Carl Magnay: Ini Khabar ‘Ramli’ Versi Chelsea Yang Pernah Dipuji John Terry

Satu dahulu, kita pernah dihiburkan dengan program Mencari Ramli – satu program realiti tv mencari bakat baru bola sepak untuk dibawa ke Old Trafford.

Selain daripada mendedahkan bakat muda kepada klinik bola sepak sehingga ke Manchester, program ini juga diharap akan dapat benar benar menghasilkan pemain seperti Ramli. Watak fiksyen yang berjaya menyarung jersi Manchester United.

Antara bakat yang berjaya dicungkil dan pemenang-pemenang Mencari Ramli adalah Adam Nor Azlin, Muhd Arif Farhan, Faisal Halim, Aliff Haiqal, Shivan Pillay Asokan, Fazly Mazlan, Isa Raman, Syafik Ismail, Ahmad Tasnim Fikri, Firdaus Irman, Nizarudin Jazi, Zahril Azri Zabri, Nasruddin Rahimuddin, Ahmad Solehin, Muhammad Faiz Hazziq Awang Fathi, Mohammad Zikry Aswira Azian, Sunil Caven Chandran dan Al Imran Abdul Halim.

Program realiti tv di England

Tahu tak korang, bahawa Chelsea sebenarnya ada program Mencari Ramli versi Cobham. Namun ianya lebih menarik kerana menawarkan pemain amatur yang berbakat kontrak profesional daripada Chelsea FC.

Ledakan program realiti pada awal 2000-an telah membawa kepada gelombang banyak sekali pertandingan. Daripada pertandingan nyanyian sehinggalah ke bola sepak.

Maka wujudlah program realiti “Football Icon” di Sky Sports.

Ia adalah acara pencarian bakat bola sepak di England. Ia serupa dengan X Factor dengan sekumpulan anak muda yang menghadiri beberapa siri percubaan bola sepak.

Peserta adalah pemain muda berumur 16-18 tahun. Pemenang, mendapat kontrak profesional selama enam bulan dengan Chelsea. Dan, pemain yang berjaya itu ialah Carl Magnay.

Pada masa itu, Magnay bermain sebagai pertahanan tengah. Semasa rancangan realiti itu, dia dibenarkan menghadiri sesi latihan di Pusat Latihan Blues’ Cobham.

Magnay kemudiannya dihantar dalam percubaan di Belanda ke kelab rakan kongsi pembangunan Chelsea, iaitu FC Twente, selama seminggu.

Dia juga terbang ke Los Angeles untuk berlatih dengan LA Galaxy. Magnay menghabiskan masa berlatih di bawah Brendan Rodgers, yang merupakan pembantu Jose Mourinho. Dia juga telah berlatih dan berkongsi padang latihan dengan pemain pasukan utama seperti Didier Drogba, Arjen Robben dan Damien Duff.

“Saya masih ingat John Terry datang kepada saya selepas itu berkata betapa bagusnya saya dalam penguasaan bola,” kata pemain yang ketika itu berusia 17 tahun.

“Jika semuanya berjalan lancar selepas sesi itu, saya akan gembira. Saya ada gambar di dinding tempat saya tinggal sekarang, gambar saya ketika satu lawan satu, bertahan menentang Joe Cole pada hari itu,” tambah Magnay ketika mengenang kembali detiknya berlatih bersama Chelsea.

Tetapi, apa yang berlaku kepada Magnay selepas itu? Seperti yang dilaporkan The Athletic, dia kekal di Chelsea selama 4.5 tahun lagi.

Dia mendapat beberapa kontrak lagi selepas rancangan televisyen itu. Tetapi, dia mempunyai tugas yang cukup sukar kerana dia perlu membuktikan kepada jurulatih dan kakitangan Chelsea bahawa dia cukup bagus untuk memasuki skuad utama.

Magnay dianggap sangat berbakat. Dia menjadi fenomena. Malah para peminatnya merasakan dia akan menjadi pemain Chelsea ataupun kelab EPL yang lain. Ramai juga yang melabel dia sebagai bintang masa depan Chelsea.

“Saya hanya perlu memastikan bola sepak saya bercakap dan saya melakukannya dengan segera. Saya mendapat penghormatan mereka,” kata Magnay.

Magnay mendapat kontrak di Chelsea selepas menyingkirkan ribuan peserta lain.

“Dalam tempoh sebulan, saya bermain untuk pasukan junior mereka. Sebelum akhir musim, saya membuat permulaan [starting XI] pertama saya untuk pasukan simpanan. Saya akan menjadi ketua pasukan simpanan dan turut pergi ke beberapa perjanjian pinjaman. Saya melakukannya dengan sangat baik,” tambah Magnay .

Namun kehebatan Magnay ternyata masih jauh daripada standard yang diperlukan untuk menjadi pemain utam Chelsea. Dia gagal untuk menjadi pemain skuad Chelsea. Dia telah dipinjamkan ke beberapa kelab bawahan seperti Milton Keynes Dons dan Northampton Town. Tetapi, itu juga tidak banyak membantunya untuk meningkatkan dirinya.

Pembangunannya menjadi statik. Malah, selepas membuat 20 penampilan untuk pasukan simpanan, keadaan menjadi lebih buruk. Dia mengalami patah tulang belakang dan kecederaan ligamen lutut pada 2010. Ini bermakna tamatnya karier bermainnya bersama Chelsea.

Magnay kemudian berpindah ke Grimsby Town dan Hartlepool United selepas pulih. Kini, pada usia 33 tahun, Magnay masih aktif bermain dalam pertandingan peringkat bawahan yang dikenali sebagai “bukan liga” (non league), iaitu Gateshead. Ia adalah kelab Liga Kebangsaan atau pertandingan kasta keenam di England.

Namun sebenarnya ada perkara yang menarik tentang Magnay. Dia sebenarnya salah seorang ahli pencari bakat untuk Chelsea FC.

Dia juga diminta membantu Chelsea U-13 sebagai salah seorang staf kejurulatihan.

Magnay sentiasa berterima kasih kepada Chelsea yang menurutnya sentiasa memberikan peluang kepada mana mana bekas pemainnya yang ada bakat lain untuk terlibat dalam membangunkan bola sepak di kelab itu.

Magnay malah menganggap, dia bernasib baik kerana Chelsea banyak membantunya dalam hidupnya sebagai pemain bola sepak profesional. Dan peralihan kariernya juga berlaku dengan baik.

“Itulah yang dilakukan oleh kelab (Chelsea) dengan sangat baik. Mereka memberitahu orang sekeliling bagaimana rasanya melalui proses menjadi pemain bola sepak. Itu (pertunjukan realiti) benar-benar mengubah hidup saya,” katanya.

Baca yang lain