Napoli: Bangkit Dari Muflis Dan Juara Serie A Sekali Lagi Selepas 33 Tahun

Napoli memenangi kejuaraan Serie A Itali pertama mereka dalam tempoh 33 tahun. Kelab itu rasmi merangkul Scudetto pada Khamis dengan keputusan seri 1-1 di Udinese.

Napoli hanya memerlukan keputusan seri untuk berada di atas dengan jarak 16 mata, dengan baki lima perlawanan.

Penjaring terbanyak Serie A, Victor Osimhen, menyamakan kedudukan untuk Napoli pada minit ke-52 untuk mencetuskan sambutan liar di seluruh Naples, di dalam stadium di Udine dan di beberapa kawasan lain.

Scudetto ketiga

Gelaran kejuaraan liga itu adalah gelaran ketiga Napoli dalam divisyen teratas Itali dan yang pertama sejak era pemain legenda Argentina Diego Maradona membawa mereka ke kejuaraan pada 1987 dan 1990.

Stadium yang menjadi markas Napoli dinamakan semula sebagai penghormatan kepada Maradona selepas kematiannya pada November 2020.

Jurulatih Napoli Luciano Spalletti berkata impak Maradona “dirasai dalam kejayaan kali ini.”

“Napoli, ini untuk anda,” tambahnya. “Ada orang di sini yang akan dapat melalui detik-detik sukar dalam hidup mereka kerana mereka mengingati saat ini. Mereka ini berhak mendapat semua kegembiraan.”

Napoli sebelum ini berpeluang melakar kejuaraan di tempat sendiri pada hari Ahad tetapi melepaskan gol penyamaan lewat kepada Salernitana untuk melanjutkan penantian empat hari lagi.

Mereka masuk ke perlawanan Khamis dengan mengetahui satu mata sudah memadai, walaupun selepas pencabar terdekat Lazio menewaskan Sassuolo sehari lebih awal.

Selain 11,000 penyokong Napoli di dalam dan 5,000 lagi di luar stadium di Udine di utara Itali, lebih 50,000 penonton menyaksikan perlawanan itu di skrin besar di Stadio Diego Armando Maradona di Naples.

Di Udine, peminat meraikan menceroboh padang pada wisel penamat.

.. manakala di Naples terdapat pesta bunga api.

“Anda selalu memberitahu saya, ‘Kami mahu menang,’ dan kini kita telah menang. Kita telah menang bersama-sama,” kata presiden Napoli Aurelio De Laurentiis kepada penonton di stadium Naples sebelum dia memeluk Datuk Bandar Naples Gaetano Manfredi.

Bangkit daripada kemuflisan

De Laurentiis mengambil alih kelab itu pada 2004 apabila Napoli diisytiharkan muflis, memulakan semula era di divisyen tiga.

Pada masa itu, tiada siapa pun yang pernah bermimpi bahawa Napoli akan mampu menjadi juara Itali sekali lagi. Ianya cuma impian kosong.

“Ini adalah pertabalan impian yang telah berlangsung selama 33 tahun,” tambah De Laurentiis. “Ia adalah satu proses yang panjang,” kata Laurentiis yang menamatkan kemarau kejuaraan Serie A selepa 12,058 hari lamanya.

Ia adalah kali pertama sebuah kelab di selatan ibu kota bola sepak tradisional Itali iaitu Milan dan Turin telah memenangi liga sejak Roma merangkul kejuaraan pada 2001.

Napoli menyamai rekod kemenangan dengan baki lima pusingan, berkongsi dengan Torino (1947-48), Fiorentina (1955-56), Inter Milan (2006-07) dan Juventus (2018-19).

Pastinya pesta kejuaraan ini akan berlangsung sepanjang minggu minggu terakhir dalam Serie A dan juga pada pesta perarakan.

Lebih penting kejayaan ini akan dikenang buat selama lamanya, sama seperti sebelum ini pada era Maradona.

Pasukan Spalletti tidak tewas dalam 15 perlawanan pertama kempen, termasuk 11 kemenangan berturut-turut.

Selepas kekalahan pertama mereka, di tempat lawan di Inter, Napoli segera mencatatkan kemenangan lapan perlawanan untuk mendahului 18 mata di puncak dan meletakkan cengkaman pada Scudetto.

Pasukan itu telah diketuai oleh Osimhen, yang selayaknya merangkul gelaran kejuaraan pada Khamis dengan gol ke-22 liganya.

“Saya gembira untuk semua peminat Napoli di seluruh dunia,” kata Osimhen.

“Tiada siapa yang layak mendapat Scudetto lebih daripada Neapolitan — lebih daripada kita.”

“Saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, saya hanya mahu mendapatkan Scudetto.”

Osimhen, Kvaratskhelia dan Spalletti, legenda baru Napoli

Ia adalah gol yang ke-46 Osimhen dalam karier Serie Anya, menyamai bekas pemain terkemuka AC Milan dan Presiden Liberia semasa George Weah sebagai penjaring terbanyak Afrika di Itali pada masa ini.

Seorang lagi pemain yang menyerlah ialah pemain sayap Khvicha Kvaratskhelia, yang tiba sebagai pemain yang tidak dikenali dari Georgia musim panas lalu dan menjadi sensasi, menjaringkan 12 gol liga dan menambah 10 bantuan gol.

Penantian kejuaraan liga dilanjutkan selepas bulan yang sukar pada bulan April, apabila Napoli berjaya hanya dua kemenangan dalam tujuh perlawanan dalam semua pertandingan dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah.

Napoli, bagaimanapun, pada awal musim tidak dianggap sebagai pencabar kejuaraan selepas pemergian bekas kapten Lorenzo Insigne, penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab, Dries Mertens dan pertahanan berkelas dunia Kalidou Koulibaly.

Gelaran kejuaraan itu juga memberikan jurulatih Napoli Spalletti satu penghormatan yang paling didambakannya selepas sebelum ini menguruskan Roma dan Inter serta memenangi dua kejuaraan liga Rusia bersama Zenit St. Petersburg.

Napoli seringkali menjadi pasukan yang mempamerkan aksi mengujakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun seringkali hampa pada separuh kedua musim dan gagal memenangi trofi.

Selepas banyak kisah duka, kini mereka berhak meraikannya!