FIFA Uji 4 Perubahan Termasuk Aksi 30 Minit Setiap Babak, Sin-Bin Dan Sepakan Ke Dalam

FIFA dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa peraturan yang mereka anggap akan merevolusikan bola sepak, walaupun agak kontroversi.

Menurut laporan Mundo Deportivo, pertandingan peringkat belia dan remaja menjadi medan tempat menguji peraturan tersebut.

Antaranya adalah dengan memendekkan masa permainan. Daripada 90 minit kepada 60 minit sahaja. Agak ironi kerana cadangan ini pernah dilontarkan oleh Florentino Perez ketika mahu menubuhkan Liga Super Eropah.

Menurut Perez, generasi muda hari ini tidak tertarik untuk menonton bola sepak yang masanya terlalu panjang. Namun mereka boleh duduk berjam jam mengadap PC untuk bermain Fortnite.

Perez berkata: “Bola sepak itu harus sentiasa berubah dan berevolusi mengikut masa. Sekarang ni semakin ramai hilang minat kepada bola sepak. Sesuatu harus dilakukan.”

“Bola sepak satu satunya sukan yang global. Syarikat penyiaran harus mengubah masa penyiarannya untuk sesuai dengan masa. Kita harus memikirkan bahawa kenapa generasi berusia 16-24 tahun sekarang tidak lagi berminat dengan bola sepak.”

“Sebab tiada perlawanan yang berkualiti. Dan ada platform hiburan yang lain. Bola sepak itu harus berubah ya tuan tuan.”

Oleh itu Perez mencadangkan agar bola sepak dimainkan dalam waktu lebih singkat. FIFA yang menentang Perez sebelum ini dilihat tertarik dengan idea tersebut.

Berikut adalah beberapa perubahan yang sedang dipertimbangkan FIFA.

1. Tiga puluh minit setiap babak

FIFA mahu mewujudkan bola sepak yang hanya dimainkan 60 minit dengan 30 minit setiap babak. Namun jam permainan akan dihentikan sama seperti NBA setiap kali bola tidak dimainkan atau ‘mati’.

2. Pertukaran tanpa had

Seperti tawaran data internet tanpa had, FIFA menawarkan pakej tersebut pada pertukaran pemain. Regulasi standard menetapkan 3 petukaran pada 90 minit dan tambahan 1 pertukaran jika berlanjutan ke masa ekstra.

Pada musim pandemik, FIFA memberikan kelonggaran liga atau pertandingan membenarkan 4 atau 5 pertukaran. Malah dalam Euro baru baru ini sehingga enam pertukaran jika permainan berlarutan ke masa ekstra.

Selepas ini akan menggunakan sistem pertukaran tanpa had. Tak pasti sama ada ianya mirip futsal, di mana pemain yang keluar boleh masuk balik.

3. Sepakan ke dalam ganti lontaran ke dalam

Selepas ini lontaran ke dalam akan digantikan dengan sepakan ke dalam. Ok, ini seperti futsal.

Tun Wenger yang kini bekerja sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Global percaya sistem sepakan ke dalam akan memperbaiki lagi permainan bola sepak.

Wenger berkata: “Apabila kamu mendapat lontaran ke dalam, sepatutnya kamu ada kelebihan dari segi penguasaan. Namun realitinya, lawan kamu yang ada kelebihan. Di mana kamu cuma ada 9 pemain dalam padang berbanding 10 pemain lawan.”

“Sebab tu saya percaya, kita harus sentiasa memikirkan cara untuk menjadikan permainan ini lebih pantas dan lebih menarik. Kenapa tidak kamu dibenarkan menyepak bola terus ketika kamu berada di kawasan sendiri.”

4) Sin Bin

Sistem ala ragbi di mana pemain akan dimasukkan ke dalam sin bin ataupun tong dosa. Ok ke translate tu?

Untuk pemain yang menerima kad kuning mereka perlu duduk dalam sin bin tu selama 5 minit.

Sedang diuji

Keempat empat peraturan itu dilaporkan sedang dalam pertandingan yang digelar Future of Football Cup ataupun Piala Masa Depan Bola Sepak.

Di mana pasukan akademi PSV, AZ Alkmaar, RB Leipzig dan Club Brugge akan terlibat.

Ini contoh pemain Leipzig melakukan sepakan ke dalam menggantikan lontaran ke dalam.

Ini pula contoh pemain dikenakan hukuman duduk dalam tong pendosa.

Manakala yang ini menunjukkan aksi 30 minit sahaja setiap babak.

FIFA akan menilai impak 4 perubahan ini dalam pertandingan tersebut dan akan mempertimbangkan untuk mewartakannya sebagai undang undang rasmi kepada International Football Association Board (IFAB) – organisasi yang menetapkan peraturan bola sepak secara universal.

Baca yang lain