Chelsea Berdepan Pemotongan Mata Kerana Aduan Todd Boehly Tentang Abramovich Sebelum Ini

Chelsea mungkin berdepan pemotongan mata kerana salah laku yang dilakukan oleh Roman Abramovich ketika menjadi pemilik kelab itu. Fail yang bocor mendedahkan beberapa siri pembayaran rahsia yang mungkin telah melanggar peraturan bola sepak secara, termasuk yang berkaitan dengan permainan adil kewangan.

Siasatan ke atas Chelsea itu sebenarnya bermula kerana Todd Boehly sendiri. Dia yang merepot perkara itu kepada Premier League dengan mengesyaki bahawa Chelsea ada melakukan salah laku kewangan pada era Abramovich.

Todd Boehly ketika itu enggan dikaitkan dengan kesalahan tersebut lalu membuat aduan serta laporan kepada UEFA dan Premier League tentang hasil audit dalaman mereka sebaik sahaja konsortium yang diketuainya berjaya mendapatkan hak pemilikan Chelsea. Di mana mereka mendapati bahawa ada keraguan tentang pengurusan kewanan pada era Roman Abramovich.

Roman Abramovich menjual Chelsea kepada Todd Boehly dengan meletakkan beberapa syarat khas termasuk klausa ‘Anti Glazer’ yang melarang Todd Boehly melonggokkan hutang pinjaman bank untuk wang yang dia gunakan membeli Chelsea atas akaun kelab itu.

Seterusnya, Todd Boehly diminta untuk membangunkan akademi dan membangunkan semula Stamford Bridge. Selain itu Todd Boehly harus berjanji bahawa dia akan menyediakan dana untuk membeli pemain baharu sebaik sahaja menjadi pemilik, kerana pada masa itu Chelsea kehilangan beberapa pemain secara percuma serta gagal mendapatkan pemain baharu akibat sekatan dikenakan oleh Premier League dan kerajaan Inggeris.

Sebaik sahaja berjaya memiliki Chelsea, Todd Boehly terus menyiasat tentang corak pengurusan kewangan Abramovich. Dan dia mendapati ada keraguan lalu melaporkan kelab miliknya sendiri itu kepada Premier League dan UEFA.

Ianya menyebabkan Chelsea disyaki terlibat dalam pelanggaran kewangan yang serius pada era Roman Abramovich. Di mana Roman Abramovich disyaki telah menyuntik dana yang besar ke dalam akaun syarikat di luar negara kemudian menyalurkan dana itu ke dalam akaun rasmi kelab Chelsea.

Wang itu digunakan untuk membeli beberapa pemain yang mereka mahukan pada era tersebut dan memenangi beberapa trofi. Sky Sports dan The Times melaporkan bahawa Premier League benar benar serius sedang menyiasat Chelsea dalam perkara tersebut.

Dalam laporanya, Sky Sports semalam menyatakan: “Premier League sedang melakukan siasatan ke atas Chelsea – di atas kemungkinan ada melakukan salah laku pelanggaran peraturan kewangan  [FFP] pada era pemilikan Roman Abramovich.”

“Pemilik baru Chelsea melaporkan kelab miliknya sendiri kepada UEFA dan Premier League [selepas mengesyaki ada keraguan] sebaik sahaja mereka mengambil alih pemilikan Chelsea sebelum ini. Jika didapati bersalah, kesalahan itu membuatkan mereka bakal dikenakan tindakan termasuk pemotongan 5 mata dalam Liga Perdana Inggeris.”

“Pada 28 Julai, UEFA mendenda Chelsea €8 juta atas kesalahan laporan kewangan yang tidak lengkap pada 2012 dan 2019.”

Pendedahan baharu The Guardian

Selepas beberapa bulan siasatan, kesalahan Abramovich kemudian telah didedahkan oleh Guardian pula. Dan kini kelab itu berdepan dengan masalah besar. Pemerhati bola sepak mendakwa transaksi haram itu benar benar boleh menyebabkan Liga Perdana menolak mata Chelsea.

Mengikut penemuan Guardian: “Fail-fail itu mendedahkan satu siri pembayaran bernilai berpuluh-puluh juta pound dalam tempoh sedekad, yang disalurkan melalui ‘kenderaan’  di luar negara milik Abramovich.”

“Transaksi yang dipersoalkan nampaknya adalah untuk manfaat pasukan Chelsea, menimbulkan persoalan sama ada ia telah diisytiharkan dalam akaun yang diserahkan kepada badan induk bola sepak.”

Ejen pemain bintang Eden Hazard, yang membimbing The Blues meraih trofi sepanjang tempohnya di Stamford Bridge, adalah salah seorang penerima imbuhan dan bayaran lain nampaknya dikaitkan dengan perpindahan Willian dan Samuel Eto’o.

Kewangan Chelsea sudah pun diperiksa oleh Liga Perdana dalam siasatan yang berlangsung dari 2012 hingga 2019. FA mengesahkan kepada Guardian bahawa mereka juga sedang menyiasat Chelsea manakala UEFA telah pun mendenda kelab itu £8.6 juta sebelum ini.

Dokumen baharu dan di luar tempoh penelitian menimbulkan lebih banyak persoalan sama ada jutawan Rusia itu berulang kali melanggar peraturan untuk menyuntik bonus kepada kelab bola sepaknya ketika itu dengan berselindung di sebalik nama penaja lain yang sebenarnya wang dia.

Pakar kewangan bola sepak Kieran Maguire menggariskan kemungkinan sekatan dan pemotongan mata akan dikenakan ke atas kelab itu jika Chelsea didapati bersalah melanggar peraturan.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa kelab telah menggunakan urus niaga pihak ketiga untuk mengelak peraturan keuntungan dan kemampanan maka sekatan adalah sama ada kewangan atau potongan mata,” katanya.

Kieran Maguire turut menegaskan bahawa kes terbaru ini akan disiasat oleh suruhanjaya bebas, dan Liga Perdana dijangka akan bertindak tegas untuk mengelakkan kelab lain melakukan perkara yang sama.

Baca yang lain