebelum ini.

Inilah juga sebab Barcelona, Atletico dan Borussia Dortmund menarik brek dalam rundingan mendapatkan pemain itu. Juventus pula sedia menawarkan pakej pertukaran pemain tambah cash.

Namun United mahukan wang sahaja dan tiada perjanjian pinjaman lagi untuk Greenwood.

Akibat tanda harga ini, L’Equipe melaporkan bahawa Marseille tidak mungkin akan membayar angka itu yang dianggap terlalu mahal.

Marseille dan beberapa kelab Perancis lain ketika ini tidak ada pendapatan yang terjamin untuk musim baharu. Kenapa?

Ianya kerana Ligue 1 masih gagal mendapatkan badan penyiar rasmi liga itu. Ligue 1 ketika ini benar benar terdesak mencari penyiar rasmi yang sedia membayar mereka. Lebih lebih lagi selepas pemain seperti Neymar dan Mbappe blah, Ligue 1 dianggap tiada nilai komersial.

Baca sini:

Parah! Ligue 1 Masih Belum Dapat Penyiar Rasmi Musim Baru

Selain itu Marseille berisiko terkena hukuman FFP jika membayar jumlah itu kerana mereka gagal layak ke pertandingan eropah musim akan datang setelah menamatkan saingan di tangga kelapan.

Menurut perancangan, Greenwood akan melapor diri ke Man United pada minggu hadapan jika dia gagal berpindah ke mana mana kelab.

Man United yang masih berkeras dengan tanda harga pemain itu kini berharap Erik Ten Hag akan membuka pintu hatinya untuk menerima Greenwood dalam perancangannya.

Ten Hag ketika ini masih bercuti dan dia hanya boleh memikirkan semula perkara itu apabila dia kembali semula ke kelab.

Sebelum ini Ten Hag hampir kehilangan jawatannya. Namun dia mendedahkan dia didatangi pegawai United yang datang ke tempat penginapan percutiannya memaklumkan kelab akhirnya setuju untuk memberikan dia kontrak baharu.

Ini selepas kelab gagal mencapai kesepakatan dengan Tuchel dan Pochettino. Kerana ada beberapa konflik pendapat dalam rundingan mereka. Kelab akhirnya merumuskan Ten Hag adalah pengurus terbaik yang ada untuk mengendalikan projek di United pada masa ini. Lebih lebih lagi selepas dia membantu kelab itu menjuarai Piala FA.

Adakah Ten Hag akan mempertimbangkan untuk menerima Greenwood sebagai sedikit budi bicara dan balasannya kepada kepercayaan kelab kepadanya?

Namun begitu, Greenwood masih perlu meyakinkan Sir Jim Ratcliffe bahawa dia adalah pemain yang tepat untuk kelab itu. Hal ini kerana sebelum ini SJR membayangkan bahawa United tidak mahukan Greenwood setelah apa yang berlaku.

Kerana imej dan reputasi kelab itu harus diberikan keutamaan oleh mereka sebagai kelab paling berpengaruh di dunia.