Atletico: “Barca Tak Boleh Ugut Atau Paksa Orang Beli Barang Mereka Tak Nak Simpan”

Atletico Madrid mendengar Barcelona mahu mengheret mereka ke mahkamah sukan atas tuduhan bermain muslihat kotor untuk mengelak daripada membeli Antoine Griezmann secara tetap.

Barcelona telah bertelagah dengan Atletico Madrid melibatkan ada unsur unsur memanipulasi perjanjian pinjaman penyerang Perancis, Antoine Griezmann.

Atletico Madrid telah meminjam Antoine Griezmann sejak permulaan musim 2021/2022 dengan tempoh pinjaman setahun dan pilihan untuk melanjutkannya selama satu tahun.

Dan Atletico memutuskan untuk melanjutkan lagi kontrak itu sehingga akhir musim ini. Ini adalah musim terakhirnya.

Atletico dituduh memanipulasi syarat klausa beli tetap

Bagaimanapun, dalam klausa pinjaman Griezmann, Barcelona memasukkan kewajipan untuk membeli untuk Atletico Madrid berdasarkan jumlah penglibatan pemain itu bersama Atletico di atas padang.

Sport ES melaporkan Atletico Madrid wajib membeli Griezmann jika penyerang berusia 31 tahun itu bermain lebih 50 peratus daripada jumlah perlawanan yang dimainkan oleh Los Rojiblancos.

Klausa 50 peratus bukan sahaja termasuk bilangan perlawanan, tetapi juga minit bermain Griezmann bersama Atletico Madrid.

Harga yang ditetapkan oleh Barcelona adalah 40 juta euro. Atletico Madrid sebelum ini mengakui harga tersebut terlalu tinggi untuk mendapatkan Griezmann secara tetap.

Oleh itu, Atlético Madrid memilih untuk mengelak klausa tersebut dengan melakukan muslihat kotor.

Sepanjang musim ini, Atletico Madrid hanya menurunkan Griezmann dengan tempoh kurang daripada 30 minit dalam setiap perlawanan. Dia seringkali dimasukkan pada minit ke-60 dan ke atas,

Tindakan itu ibarat serampang dua mata untuk Atletico dan Griezmann. Di mana pemain itu berpeluang untuk memasuki tahun akhir dalam kontraknya bersama Barcelona yang akan membolehkannya menerima gaji yang sangat besar.

Selain itu, Atletico dalam pada masa yang sama boleh mengelak daripada membeli pemain itu dengan nilai €40 juta dan terpaksa membayar €20 juta semusim pada 2024.

Bagi pihak Griezmann, pemain itu dikatakan sudah menyatakan dia sebenarnya tidak gembira dengan kedudukannya sekarang ini.

Griezmann juga berpeluang untuk kembali semula ke Atletico sebagai pemain ejen bebas atau secara percuma.

Los Rojiblancos telah melakukan helah ini dalam lima perlawanan mereka pada permulaan musim 2022-2023.

Barca kecam tindakan Atletico

Strategi ini segera dikecam oleh Barcelona, ​​​​yang merasakan diri mereka ditipu oleh Atletico Madrid. Oleh itu Barcelona merancang untuk membawa kes ini ke undang-undang.

Barcelona mahu menyaman Atletico Madrid kerana melanggar perjanjian klausa pinjaman Griezmann. Dan bertekad mahu memastikan kelab itu membayar setiap sen yang mereka harus bayar kepada Barca.

 

Atletico perlekehkan ‘ugutan’ Barcelona

Atletico Madrid nampaknya tidak panik dengan ugutan Barcelona. Kerana menurut mereka, pasukan mereka tidak melakukan apa apa kesalahan dalam perkara itu.

Atletico malah meminta Barcelona tidak masuk campur dalam isu siapa pemain yang mereka mahu turunkan dan bila mereka mahu turunkan pemain itu. Lebih lebih lagi, Griezmann menunjukkan prestasi cemerlang pada musim ini dengan sistem pertukaran 30 minit terakhir itu. Membuktikan bahawa ianya berkesan secara taktikal dan pemain itu tiada masalah untuk melakukannya.

Jika Griezmann tidak berpuas hati, dia boleh membantah sendiri dengan Diego Simeone. Namun setakat ini pemain itu dipuji oleh Atletico kerana sangat profesional walaupun seringkali berada di bangku simpanan.

Walaupun sebelum ini terdapat kerisauan pada diri Griezmann, bahawa dia mungkin bakal terlepas ke Piala Dunia 2022 jika keadaan ini berterusan. Tetapi kini keadaan agak baik baik sahaja.

Penyerang pasukan kebangsaan Perancis itu berjaya menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan yang diharunginya.

Malah, Griezmann menyumbang satu gol dalam kemenangan tipis Atletico Madrid ke atas FC Porto dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Relevo melaporkan bahawa, Atletico bertegas bahawa dalam kontrak, Griezmann harus bermain sekurang kurangnya 50% minit perlawanan pasukan untuk membolehkan kelab itu tertakluk kepada kewajiban membelinya secara tetap.

Atleti kemudian mengingatkan Barcelona bahawa, mereka akan menghantar pulang Griezmann selepas tamat musim ini jika pemain itu gagal mencapai KPI tersebut.

Barcelona sudah memberitahu Atletico bahawa mereka akan cuba memastikan kelab itu membayar EUR40 juta dan membeli pemain itu secara tetap.

Tetapi Atletico berkata, Barcelona tiada hak memaksa Atletico untuk membeli barang yang mereka tak nak simpan. Terpulang kepada Atletico sama ada mereka mahu membeli atau tidak.

Dan mengingatkan sekali lagi, jika Griezmann tidak mencapai 50% masa bermain yang dikira berdasarkan minit, bukan penampilan dalam perlawanan, maka mereka terpaksa memulangkan pemain itu.

Keadaan itu tidak digemari Barca. Kerana ianya akan meletakkan Barcelona dalam masalah pada tahun tahun akan datang. Ia akan memberikan impak kepada akaun FFP mereka. Selain daripada menanggung gaji Griezmann yang tak masuk akal, Barca juga kehilangan prospek EUR40 juta masuk ke akaun mereka.

Beberapa minggu lalu, Barcelona tidak tersenarai dalam kalangan 8 pasukan yang melanggar piawaian FFP. UEFA menjelaskan bahawa, Barcelona tidak melanggar kesalahan itu kerana laporan tersebut adalah untuk tahun kewangan 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.

Untuk tahun kewangan 2020 dan 2021 tertakluk kepada langkah kecemasan Covid untuk meneutralkan kesan buruk wabak tersebut. Jadi, oleh kerana Barca menangguh kerugian pada tempoh pandemik, mereka termasuk dalam kelonggaran diberikan UEFA.

Tetapi kelonggaran itu tidak ada lagi bermula tahun hadapan. Barcelona masih ada banyak kerja untuk mereka lakukan dalam memastikan akaun FFP mereka kekal sihat.

Jika Griezmann dipulangkan mereka akan berdepan masalah lambakan pemain penyerang bergaji tinggi selepas ini. Ini selepas mereka mendapatkan Raphinha dan Lewandowski serta mengekalkan Dembele. Mujur mereka berjaya melepaskan Aubameyang yang dijual ke Chelsea. Tetapi penjualan Aubameyang lebih kepada membuka jalan kepada pendaftaran Jules Kounde.

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di