Philimon Chipeta: Kisah Legenda Mesin Gol Singa Utara

Stats

116 gol keseluruhan, 52 gol di Liga Super, 6 kali bawa Perlis ke final, 5 trofi juara dijulang bersama Perlis.

Menyertai Perlis 2003

Selepas menjalani ujian percubaan bersama pasukan Perak, Chipeta gagal dan mencuba nasib pula bersama pasukan Perlis. Akhirnya nasib beliau agak baik, terpilih mewakili Perlis bagi saingan Liga Malaysia 2003.

Dan bermulalah perjalanan kisah mesin gol Singa Utara ini. Menjadi salah seorang penyerang legenda dalam Liga Malaysi.

Liga Premier 1 (2003)

Philimon Chipeta tidak memerlukan masa yang lama untuk menawan hati penyokong Singa Utara. Perlawanan kedua Liga (gameweek 1 Perlis bye).

Perlis melayan Terengganu dan impak Chipeta terus menjadi bualan dipelusuk negeri Indera Kayangan itu.

Chipeta merakam hatrick dalam aksi debut. Satu permulaan langkah kanan permata kelahiran Zambia itu.

Chipeta menamatkan Liga dengan 23 gol dan memenangi kasut emas selain membantu Perlis mendapat tempat ke-3 terbaik dibelakang juara ketika itu Perak dan Kedah (ke-2).

Chipeta merakam 11 lagi gol untuk Piala FA dan Piala Malaysia musim itu. Piala FA, Perlis kalah di perlawanan akhir.

Chipeta menamatkan musim debut beliau dengan rekod agak baik. 34 gol secara keseluruhan.

Liga Super (2004)

Musim 2004 adalah musim terbaik Perlis. Mereka menamatkan kemarau 83 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia.

Chipeta bermula baik dalam 4 perlawanan awal Liga Super, Chipeta dah jaringkan 4 gol.

Dia menamatkan Liga dengan 9 gol. Pada saingan Piala FA, Chipeta menjaringkan 3 lagi gol.

Di Piala Malaysia, Chipeta menyumbat 5 lagi gol. Ia dilakukan pada peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir termasuk leg satu dan leg dua bertemu Pahang.

Chipeta membantu Perlis menjulang trofi pertama mereka dengan menewaskan Kedah di perlawanan akhir. Beliau juga menamatkan musim dengan rekod 17 gol.

Liga Super (2005)

Perlis bertindak mengekalkan sebahagian besar pemain mereka. Ini menjadikan skuad Singa Utara semakin mantap.

Chipeta digandingkan pula bersama Zacharia Simukonda, seorang lagi penyerang berbisa Perlis waktu tu.

Chipeta agak kurang menyerlah musim tersebut. Beliau dibayangi kehebatan Simukonda yang meledak 25 gol musim itu. Simukonda turut meraih kasut emas peribadi beliau musim tersebut.

Chipeta menamatkan musim dengan menjaringkan 11 gol. Memenangi Liga Super pertama tapi tewas pada Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia.

Liga Super (2006)

Perlis dicabar hebat Negeri Sembilan (NS Naza) waktu ni. Negeri Sembilan berjaya merampas trofi Liga Super dari Perlis, meninggalkan Perlis 10 mata di belakang.

Chipeta kecewa tewas perebutan kasut emas kepada bintang Perak, Keita Mandjou dengan perbezaan 4 gol. Beliau menamatkan Liga dengan 13 gol.

Perlis mara ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia. Dalam aksi Piala FA mereka dikecewakan Pahang sebelum merampas kembali Piala Malaysia. Ia juga perlawanan akhir ke-3 berturut turut buat Perlis.

Chipeta menamatkan musim dengan 18 gol secara keseluruhan.

Liga Super (2007)

Perlis memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan Pahang 2-1 dalam aksi Piala Sumbangsih 2007. Tapi selepas tu, semuanya serba tidak menjadi buat Perlis.

Di Liga Super, Chipeta berdepan ancaman Marlon Alex James dan Keith Mandjou, dua penyerang prolifik ketika itu.

Nasib kurang menyebelahi Chipeta ketika itu, beliau gagal dalam perebutan kasut emas dan menamatkan Liga dengan 14 gol, agak jauh dibelakang Keita selaku pemenang kasut emas dan Marlon (ke-2).

Chipeta membantu Perlis mara ke perlawanan akhir Piala FA sebelum tewas ditangan Kedah. Itu final Piala FA ke-3 buat Chipeta dan tewas kesemuanya.

Pada saingan Piala Malaysia juga Perlis gagal bertahan selepas disingkirkan oleh Perak pada saingan suku akhir.

Chipeta menamatkan musim dengan rekod 17 gol secara keseluruhan.

Liga Super (2008)

Final season. Musim terakhir Chipeta bersama Perlis juga berakhir dengan mengecewakan walaupun menjulang trofi Piala Sumbangsih seawal sepak mula Liga.

Perlis gagal bersaing di Liga Super selain tersingkir awal dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Chipeta menamatkan Liga dengan 14 gol, agak jauh dibelakang Marlon pula.

Waktu ni Chipeta memang gagal bersaing secara individu bersama Keita Mandjou dan Marlon Alex James sepanjang rivalry 3 tahun 3 penyerang ini.

1 gol pada Piala FA dan 4 gol dalam Piala Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan 19 gol untuk musim akhir beliau.

Selamat tinggal Perlis

Philimon Chipeta menamatkan karier beliau selepas 6 musim di Perlis.

Chipeta menjaringkan 116 gol sepanjang karier di Perlis. Memenangi 5 trofi sebagai koleksi beliau. Untuk rekod jaringan di Liga Super, Chipeta merakam 52 gol, antara yang tertinggi.

Perlawanan Akhir Chipeta:
Piala FA (2003,2006,2007)
Piala Malaysia (2004,2005,2006)

Trofi Chipeta:
Piala Malaysia (2004,2006)
Liga Super (2005)
Piala Sumbangsih (2007,2008)

Chipeta nama yang sangat popular di Perlis satu masa dahulu.

Kelibat beliau diatas padang mencuri tumpuan dan ‘attitude’ luar padang yang bersahaja menyebabkan peminat Singa Utara mengangkat beliau menjadi lagenda Perlis.

Zaman Chipeta juga Perlis sangat digeruni. Tengokla statistik mereka, 6 kali ke perlawanan akhir. 5 trofi mereka menang dalam tempoh Chipeta disana.

Dengan rekod jaringan beliau lakukan, adakah Chipeta penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Singa Utara? mungkin penyokong Perlis sendiri boleh memberi jawapan itu.

Tentang Penulis:

Penulis artikel ialah Don K-rul IZham yang merupakan penyokong setia Hijau Kuning. Penganalisis dan penulis bola sepak bebas. Ikut Facebook Don K-rul IZham untuk konten bola sepak power

Baca juga:

M3: Bola Sepak Perlis Kembali Melalui KSK Tambun Tulang, Kini Dikenali Sebagai Perlis United

Kisah Rezeki Lontaran Misil Adrien Jurad Chamrong Yang Bertukar Menjadi Emas