Kelayakan AFC B-17: Dibelasah Malaysia 5-1, Jurulatih Indonesia Dedah Skuad Keletihan Cuma Rehat Sehari

Jurulatih pasukan kebangsaan B-17 Indonesia, Bima Sakti mendedahkan punca pasukannya tewas 1-5 kepada Malaysia pada Kelayakan Piala Asia B-17 2023.

Bima mengakui melakukan kesilapan dalam menggilirkan pemain pada pusingan kelayakan kumpulan sehingga ada antara bintang keletihan dan gagal beraksi secara optimum pada perlawanan terakhir menentang Malaysia.

Dalam empat perlawanan, Bima Sakti bergantung kepada beberapa nama seperti Arkhan Kaka, Muhammad Kafiatur Rizky, Nabil Asyura, dan Habil Abdillah. Bagaimanapun, langkah ini ternyata membawa malapetaka apabila Indonesia tewas 1-5 kepada Malaysia pada perlawanan kelayakan tersebut.

Pemain pemain Malaysia malah menunjukkan rasa simpati kepada pemain pemain Indonesia yang sugul dan menangis selepas gagal mara dan kemudian dimalukan oleh musuh tradisi mereka.

Pastinya ianya detik sukar buat mereka kerana beberapa minggu lalu, bola sepak Indonesia dilanda tragedi nahas penyokong di dalam stadium.

Bima Sakti berkata, terdapat faktor keletihan yang dirasai pemain kerana hanya berehat sehari sebelum kembali ke atas padang untuk bermain sekali lagi.

Beliau berkata terdapat kesilapan padanya kerana tidak menurunkan pemain sandaran untuk menentang Guam.

“Ia mungkin kerana keletihan dan kesilapan saya juga ketika menentang Guam, kami sepatutnya meletakkan pemain pilihan kedua, kami fikir pada separuh masa pertama sama ada kami akan menukar pemain selepas satu jam sebelum perlawanan kerana ia adalah perlawanan pertama untuk kami,” kata Bima Sakti selepas tamat perlawanan.

Bima mendedahkan bahawa keputusan menurunkan skuad utama menentang Guam adalah kerana rancangannya untuk memastikan mereka menang dalam perlawanan kelayakan pertama. Dan mereka berjaya menang 14-0 menentang Guam.

“Kami ambil pendekatan selamat dahulu, pada separuh masa kedua [menentang Guam] kami hanya menggilirkan empat pemain. Jadi, pemain pemain kami keletihan [menentang Malaysia] juga boleh menjadi punca dan menjadi penilaian kami,” katanya.

Bima Sakti memohon maaf selepas dikalahkan oleh Malaysia. Dia mengakui sedih kerana tidak dapat membawa 3 mata maksimum pada perlawanan penentuan itu bagi melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17.

Kekalahan ini menjadikan Indonesia gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 tahun depan. Pasukan Garuda gagal bersaing dengan enam lagi negara lain dalam perlumbaan untuk naib juara terbaik.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.