Rangnick Jelaskan Kenapa Bruno Ambil Penalti Bukan Ronaldo

Ralf Rangnick telah tampil menjelaskan mengapa Bruno Fernandes mengambil sepakan penalti Manchester United dan bukannya Cristiano Ronaldo dalam kekalahan 3-1 kepada Arsenal petang Sabtu.

Manchester United ketinggalan 2-1 di Stadium Emirates apabila pengadil Craig Pawson menunjukkan ke arah titik penalti selepas bola terkena tangan Nuno Tavares.

Fernandes mengambil sepakan tersebut dan berjaya memperdayakan penjaga gol Aaron Ramsdale ke arah yang salah, tetapi malangnya, dia hanya mampu melihat percubaannya mengenai tiang dan tersasar.

Ia adalah penalti kedua yang dia gagal sempurnakan dalam kempen musim ini dan ramai yang mempersoalkan mengapa Ronaldo, yang menjaringkan gol lebih awal dalam permainan, tidak menerimanya.

Kenapa Bruno Fernandes perlu mengambil sepakan penalti apabila ada Ronaldo di atas padang?

Piers Morgan antara individu terkenal yang turut membangkitkan perkara yang sama.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu telah mengambil tiga penalti terakhir United sebelum ini. Sekaligus memberitahu dunia bahawa beliau telah menjadi pelaksana utama untuk penalti.

Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengesahkan bahawa Ronaldo sendiri yang membiarkan Fernandes mengambilnya.

Dia memberitahu talkSPORT: “Kedua-dua mereka berbincang mengenainya dan Cristiano memberitahu saya dia tidak berasa dalam keadaan terbaik untuk mengambilnya, atau tidak berasa seolah-olah dia yang harus mengambil penalti – dan itulah sebabnya Bruno mengambil tanggungjawab itu.”

Ronaldo terlepas aksi dalam kekalahan kepada Liverpool pada Selasa lalu selepas berdepan berita tragis anak lelakinya yang baru lahir meninggal dunia.

Legenda hidup berusia 37 tahun dan pasangannya Georgina Rodriguez mengesahkan berita itu pada Isnin sambil turut mengesahkan kelahiran anak perempuan mereka.

Ketika ditanya sama ada keputusan Ronaldo untuk tidak mengambil penalti ada kaitan dengan perkara tersebut, Rangnick menjawab: “Saya tidak tahu. Anda perlu bertanya kepadanya. Mereka berdua telah mengambil penalti dan bertukar penalti, jadi terpulang kepada mereka berdua untuk membuat keputusan.”

Dalam aksi di Emirates, Arsenal mencerahkan peluang mereka untuk mara ke UCL sekali lagi. The Gunners mendahului dalam masa tiga minit menerusi Nuno Tavares.

Saka kemudian mencatatkan gol kedua Arsenak menerusi sepakan penalti selepas dia sendiri yang dikasari oleh Alex Telles dalam kotak penalti.

Ronaldo meletakkan United kembali merapatkan jurang gol, dua minit kemudian.

Kesilapan Fernandes pada separuh masa kedua mengubah permainan dalam pasukan bimbingan Mikel Arteta dengan percubaan jarak jauh oleh Granit Xhaka sekaligus melengkapkan misi 3 mata Arsenal.

United kini enam mata di belakang Arsenal yang berada di tempat keempat dengan baki empat perlawanan lagi untuk United.

Ralf Rangnick berpendapat peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan adalah tipis.

Pengurus asal Jerman itu mengakui: “Ia secara matematik tidak mustahil, tetapi ia tidak begitu realistik.”

“Kemenangan hari ini, atau sekurang-kurangnya seri selepas ketinggalan 2-0, akan membantu kami [untuk kekal berpeluang ke UCL musim hadapan].”

Arsenal, seterusnya, kembali ke tangga keempat dan menentukan nasib mereka sendiri untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Saingan utama mereka adalah seteru sebandar Tottenham Hotspur.

Walaupun Arsenal sebelum ini kalah 3 perlawanan berturut turut, namun dalam dua perlawanan terakhir, mereka berjaya menang ke atas Chelsea dan kemudian Manchester United. Itu sudah lebih dari cukup untuk membuatkan peminat Arsenal kembali bergembira dengan pencapaian mereka dalam dua minggu terakhir ini. Lebih lebih lagi mereka berjaya kembali semula ke landasan persaingan ke UCL musim hadapan.

Baca yang lain