3 Legenda Newcastle United Yang Tiada Gantinya

Hari Isnin yang lalu, Manchester United telah mencetak kemenangan ke-14 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Newcastle United dengan jaringan 3-1.

Kemenangan itu bukan hanya diraikan oleh seluruh peminat Red Devils namun turut menjadi detik terindah buat β€˜graduan’ akademi mereka, Shola Shoretire Dan yang melakukan debut untuk pasukan senior. Ini boleh dikatakan sebagai simbol kejayaan akademi United dalam mengeluarkan pemain yang berkualiti.

Insiden itu mengundang beberapa isu disini sama ada Shola ialah graduan akademi Newcastle ataupun United. Ini kerana Shola memulakan langkah pertama dalam karier bola sepak di Wellsend Boys Club dan kemudian Newcastle sebelum mengikuti keluarganya berhijrah ke bandar Manchester.

Namun artikel kali ini bukan nak cerita pasal Shola Shoretire dalam usaha untuk menuju puncak tetapi ingin menyenaraikan 3 lagenda kelab yang mengenakan rona jalur hitam putih di jersi mereka ini.

Newcastle United sebenarnya ramai legenda dalam sejarah kelab mereka. Namun 3 legenda ini telah mewarnai era moden Liga Perdana Inggeris.

Nolberto Solano

Menyertai Magpies pada musim panas 1998 dengan tanda harga €4 juta dari Boca Juniors. Merupakan pemain Peru yang pertama bermain ni EPL.

Bermain di sayap kanan, Solano mempunyai hantaran lintang yang berkelas dunia. Tanya sahaja kepada Alan Shearer. Hasil gabungan dua pemain ini menghasilkan 16 gol dan merupakan antara rekod kombinasi terbaik dalam sejarah EPL. Di hadapan kombinasi Andy Cole-Ryan Giggs (14) dan Fredrik Ljungberg-Thierry Henry (15).

Sempat menjaringkan 48 gol sepanjang tempoh 9 musim di St James Park. Seringkali dimasukkan dalam senarai kesebelasan utama terbaik The Toons sama ada dari pundit, peminat atau pemerhati bola sepak, nama Solano akan terus kekal dalam lipatan sejarah Newcastle United.

Shay Given

β€œAwak tolak pelawaan saya!” antara ayat yang dikeluarkan oleh Sir Alex Ferguson setelah Given memilih Glasgow Celtic berbanding Manchester United pada 1992.

Disambar dari Blackburn Rovers untuk mengikuti jejak pengurus, Kenny Dalglish pada musim 1997/1998. Dengan 462 penampilan dalam semua pertandingan, Given layak dianggap sebagai penjaga gol terbaik sepanjang zaman The Toons.

Dengan kehebatannya menjaga gawang Newcastle, Given boleh saja bermain dengan kelab-kelab terkemuka lain. Kesetiaannya kepada kelab tidak dapat disangkal walaupun pada Disember 2000 pernah menghantar permohonan untuk dijual kerana telah kehilangan posisinya kepada Steve Harper.

Namun beliau menarik semula permohonan itu dan menyatakan itu hanyalah untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya dan sebenarnya tidak berniat untuk meninggalkan Newcastle.

Hanya pada tahun 2009, beliau akhirnya berpindah apabila menyertai Manchester City. Kini merupakan jurulatih penjaga gol di Derby County.

Alan Shearer

Jangan harap saya akan lupakan wira tempatan Tyneside ini.

Gol, gol dan gol. Tiga perkataan mudah yang mampu menceritakan kehebatan penyerang terulung EPL ini. Penjaring terbanyak sepanjang zaman EPL dengan 260 gol, 148 gol datang ketika masanya bersama The Magpies. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Newcastle dengan 206 gol dan penjaring terbanyak Euro 1996 dengan 5 gol.

Shearer adalah penyerang Inggeris klasik yang lengkap. Dia kuat, memiliki sepakan deras, teknik yang sempurna dan sangat dominan di udara.

Lihat saja jaringannya ketika menentang Everton. Tenang mencari ruang untuk menerima second ball sebelum melepaskan tendangan voli menghentam bumbung gol lawan. Diangkat antara gol terbaik sepanjang karier beliau.

Baca yang lain