UEFA Beri Respon Kepada Keputusan Mahkamah

UEFA sudah dimaklumkan tentang keputusan mahkamah Eropah tentang ESL. Di mana mahkamah melarang UEFA atau FIFA untuk campur tangan dalam ESL sebagai satu pertandingan bola sepak alternatif.

Seterusnya, sekatan yang dikenakan UEFA dan FIFA pada 2021 ke atas penubuhan ESL dianggap tidak sah.

Baca di sini:

TERKINI: UEFA Dan FIFA Terciduk, Mahkamah Benarkan Penganjuran European Super League

Sebagai balasan kepada keputusan itu UEFA menegaskan bahawa mereka masih kekal dengan pendirian bahawa ESL adalah liga haram.  Menurut UEFA, kenyataan mahkamah pada hari ini sebenarnya bukan melarang sepenuhnya campur tangan UEFA dalam menghalang ESL selepas ini. Sebaliknya lebih kepada mendedahkan rangka kerja yang lemah dibuat UEFA sebelum ini dalam proses mengharamkan liga tersebut.

Namun semua perkara itu mereka sudah perbaiki pada Jun 2022. Jadi UEFA tidak mengiktiraf keputusan mahkamah Eropah yang menganggap larangan yang mereka kenakan pada 2021 adalah tidak betul.

UEFA berkata: “Kami sudah sedia maklum tentang keputusan mahkamah keadilan eropah / ECJ berkaitan dengan kes Liga Super Eropah.”

“Keputusan ini tidak mengiktiraf atau memberikan pengesahan sama sekali kepada apa yang dipanggil ‘liga super’; ia lebih menekankan kekurangan yang sedia ada dalam rangka kerja pra-kebenaran UEFA, aspek teknikal yang telah pun diperakui dan ditangani pada Jun 2022.”

“UEFA yakin dengan keperkasaan peraturan baharunya, dan khususnya bahawa mereka mematuhi semua undang-undang Eropah yang berkaitan dan peraturan ditetapkan.”

“UEFA tetap bertekad dalam komitmennya untuk menegakkan piramid bola sepak Eropah, memastikan ia terus berkhidmat untuk kepentingan masyarakat yang lebih luas. Kami akan terus membentuk model sukan Eropah secara kolektif dengan persatuan kebangsaan, liga, kelab, peminat, pemain, jurulatih, institusi EU, kerajaan dan rakan kongsi.”

“Kami percaya bahawa piramid bola sepak Eropah berasaskan perpaduan yang diisytiharkan oleh peminat dan semua pihak berkepentingan sebagai model mereka yang tidak boleh diganti. Jadi ia akan dilindungi daripada ancaman pemisahan oleh undang-undang Eropah dan negara.”