Malaysia dibelasah oleh Emeriyah Arab Bersatu (UAE) 4-0 pada perlawanan ke-6 peringkat kedua kelayakan Piala Dunia. Dengan keputusan tersebut, Malaysia jatuh ke tangga ke-4 kumpulan G dengan kutipan 9 mata.
Walaupun secara matematik Malaysia masih boleh menjadi juara kumpulan, dengan situasi semasa boleh dikatakan pintu untuk itu sudah tertutup.
Vietnam dan UAE kini berada di kedudukan kedua teratas. Kedua-dua pasukan ini mempunyai kurang 1 perlawanan berbanding Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Dalam perlawanan lain Thailand diikat 2-2 oleh Indonesia. Vietnam dan UAE menjadi calon berentap merebut kejuaraan dan ianya bakal terjawab pada 15 Jun nanti.
Pasukan UAE kali ini agak berbeza dengan 2019, pasukan yang menewaskan Malaysia 2-1 di Bukit Jalil. UAE mempunyai 3 pemain naturalisasi dan 1 darinya berada dalam kesebelasan utama.
Tidak kurang hebatnya, Malaysia juga mempunyai 3 pemain naturalisasi baharu iaitu Dion Cools, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.
3 pemain ini menyertai Mamadou Sumareh untuk berada di dalam kesebelasan utama. Disamping itu Malaysia diperkuatkan oleh 3 lagi pemain kacukan iaitu Matthew Davies dan Lavere Corbin Ong.
Namun masih gagal mengekang kualiti pemain yang dimiliki oleh UAE.
Majoriti permainanan Malaysia hanya memenuhi kawasan sendiri-selama 82 minit. Walaupun cukup berhati-hati di bahagian bawah, ia tidak menghalang penyerang sensasi UAE, Ali Mabkhout dari menjaringkan gol pendahuluan untuk pasukannya.
Virgino De Lima membunuh perlawanan melalui jaringannya pada minit ke-82. Malaysia membuang permainan dengan melakukan lebih serangan pada minit terakhir permainan.
Malaysia seharusnya mendapat 1 sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan lawan, namun tidak diberikan oleh pengadil perlawanan.
UAE menambah 2 lagi jaringan dalam masa kecederaan sekali lagi melalui Mabkhout dan De Lima. UAE menang besar, Malaysia terkulai seperti apa yang dijangkan.
Selain dari corak permainan secara keseluruhan, apa yang menjadi topik hangat oleh penyokong bola sepak Malaysia adalah sumbangan pemain naturalisasi.
Guilherme De Paula menjadi subjek teratas selain Liridon Krasniqi, kedua-dua gagal menampilan kualiti lebih dari pemain tempatan.
Pada musuim 2017 De Paula mempunyai musim cemerlang bersama Kuala Lumpur apabila meledak 27 gol dari 22 perlawanan Liga Perdana.
De Paula menambah 22 gol lagi pada 2 musim seterusnya. Itu tidak termasuk 15 gol dalam pertandingan piala.
Selepas 2019 sentuhan sudah tiada namun Malaysia memutuskan menaturalisasikannya pada usia 35 tahun.
Dalam perlawanan ini ternyata De Paula amat mengecewakan. Bagaimana dia terlepas peluang terbuka dengan menanduk bola seperti seorang pemain Piala Presiden?
De Paula juga ‘tidak mahu’ terlibat dalam permainan apabila hanya berjalan-jalan sepanjang perlawanan. Tidak melakukan sebarang bantuan ketika kawasan tengah gagal menguasai bola.
Tidak melakukan sebarang tekanan apabila bola berada disekitarnya. Kemasukan Syafiq Ahmad memberi sedikit tenaga namun kali ini Syafiq tidak berada di posisi penyerang.
Syafiq mempunyai lebih kualiti dalam tandukan berbanding apa yang ditujukkan Guilherme.
Krasniqi juga mempunyai kes yang sama seperti Guilherme. Dia merupakan pemain yang cemerlang pada satu ketika dahulu yang sudah tenggelam sejak 2 tahun lepas.
Ketidak cemerlangan sejak 2 tahun itu dibawa dalam perlawanan ini. Guilherme dan Liridon hanya berfungsi untuk ‘memperlahankan’ permainan. Tidak lebih dari itu.
Kedua-dua pemain ini mempunyai 2 lagi perlawanan untuk membuktikan diri mereka berbaloi ketika dinaturalisasikan. Selepas ini Malaysia akan bertemu Vietnam dan Thailand.
Jika Guilherme dan Krasniqi gagal membuktikan kemampuan dirinya ia akan menjadi penaturalisasian yang sia-sia untuk tugasan kali ini.
Tugasan seterusnya adalah 6 perlawanan peringkat akhir kelayakan Piala Asia.