Kim Pan Gon Mahu TMJ Terus Kekal Demi Kebaikan Bola Sepak Malaysia

Ketua Jurualtih pasukan Malaysia, Kim Pan Gon menyatakan bahawa dia mahu Tunku Ismail Terus kekal mengendalikan pasukan JDT.

Dalam kenyataannya, Kim Pa Gon menegaskan bahaw dia sangat terkejut dengan keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mahu berundur daripada mengendalikan Johor Darul Ta’zim.

Lantas Kim Pan Gon menggesa bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu untuk pertimbangkan semula keputusannya.

Kim Pa Gon berkata: “Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.”

“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” kata Pan Gon.

Menurut kenyataan oleh FAM, sebelum ketibaan Kim Pa Gon di Kuala Lumpur lagi, Pan Gon sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.

Dia menambah: “Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.”

“Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekaligus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.”

“Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan,” kata Pan Gon.

Pan Gon berkata Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.

“Di bawah kendaliannya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.

“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah.”

“Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” katanya lagi.

Tambah Pan Gon, dengan prestasi disumbang JDT ini, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.

Alistair Edwards Jelaskan TMJ Masih Terlibat Dalam Isu Pembangunan Dan Komersial Kelab

Sebentar tadi, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atau lebih popular dengan panggilan TMJ telah mengumumkan bahawa beliau melepaskan kuasanya dalam pentadbiran tertinggi JDT buat sementara waktu.

Dalam kenyataan rasminya kepada JST, TMJ berkata: “Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.”

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua.”

Kemudian terdapat persoalan tentang status sebenar TMJ dengan JDT. Sudah tentunya ada yang mulai risau kalau kalau baginda angkat kaki kan?

Perkara itu mendapat perhatian daripada Alistair Edwards, selaku Pengarah Teknikal JDT.

Dia menjelaskan bahawa TMJ akan kekal menjadi pemilik JDT selaku pemegang saham terbesar dalam kelab.

Alistair Edwards berkata: “DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kekal sebagai pemilik kelab dengan memegang saham majoriti.”

Seterusnya Alistair memberitahu dengan lebih terperinci bahawa TMJ hanya melepaskan seketika urusannya dalam perkara berkaitan rundingan jual beli pemain serta kontrak.

Selain itu TMJ selepas ini akan kurang kerap berada di kompleks sukan JDT seperti yang beliau selalu lakukan. Di mana TMJ suka memantau sendiri pasukannya berlatih dan berinteraksi dengan staf dan pemain.

“DYAM Tunku Ismail akan melepaskan tugas Baginda berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada Pengurusan JDT, namun akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersil dan kewangan kelab.”

“Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Mahkota Johor tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya — yang mana menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini.”

“Perkembangan terbaru ini juga bermakna Baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang Baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung.”

“DYAM Tunku Mahkota Johor telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab.”

“Kami memahami bahawa Baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan Negeri dan Pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” jelas Alistair Edwards lagi.

Sumber: JST dan FAM

Baca yang lain