ESL: Kisah Hipokrasi Dan Ketamakan Serta Realiti Bola Sepak Hari Ini

Jujurnya, aku takde pendapat pasal European Super League ni. Kalau jadi ESL pun sesen aku tak untung, kalau tak jadi ESL ni sesen pun aku tak rugi. Kesemua kelab-kelab bolasepak yang buat ESL ni ada ROI. Peminat MU dok sibuk suruh beli Haaland, peminat Liverpool suruh beli Mbappe, setiap tahun harga pemain makin naik.

20 tahun lepas pemain bola paling mahal ialah Zinedine Zidane, €76 juta. Hari ni, pemain harga macam tu dah macam standard dah. Bukak harga pun dah harga lebih kurang macam tu.

Gary Neville boleh membebel pasal sejarah working class, pasal kaum buruh yang mendirikan Manchester United dan Liverpool, tapi hakikatnya dapat lifestyle sedap sebab kelab bayar juta-juta.

Tak kisah, nak sokong team bola kau atau tak. Sesen pun dorang tak rugi. Kau beli jersi pun kat Padang Besar gred copy ori. FIFA, UEFA, AFC, CAF, Concacaf ni semua dah lama dah korup.

Mungkin ESL adalah future bolasepak, mungkin ESL merevolusikan cara macam mana nak uruskan bolasepak, sebab sejak FIFA lantik Qatar jadi tuan rumah World Cup, FIFA dan intergriti ni macam jauh benar perginya.

Dirty dozen

Mungkin 12 kelab ni jahat, fikir untung, kapitalis hati busuk. Tapi dorang jadi camtu pun sebab korang pun nak player mahal-mahal supaya menang liga, menang piala macam-macam.
Takde sape nak sokong team macam Burnley ke, MK Dons ke, Real Zaragoza ke.

Semua nak sokong team yang senang menang. Yang ada potensi menang liga. Tapi mungkin zaman bolasepak sebagai sukan nombor satu dunia ni dah berakhir. Satu masa dulu sukan nombor satu dunia ialah lumba kuda. Semua orang suka lumba kuda.

Bila dah wujud kereta, kuda pun hanya dinaik oleh orang-orang kaya je. Sama la jugak dengan bola. Mungkin sekarang sukan paling popular ialah Fortnight atau Warcraft, atau League of Legends.

Pada aku, aku sokong je Liverpool yang dulu. Tapi apa-apa pun keputusan kelab, aku tak boleh buat apa. Aku bukannya own kelab tu pun.

Aku masih tak faham kenapa Presiden UEFA, Alexander Ceferin nak panggil Pengerusi ECA, Andrea Agnelli dan Ed Woodward ni sebagai ular dalam semak. I mean, selama ni UEFA, FIFA dan badan bolasepak dunia ni jugak yang bergeser bahu dengan kapitalis ni semua.

Tiba-tiba bila kapitalis ni nak angkat kaki buat liga sendiri, bila duit dah tak masuk kat UEFA, tiba-tiba nak panggil member yang kau geser bahu tu ular dalam semak?

Benda ni bukan benda baru. Masa 90an dulu bila Manchester United jadi public listing company, masuk bursa saham New York tu orang dah boleh nampak dah future bolasepak ke arah mana.

Masa Roman Abramovich beli Chelsea tahun 2003, lepas tu Glazer beli MU tahun 2005, lepas tu George Gillett dan Tom Hicks beli Liverpool tahun 2006, Al Mansour beli Man City tahun 2008, lepas tu Stan Kroenke pegang syer kat Arsenal – sukan bolasepak dah lama terputus dengan working class.

Kalau kau cakap zaman Matt Busby, zaman Bill Shankly, zaman Herbert Chapman tu, ye la memang bolasepak ni sukan untuk working class.

Amerikanisasi dalam bola sepak

Amerikanisasi bolasepak ni dah berlaku sejak USA jadi tuan rumah World Cup tahun 1994. Masa Italia 90 dulu, penaja datang dari company Eropah macam sebelumnya. Tapi bila USA dah masuk, dah banyak brand USA dalam bolasepak.

30 tahun yang lepas, korang hanya nampak jersi bola dari Adidas, Puma, Le Coq Sportif, Schwanzenbach, Gola. Semua brand Eropah. Sekarang ni hampir semua Nike dah tapau, termasuklah Liverpool.

Kena sedar diri la ESL ni market dia bukan untuk warga tempatan, tapi untuk middle class Amerika, yang baru kenal culture bolasepak ni sejak USA 1994.

ESL ni untuk market normies yang hanya kenal Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar je. Untuk orang yang minat bola dari zaman Eric Cantona ni, korang dah tua dan ESL ni bukan untuk market korang.

Jadi pada aku, biar je lah kelab besar ni buat liga dorang sendiri. Dan penduduk tempatan yang marah benda ni, bolehlah sokong local club.

Fan Liverpool boleh la sokong AFC Liverpool, Tranmere Rovers atau City of Liverpool FC. Fan Manchester United dan City boleh la sokong FCUM, Oldham Athletics atau sokong la Bolton Athletics. Fan Arsenal dengan Spurs sokong la Leyton Orient.

Sebab kelab kesayangan korang ni dah kena beli dengan billionaire ni. You can do nothing about it. Ye lah, demi kejuaraan liga dan piala berprestij, kelab bolasepak kesayangan korang ni dah sell their soul to the corporate devils.

FIFA dan UEFA tak kurang ularnya

Tak payah salahkan ular sawa kalau kau dah bergeser dengan ular selama ni. UEFA, FIFA dan semua badan dunia ni yang jual sukan ni pada korporat. Korporat tu kalau kau dah hulur, dia makan la.

Cuma dalam hal ni, aku kesian dengan orang macam Juergen Klopp atau Ole Gunnar Solsjkaer. Jose Mourinho aku tak tau sebab apa dia kena sack dengan Spurs, tapi dua orang ni, yang membesar dalam culture bolasepak sebagai sukan rakyat, bila dah tua kena berdepan dengan benda macam ni.

Kalau kau tanya aku, kenapa aku macam tak setuju pendapat Gary Neville pasal sukan bolasepak ni sukan rakyat.

Sukan rakyat ke bolasepak ni? Kau pernah tengok lifestyle David Beckham macam mana tak? Pernah tengok kereta apa Cristiano Ronaldo pakai? Macam tu ke sukan rakyat? Mungkin ini perkara terbaik yang berlaku pada bolasepak. Bila bolasepak dah tak hyper commercialized, dari sini bakat-bakat baru boleh naik.

Bagus jugak kalau final Champions League perlawanan antara West Ham vs Real Betis. Macam zaman dulu la, FC Bruges boleh masuk final, Celtic boleh masuk final, Moenchengladbach boleh masuk final.

Bagus la 12 team kaya ni blah dan buat liga sendiri. Biar ESL ni jadi liga bolasepak untuk para normies. Pasukan yang lain ni main la bola tanpa duit yang lebat macam sekarang ni.
Bak kata lirik lagu Karma Police, ‘this is what you get when you mess with us.’

Orang tamak selalu rugi?

Masa aku kecik dulu, aku pernah mendengar cerita tentang anjing dan bayang-bayang. Anjing itu menggonggong tulang, dan bila dia ternampak bayangannya di permukaan air, dia ingat ada satu lagi tulang dan sebab anjing ini tamak, dia cuba mendapatkan tulang tu, tanpa menyedari dia melepaskan tulang yang dia ada ke dalam air.

Metafora ini boleh aku simpulkan dalam zaman pasca moden ni. Kita semua tamak dan kita semua macam anjing dalam cerita tu. Kerana mengejar sesuatu yang belum pasti, kita melepaskan apa yang kita ada.

Dan lepas tu kita salahkan orang lain, kecuali diri sendiri. Dalam seminggu ni, aku mengikuti rapat cerita European Super League, segala details dan segala perkembangan, aku ambil tahu. Mungkin sebab dah terlalu boring life aku ni, atau fiasco ESL ni begitu menarik macam Langkah Sheraton, jadi aku memanjang mengikuti perkembangan cerita ni.

Aku rasa dalam ramai-ramai owners dan CEO kelab bolasepak ni, Florentino Perez adalah orang yang paling hardcore berkeras untuk ESL ni.

Sementara owner lain semua terus back off dan calculate yang projek ESL ni takkan mampu dijalankan tanpa peminat, Perez masih bertegas yang projek ini “mampu menyelamatkan bolasepak daripada pupus”.

Battlecry “the football is dead” ni buat peminat sukan lain sebenarnya menyampah dengan perangai primadona peminat bolasepak. Sebenarnya sukan lain macam ragbi, hoki, badminton dan polo air tak dapat pun coverage macam bolasepak, tapi takde pulak mereka kata sukan mereka dah mati.

Tapi berbalik kepada argument Perez yang tegar dalam mempertahankan ESL ni. Kenyataan Perez “nak menyelamatkan bolasepak daripada pupus ni” bukanlah nak menyelamatkan bolasepak pun, tapi nak menyelamatkan Real Madrid daripada bankrap kerana berhutang sebanyak £900 juta.

Semua 12 kelab ni kerugian teruk sejak wabak pandemik COVID ni. Paling teruk ialah Spurs sebab baru nak expand kelab, dengan bina stadium baru, tiba-tiba bila pandemik berlaku, stadium tak boleh orang masuk. Dah rugi teruk.

Dalam cerita ESL ni diportraitkan, kebanyakan menyalahkan owners billionaire ni kerana bersikap tamak. Memang billionaire ni tamak pun, tapi siapa lagi yang tamak dalam cerita ni?
Fans dan pemain pun tamak jugak. Fans nak the best players dalam team, regardless berapa harganya pun.

Pemain pulak nak gaji berjuta-juta untuk sign kontrak. Dan owner billionaires ni, demi nak capai hasrat peminat untuk dapatkan player ini dan itu, dan untuk mencapai hasrat player untuk hidup mewah kaya raya, terpaksa menyediakan model perniagaan yang akhirnya naikkan harga tiket stadium, naikkan harga season pass, dan terpaksa buat strategi yang hyper commercial.

Masa Liverpool sign kat Nike, aku perhatikan ramai je yang seronok nonok bila tengok lucrative deals, siap dapat collaboration dengan artis popular macam Drake dan pemain basketball popular LeBron James.

Tapi untuk orang macam aku, aku menyampah benda macam ni sebab benda macam ni lah yang menjual roh kelab bola tu. Tapi hakikatnya, Liverpool terpaksa buat model ni sebab semua kelab lain pun buat model ni, otherwise, Liverpool akan ketinggalan.

Tapi bila semua owners ni nak buat European Super League, semua orang termasuk media dan kerajaan pun turut kecam billionaires ni, sedangkan masa keadaan ekonomi elok dulu, semua orang mengalu-alukan kedatangan investors ni.

Bila billionaires ni nak capai ROI untuk financial dia dengan buat European Super League ni, barulah UEFA, FA, FIFA, EPL, La Liga, Serie A, kerajaan ni semua nak kecam billionaires ni semua.
Ada orang mencadangkan sistem model Jerman, di mana setiap kelab diwajibkan untuk peminat untuk memiliki 50%+1 syer untuk kelab-kelab EPL akan datang.

Kalau sistem ini dibuat, percayalah – yang boleh survive dalam sistem ini cuma tiga kelab – Manchester United, Liverpool dan Arsenal sebab tiga kelab ni je yang ada fanbase besar.
Chelsea sebelum Abramovich merupakan kelab mid table, dan Man City sebelum al Mansour datang kerap juga relegate ke divisyen bawah.

Kalau 50%+1 ni nak dilaksanakan, korang dah bersedia untuk tak dapat beli pemain mahal, dan malam transfer yang tak havoc macam zaman sekarang ni?

Kalau rasa yakin dengan youth development kelab sekarang, dan yakin dengan fan base untuk buat sistem ni, on je lah.

Dan players dah bersedia ke untuk play for less money? Sebab dah tengok sedap Ronaldo, Messi, Beckham ni semua dapat duit banyak, tiba-tiba kena salary cap.

Kalau nak sistem 50%+1 ni, perlu youth development yang power. Jerman buat macam tu sebab youth development dia power, dan Bayern Munich ni rembat je player dari kelab lain di Jerman.
Nanti dari Bayern Munich ni dorang akan ke market antarabangsa juga macam David Alaba ke Real Madrid.

Sebenarnya peristiwa ESL ni adalah skala kecil kepada apa yang berlaku pada mood geopolitik dunia hari ni – preparing for the less in post-globalism order. Dalam era globalisasi ni makin tak relevan, pemain import dah dianggap beban untuk kelab.

Cuba tengok Liverpool. Owner American, manager orang Jerman, dan best striker orang Mesir. Kalau kita tengok kelab lain pun macam tu jugak.

Kalau nak kembali ke sistem bolasepak Britain untuk Britain, Perancis untuk Perancis dan Itali untuk Itali macam sebelum 80an dulu, okay lah, teruskanlah sistem 50%+1 ni. Tapi glamor dan populariti sukan ni takkan kembali macam zaman keemasan era 1980-2010an dulu lah.

Dalam peminat menuding jari ke arah billionaires atas ketamakan, mereka ni pun tak sedar yang mereka ni pun tamak juga. Satu jari menunjuk ke arah orang lain, empat jari menuding kat diri sendiri.

Orang tamak selalu rugi. Macam anjing dan bayang-bayang. Dan tak perlu nak salahkan billionaires ni sebab masa peminat ni nak player mahal-mahal, billionaires ni jugak yang keluarkan duit untuk beli.

Tiba-tiba bila billionaires nak buat liga sendiri sebab nak kejar ROI, kau cakap billionaires ni tamak. Kenapa tak muhasabah diri sebelum bercakap tu?

Aku rasa kelab-kelab bolasepak bawahan pun menyampah dengan kelab bolasepak elit ni punya crybaby. Kelab macam Bolton Wanderers, Wigan Athletics, Middleborough dan Blackburn Rovers yang satu masa dulu gah pun sekarang tengah menderita.

Masa kelab-kelab elit ni buat breakaway dari English League dan buat Premier League tahun 1992 dulu, sama je dengan apa team ESL ni buat. Takde beza pun. Mungkin sejak bolasepak takde penaja rokok ni, bolasepak dah jadi terlampau komersial sebab nak kejar sangat penonton normies dan budak skema. Kalau dulu rilek je Dunhill ke Peter Stuyvesant taja sukan.

Lepas ni, bolasepak kenalah kembali ke roots dan kena scale down lah, sebab these billionaires, dorang dah makin bosan dah dengan lejar akaun dorang asyik negative flow dan tak balik modal dan capai ROI.

Baik taja e-games je. Bak kata Florentino Perez, budak muda tak minat tengok match lama-lama ni. Attention span dorang kurang. At least kalau Fortnight takde la lama sangat match dia. 90 minit boleh lawan berapa round.

Baca yang lain