Euromonitor International Sahkan Malaysia ‘Champion’ Rokok Seludup

Malaysia menjadi perhatian dunia sekali lagi. Namun kali ini sebagai negara yang paling tinggi penjualan rokok haram di di dunia.

Statistik itu didedahkan oleh firma peneraju kajian strategik pasaran, Euromonitor International.

Ketua Kanan Penyelidikan Tembakau Euromonitor International, Shane MacGuill memberitahu, pada 2019 sahaja, 65% pasaran tembakau di Malaysia adalah haram.

Euromonitor International juga mendedahkan bahawa, pada ketika ini hanya ada 10 negara sahaja yang memiliki rekod rokok haram melebih 30% daripada pasaran mereka. Dan Malaysia adalah yang tertinggi.

Dipetik daripada BH Online, Shane MacGuill berkata: “Tiada pasaran lain yang dapat menyaingi atau menghampiri Malaysia, kerana pasaran rokok seludup terbesar seterusnya ialah Brazil yang kami anggarkan kira-kira 50 peratus daripada pasaran.”

“Dari segi mana sekali pun kita bahagikan carta atau statistik, adalah jelas wujud isu sangat besar di dalam pasaran tembakau Malaysia,” tegas beliau dalam satu forum yang dianjurkan oleh NST.

Bekas diplomat AS, David Luna pula menyatakan bahawa aktiviti penyeludupan rokok ini akan mencetuskan masalah jenayah yang lain. Misalnya penyeludupan manusia, narkotik atau hidupan liar yang turut dilakukan kumpulan jenayah terancang.

Selain daripada membuatkan negara kehilangan hasil ekonomi yang tinggi. Lantas ia akan menjejaskan pasaran (ekonomi) dan institusi kerajaan.

Luna malah percaya pasaran rokok seludup Malaysia turut membahayakan negara ASEAN serta ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dalam forum yang sama Luna berkata: “Beberapa laporan menunjukkan sindiket jenayah Malaysia kini menerobos masuk ke pasaran Australia dan New Zealand kerana perbezaan harga (rokok).”

“Disebabkan Malaysia kini berperanan sebagai pengerusi dan tuan rumah APEC tahun ini, kerajaan Malaysia harus mengambil peranan peneraju untuk memulakan kerjasama melangkaui sempadan bagi menangani masalah multinasional ini.”

Kesemua panel bersetuju bahawa untuk menyelesaikan masalah in, ianya memerlukan lebih daripada meletakkan bahu pada penguatkuasa.

Sebaliknya keseluruhan rantaian rokok seludup itu sendiri harus memainkan peranan.

Ini kerana kalau tidak ada permintaan, pastinya tidak ada penawaran.

Baca yang lain