Mbappe ‘Malukan’ PSG Dengan Kenyataan Terbarunya

Kylian Mbappe telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai masa depannya di Paris Saint-Germain melalui AFP.

Petang Isnin, laporan L’Equipe menyatakan bahawa Mbappe menghantar surat rasmi kepada kelabnya memaklumkan hasratnya untuk tidak memperbaharui kontraknya yang dilanjutkan tahun lalu tetapi akan tamat pada Jun 2024.

Sebagai jawapan, kelab milik Qatar itu kemudiannya menyampaikan kata dua kepada pemain berusia 24 tahun itu menuntut dia harus bersetuju dengan syarat baharu atau akan dijual pada musim panas ini.

Pada awal petang Selasa di Eropah, Mbappe mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu melalui AFP di mana dia berkata bahawa dia dan kelab itu “tidak pernah membincangkan” pembaharuan kontrak selepas 2024.

PSG benar benar kecewa kerana mereka sebelum ini yakin Mbappe akan kekal di PSG sekurang kurangnya sampai 2025. Iaitu dengan mengaktifkan klausa tambahan setahun selepas 2 tahun kontrak wajib.

Mbappe menegaskan, kekal di PSG lebih lama daripada 2024 memang tiada dalam perancangannya.

“PSG telah dimaklumkan sejak 15 Julai 2022, mengenai keputusan saya untuk tidak melanjutkan lebih daripada 2024, dan surat yang dihantar hanya disampaikan untuk mengesahkan apa yang saya sudah beritahu mereka,” jelas kapten baharu PSG dan Perancis itu.

Jika ini benar, ia amat memalukan untuk PSG kerana, lebih setahun lalu, mereka mengarak Mbappe di Parc des Princes dengan jersi ‘Mbappe 2025’.

Mbappe dalam ucapannya malah menyatakan bahawa dia sentiasa mahu kekal di Paris untuk tempoh yang lama kerana itu adalah bandar miliknya.

Dia mahu membantu PSG dan penduduk Paris menikmati trofi seperti UCL.

Peminat PSG benar benar meraikan kejayaan tersebut. Lebih lebih lagi ianya selepas dia menolak Real Madrid dan memberikan janji manisnya tentang masa depannya kepada PSG untuk tiga tahun lagi.

Florentino Perez bengang kerana dipermainkan Mbappe pada masa itu, dan menganggap Mbappe cuma mempergunakan Real Madrid untuk meraih kontrak besar di PSG.

Namun laporan berikutnya muncul yang memperincikan bagaimana perjanjian itu untuk dua musim dengan pilihan tempoh tambahan sekiranya penyerang itu mahukannya.

Dengan PSG sudah memberikan kata dua kepada Mbappe untuk lanjutkan kontrak setahun atau dia dijual, nampaknya pemain itu kekal tenang untuk terus kekal semusim lagi dan pergi secara percuma sebagai ejen bebas.

Mbappe tidak terdesak meninggalkan PSG. Dia memiliki gaji sangat tinggi di PSG. Dan hanya jika dia mahu mengurangkan gajinya sahaja, beberapa kelab lain akan sedia menandatanganinya.

Real Madrid mungkin akan bersabar menunggu sehingga akhir musim ini untuk mendapatkan pemain itu secara percuma.

Mbappe boleh mengaut wang puluhan juta atau mungkin EUR100 juta terus ke akaunnya sebagai ejen bebas atas bonus tandatangan kontrak.

PSG pula tidak rela melihat Mbappe pergi secara percuma selepas kehilangan Messi secara percuma.

Ianya gara gara mereka gagal meyakinkan Messi kekal lebih lama.

Walaupun Perez sebelum ini pernah marah dengan Mbappe, namun dalam beberapa bulan terakhir ini, dia masih menganggap Mbappe sebagai calon pemain yang dimahukannya di Real Madrid.

Lebih lebih lagi selepas pemergian Karim Benzema.

Kenyataan terbaru Mbappe ini pastinya membuatkan peminat PSG kecewa. Kerana mereka seringkali mengagungkan Mbappe dan membanding bandingkannya dengan pemain lain seperti Neymar dan Messi.

Dengan beberapa bulan lalu berlaku kempen anti Messi dan Neymar oleh penyokong PSG, kini mereka sudah kehilangan Messi, dan akan kehilangan Mbappe.

Adakah mereka juga akan meratapi pemergian Neymar yang dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi dan beberapa kelab Eropah lain.

Ianya selepas PSG sepanjang musim lalu cuba menjual Neymar untuk menggunakan wang itu bagi melanjutkan kontrak Messi.

Baca yang lain