Ronaldo, Santos dan Nasib Baik- Imbas Kembali Perjalanan Portugal di Euro 2016

Jika tidak kerana pandemik kobis yang melanda dunia, saya pasti topik Euro 2020 mungkin menjadi bualan ramai ketika ini.

Namun jangan risau tuan-tuan. Tak dapat rotan, akar pon berguna juga. Tak dapat tengok Ronaldo pertahankan kejuaraan, dapat imbas beliau membawa pulang Euro untuk Portugal pon jadi la.

Pasukan Underdog

Sebelum kejohanan bermula, Seleção bukanlah merupakan antara calon pilihan juara. Skuad mereka diketuai oleh Ronaldo sambil dibantu Nani, Pepe, Andre Gomes dan Joao Moutinho.

Dengan bakat yang dimiliki Portugal, ramai menjangkakan mereka akan bermain possession, free flowing football. Namun, ternyata tanggapan itu salah.

Mereka memenangi kejohanan dengan gaya counter attack. Menyerap tekanan sebelum melancarkan serangan balas pantas.

Bernasib Baik?

Perjalanan mereka dalam memenangi Euro amat dramatik. Mereka berjaya meloloskan diri dari peringkat kumpulan selepas menduduki tempat ketiga. Tiga perlawanan, tiga seri, tiga mata, ketiga kumpulan dan ketiga terbaik untuk tempat ketiga. Banyak betul tiga ya tuan-tuan.

Ramai juga memperlekehkan pencapaian Seleção sebagai “bernasib baik”. Jika UEFA tidak menukar format kepada 24 pasukan, dah lama mereka pulang awal.

Ada juga yang mengatakan persembahan keseluruhan mereka lebih teruk berbanding Greece yang memenangi kejuaraan Euro 2004 dahulu.

Mana taknya, sepanjang kejohanan, Portugal hanya memenangi satu perlawanan dalam tempoh 90 minit iaitu ketika menentang Wales pada pusingan separuh akhir. Selebihnya seri (3), penentuan penalti (1) dan tambahan masa (2). Gila kan?

Perubahan Taktikal

Ketika peringkat kumpulan, Portugal bermain dengan permainan terbuka. Berjaya menghasilkan 4 gol namun bolos juga 4 gol.

Barisan pertahanan mereka dilihat goyah dan perlu melakukan perubahan drastik ketika peringkat kalah mati. Satu kesilapan boleh menyebabkan mereka terpaksa menempah tiket pulang lebih awal.

Memasuki peringkat kalah mati, mereka mula mengubah pendekatan dengan lebih bertahan. Menstruktur semula organisasi pertahanan untuk lebih kompak.

Mereka juga tidak kisah melakukan foul. Seleção mengumpul 93 foul dan 12 kad kuning sepanjang kejohanan. Pepe pula berjaya melakukan 19 interception, tertinggi sepanjang kejohanan.

Hasilnya dari pertukaran taktikal ini, mereka hanya bolos 1 gol sepanjang pusingan kalah mati.

Kebijaksanaan Santos

Santos juga berani melakukan perubahan jika pemain off form. Antaranya ialah menggantikan pemain berpengalaman seperti Ricardo Carvalho kepada Jose Fonte dan Moutinho kepada pemain muda terbaik kejohanan, Renato Sanches.

Pertukaran pemain yang efektif juga membuktikan kebijaksanaan Santos.

Memasukkan Ricardo Quaresma ketika pusingan 16 terbaik menentang Croatia. Hasilnya, Quaresma menjaringkan kemenangan pada minit ke-117.

Lagi satu anda mungkin tahu. Kemasukan Eder dan Moutinho pada final menentang Perancis. Eder menjaringkan gol terpenting dalam sejarah Portugal selepas menerima hantaran Moutinho.

Semangat Sepasukan

Anda mungkin tidak perasan bahawa Portugal menggunakan kesemua pemain outfield mereka. Hanya 2 penjaga gol simpanan mereka yang tidak diturunkan.

Anthony Lopes dan Eduardo

Ini jelas menunjukkan bahawa Santos mempercayai semua pemainnya. Para pemain juga tidak meragui setiap keputusan jurulatih.

Siapa kata Ronaldo tidak menyumbang ketika perlawanan akhir?

Ronaldo menjalankan tugasnya sebagai kapten dengan cara tersendiri apabila kelihatan berdiri di tepi padang untuk memberi sokongan dan arahan kepada rakan sepasukannya.

Ada juga beberapa kali diarahkan untuk mundur oleh penolong pengadil kerana beliau hampir masuk ke dalam padang.

Rumusan

Berdasarkan kenyataan di atas jelaslah kemenangan Portugal pada Euro 2016 lebih dari nasib. Ia hasil kerjasama jurulatih, pemain, staf sokongan dan tidak lupa, penyokong setia Seleção.

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di