Cap Dagang ‘Tea Pot’ Untuk Dijual RM83.17 Juta

Anak syarikat tidak langsung Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB), Lion Share Management Ltd menjual cap dagangan ‘Tea Pot’ dengan nilai RM83.17 juta, melibatkan urus niaga pihak yang berkaitan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Lion Share Management telah memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat dengan F&N Global Marketing Pte Ltd, anak syarikat langsung Fraser and Neave, Ltd.

Di bawah perjanjian itu, Lion Share Management akan menjual dan memberikan sepenuhnya kepada F&N Global Marketing, antara lainnya, semua hak, hak milik dan kepentingan dalam jenama ‘Tea Pot’ di mana-mana di dunia.

Lion Share Management, pemilik berdaftar perkataan dan cap dagangan peranti ‘Tea Pot”, membeli jenama tersebut pada 1 Feb dengan nilai RM75.37 juta.

F&NHB berkata cadangan penjualan itu akan membolehkan kumpulan memberi tumpuan kepada mengembangkan pasaran dan meluaskan jenama Tea Pot di Asia Tenggara, Timur Jauh, Timur Tengah dan Afrika Utara.

Selain itu, ia memanfaatkan kepakaran F&N Global Marketing dalam menguruskan jenama dan harta intelek yang berkaitan.

Malah, F&N Global Marketing telah mewujudkan kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan, pelesenan jenama dan pembangunan jenama melalui pemasaran korporatnya, serta pasukan penyelidikan dan pembangunan.

Ia turut menguruskan semua jenama F&N di bawah F&NL dan kumpulan syarikatnya (F&NL Group).

Menurut F&NHB, hasil yang diterima daripada cadangan penjualan itu akan digunakan untuk membiayai pelaburan perbelanjaan modal dan meningkatkan kedudukan modal kerjanya.

Urus niaga itu dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.

— BERNAMA

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di