Hari Terakhir Untuk Bida Berlian Hitam Enigma, Barang Rare Dari Angkasa Ini Sekitar RM25 Juta Je

Berlian hitam berusia bilion tahun yang dianggap berasal dari angkasa lepas kini ditawarkan untuk dibida orang ramai oleh Sotheby’s Auctions yang berpangkalan di London, England.

Berlian itu, yang dinamakan ‘Enigma’, dikatakan sebagai berlian potong terbesar di dunia, menurut Rekod Dunia Guinness 2006.

Berlian 555.55 karat, Enigma melebihi berlian Great Star of Africa 530.2 karat dan berlian Jubli Emas 545.67 karat.

Lelongan Enigma akan diadakan sehingga 9 Februari dengan anggaran nilai jualan AS$6 juta. Jadi hari ini adalah hari terakhir untuk korang mengemukakan bidaan.

Apakah sebenarnya berlian hitam?

Berlian hitam pertama kali ditemui pada tahun 1841 oleh sekumpulan penjelajah Portugis di Brazil. Mereka memanggil objek itu ‘carbonado’ kerana ia menyerupai ketulan arang batu.

Kewujudan berlian hitam sangat jarang berlaku di dunia. Seperti namanya, berlian itu kelihatan gelap dan tidak lutsinar.

Berlian biasanya ditemui bercantum dengan ‘kimberlite’ jauh di dalam permukaan tanah.

Namun, berlian hitam atau ‘carbonado’ terdapat dalam lapisan sedimen berhampiran dengan permukaan tanah.

Itulah sebabnya berlian hitam dianggap berasal dari angkasa lepas. Kerana berlian hitam seperti Enigma dipercayai tercipta akibat hentaman meteorit atau akibat letupan supernova yang membentuk asteroid dan kemudiannya mengenai Bumi pada kedalaman yang rendah.

Berlian hitam seperti Enigma hanya boleh ditemui di Brazil atau Republik Afrika Tengah, yang menguatkan tanggapan bahawa ia berasal dari luar angkasa.

Kedua-dua wilayah itu, seperti yang dijelaskan oleh Sotheby’s, telah disambungkan lebih daripada satu bilion tahun yang lalu dan membentuk sebuah benua besar yang dipanggil Rodinia.

Dalam tempoh inilah kawasan itu dipercayai dilanda meteorit sehingga pengedaran berlian carbonado ada di situ.

Enigma sendiri dianggarkan 2.6 bilion hingga 3.8 bilion tahun dahulu.

Tukang emas Sotheby, Nikita Binani berkata Enigma adalah berlian “unik dan berharga”.

“Berlian ini telah disayangi oleh pemiliknya selama dua dekad dan ia tidak pernah dipertontonkan kepada umum atau ditawarkan ke pasaran terbuka. Jadi kami berbesar hati berpeluang menceritakan kisahnya kepada dunia.

“Penjualan [berlian] ini adalah peluang seumur hidup untuk memperoleh salah satu keajaiban berbilion tahun yang paling jarang diketahui manusia,” jelasnya.

Baca juga: Meteorit Menghentam Bumbung Rumah, Lelaki Indonesia Ini Dapat RM7.4 Juta

Tidak ada orang yang suka benda yang jatuh di atas bumbung rumah kita. Namun peraturan adalah berbeza jika ianya adalah benda berharga.

Itu yang terjadi kepada seorang lelaki di Indonesia yang menjadi jutawan dalam sekelip mata. Lelaki bernama Josua Hutagalung, bekerja sebagai pembuat keranda yang tiba-tiba dilanda kekayaan kerana penemuan batuan angkasa.

Batu itu jatuh betul betul di atas bumbung rumahnya. Ketika itu dia sedang berehat bersama isterinya. Mereka terkejut, tiba tiba mendengar seolah-olah ada sesuatu yang melanda rumah.

“Saya mengusahakan keranda di dekat jalan di depan rumah saya, ketika saya mendengar bunyi letupan yang membuat rumah saya bergegar. Seolah-olah sebatang pokok telah menghentam kami,” kata Josua.

Setelah memeriksa, ternyata dia tidak tahu dari mana asalnya. Ketika hendak mengambil batu yang tiba-tiba terkubur itu cukup panas, dan isterinya mengambilnya dengan cangkul.

Mengetahui kewujudan objek luar bumi, pakar batu angkasa Amerika Jared Collins juga mengetahui akan kehadiran batu itu di rumah Josua.

Dia membelinya dan menghantarnya kepada sebuah organsisasi di Amerika Syarikat yang menyimpannya dalam nitrogen cecair di Pusat Pengajian Meteorit di Arizona State University.

Josua Hutagalung menerima wang yang lumayan bernilai sekitar USD1.8 juta ataupun sekitar RM7.4 juta .

Collins berkata: “Saya mengambil wang sebanyak mungkin yang saya dapat kumpul dan mencari Josua, yang ternyata ia rundingan yang sangat baik.” kata Collins.

Collins membeli batu itu dari Josua dengan harga yang tidak masuk akal di mata Josua. Ini menjadikan Josua tiba-tiba menjadi jutawan, dan dia berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin.

Pakar kemudian mengiktiraf batu angkasa berusia 4.5 bilion tahun itu sebagai salah satu meteorit paling penting yang pernah dijumpai. Dan itu dapat mengandung unsur-unsur yang memberikan petunjuk tentang asal usul kehidupan di planet.

Ini bukan pertama kali batuan dari angkasa jatuh di Indonesia. Pada 2019 juga pernah berlaku satu letusan dipercayai kerana meteor. Dan pada 2013, ianya hampir menghentam sebuah kawasan di Indonesia.

Selalunya orang kata ibarat bulan jatuh ke riba, tapi bagi Josua, ianya ibara meteor jatuh ke bumbung rumahnya.

Baca yang lain