FAM: Natxo Dan Feroz Dilepaskan Dari Tugasan Lawan Papua New Guinea Kerana Cedera

FAM menerusi ketua jurulatihnya, Kim Pan Gon telah mengesahkan dua pemain Harimau Malaya, Natxo Insa dan Feroz Baharuddin telah dilepaskan untuk tugasan kedua pada minggu antarabangsa FIFA minggu ini.

Kim Pan Gon dalam kenyataan rasmi berkata”

“Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Feroz Baharudin telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu ketika ini berikutan masalah kecederaan hamstring.

Natxo hadir melapor diri bersama pemain-pemain lain pada 10 Jun lalu tetapi pemantauan harian oleh doktor dan ahli fisioterapi pasukan mendapati beliau tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea, Selasa ini.

Sementara Feroz diturunkan dalam kesebelasan utama pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu tetapi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring.

Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain tersebut pada jendela hari perlawanan FIFA kali ini tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz.

Semoga kedua-dua mereka cepat sembuh dan boleh kembali beraksi dalam saingan liga domestik bersama JDT, seterusnya kembali cergas untuk dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.

Dengan ketiadaan Natxo dan Feroz, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku pemilik JDT atas kesediaan dan keprihatinan baginda untuk skuad Harimau Malaya menggunakan khidmat para pemain dari kelab tersebut.

Sepertimana yang diketahui umum, separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi oleh pemain dari JDT dan sudah tentu, dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain-pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini.”

Baca yang lain