Kisah Kegemilangan Adel Taarabt Yang Sekejap Kerana Terlalu Leka Dengan Bakatnya

Genius! Kaka baru!

Itu antara pujian yang diterima oleh Adel Taraabt selepas musim cemerlangnya bersama dengan QPR pada satu ketika dahulu.

Beliau salah seorang pemain yang menjadi rebutan deretan kelab di seluruh Eropah. Asrsenal antara kelab yang sangat berminat dengan beliau. Namun segala keindahan kariernya lenyap dalam sekelip mata.

Taraabt lahir di Maghribi dan berhijrah ke Perancis pada usianya yang sangat muda. Taarabt menyertai pasukan B Lens. Taarabt sudah memberitahu cita-citanya adalah untuk bermain dengan Arsenal. Beliau yakin akan berada di sana suatu hari nanti kerana bakatnya.

Ketika Spurs menjejak bakatnya pada usia muda, Taraabt sudah menunjukkan sikap divanya dengan menyuruh Lens mengabaikan tawaran itu kerana beliau mahu ke Arsenal.

Berbeza dengan kisah Dmitar Berbatov yang menanti tawaran Real Madrid atau Barca, namun apabila Spurs datang mengetuk pintu, beliau pergi ke sana untuk menaikkan lagi kariernya.

Dilamar Spurs

Damien Comolli yang ketika itu merupakan scouting Spurs telah menghubungi Taarabt secara peribadi dan menawarkan kontrak yang agak lumayan untuk pemain remaja.

Taarabt akhirnya bersetuju selepas mendapat nasihat daripada beberapa rakannya.

Comolli menjanjikan Taarabt akan bermain dalam pasukan utama. Pada 2007 Taraabt menyertai Spurs secara pinjaman dengan klausa beli tetap.

Di bawah Martin Jol, Taarabt terus diletakkan dalam pasukan senior. Namun Taarabt kurang mendapat aksi di Spurs dan ramai mulai mengkritik Taarabt sebagai overpaid tetapi kurang sumbangan. Beliau diberikan peluang agak banyak di atas padang namun tidak dapat mengancam lawan.

Pemecatan Jol digantikan dengan Juande Ramos memburukkan lagi keadaan. Ramos malah tidak memberikan nombor skuad pun untuk Adel Taarabt. Beliau diturunkan pangkat ke pasukan pembangunan dan diarahkan mencari kelab. Taarabt agak kecewa dan menagih janji daripada Spurs.

Taarabt dan Redknapp

Kehadiran Harry Redknapp memberikan sinar buat Taarabt. Dan beliau didaftarkan semula ke dalam pasukan utama. Taarabt akhirnya bermain sekali lagi. Agak ironi, beliau kembali semula dengan aksi berhadapan dengan Arsenal, skuad yang dibimbing pengurus yang paling beliau segani, Arsene Wenger.

Tetapi Taraabt gagal memberikan impak. 9 aksi liga tanpa sebarang gol daripada beliau dan banyak aksi yang teruk.

Akhirnya pada 2015, beliau menyertai QPR. Beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang tempoh pinjaman ke sana.

Detik terbaik di QPR

Selepas beberapa musim yang sukar, dilanda kecederaan, Taraabt akhirnya bangkit. Beliau mulai diberikan peranan kegemarannya, nombor 10. Di situ kariernya mulai meningkat naik.

QPR berdepan masalah kerana Spurs meminta £4.5 juta untuk pembelian tetap. Ianya di luar kemampuan kelab mereka. Sedangkan penyokong sudah menjadikan Taarabt pujaan mereka.

Selepas beberapa perbincangan dilakukan akhirnya kedua dua kelab mencapai kesepakatan dengan harga tak didedahkan. Beliau mencipta rekod terbaik peribadi dengan 19 gol daripada 44 aksi dalam Liga Championship untuk QPR.

Beliau dipilih sebagai pemain terbaik liga Championship. Taarabt bermain dengan luar biasa dengan skil dan kejituan di atas padang. Taarabt juga menyuarakan dia mahu ke kelab besar suatu hari nanti, misalnya Real Madrid.

Kecemerlangan Taarabt telah membantu QPR untuk naik ke EPL pada 2011-12. Taarabt memainkan peranan sangat besar di dalam kejayaan itu. Dalam temuramahnya selepas itu, dia berkata: “Saya akan buktikan Spurs tersilap melepaskan saya pergi.”

Warnock kurangkan pengaruh Taarabt di bilik persalinan

Neil Warnock menjadi pengurus dan membawa  masuk Joey Barton, dan terus menjadikannya kapten menngantikan Taarabt. Taarabt nampak tidak gembira dengan keputusan itu.

Namun aksinya terus menjadi perhatian daripada banyak kelab termasuk Spurs sendiri. Malangnya Spurs tidak memasukkan klausa beli balik di dalam kontrak penjualan.

Taarabt sebenarnya boleh je minta kembali semula ke Spurs yang terang terang pada masa itu sedang dalam prestasi sangat baik. Namun dia lebih memikirkan soal dendamnya dengan kelab itu dan tidak mempertimbangkannya.

Rejim baru yang dibentuk Warnock tidak sesuai dengan perangai Taarabt yang berlagak diva. Warnock mengurangkan pengaruh Taarabt di bilik persalinan kerana pemain itu dilihat mampu menjadi virus dalam pasukan.

Kesannya Taarabt lebih kecewa dan mulai merosot aksinya. Dia bukan pemain yang boleh menerima tindakan pengurus seperti itu. Berbeza dengan pemain lain. Misalnya Luke Shaw yang pernah dilayan teruk di Man United oleh Jose Mourinho, namun kekal profesional dan berusaha.

Warnock menggunakan pendekatan pengurus klasik. Di mana dia tak mahu pemain lebih besar daripada pemain. Lalu Taarabt mulai tidak mahu berjuang untuk Warnock. Paling Taarabt menyirap dia pernah dikeluarkan pada separuh masa dalam aksi berdepan Fulham.

Barton mengecam Taarabt kerana terus balik ke rumahnya, protes dikeluarkan awal.

Warnock di hadapan media berharap Taarabt dan Barton berdamai demi pasukan. Malangnya, Adel Taarabt berikrar dia tak akan bermain lagi dengan Joey Barton.

Warnock kemudian memberitahu pengurusan tertinggi dia mahu menjual Adel Taarabt.

Taarabt bangkit

Selepas mendengar Warnock mahu melepaskannya, Taarabt akhirnya bangkit. Lebih tepat, selepas dia mengalami kecederaan. Dia banyak belajar sesuatu daripada kecederaan itu. Dan dia menunjukkan aksi luar biasa berdepan dengan pasukan kuat dan besar yang lain dalam Liga Perdana Inggeris.

Entah apa yang menjadi motivasi Taarabt ketika itu. Dia malah meningkatkan rutin latihan tambahan untuk membentuk fizikalnya supaya lebih kuat. Membuatkan ramai peminat kembali menyanjungnya dan mengkritik Warnock yang menurut mereka mengabaikan bakat semulajadi itu.

Pada awal tahun 2012, Warnock meninggalkan pasukan dan Mark Hughes mengambil alih. Hughes sangat sukakan Taarabt. Dan dia merasai dirinya kembali dihargai. Ada sesetengah pemain memang kena dilayan seperti star. Itu yang Hughes lakukan ketika itu.

Taarabt menunjukkan dia mahu berjuang untuk kelab itu sekali lagi. Dan kelab tanpa berlengah menawarkan kontrak lanjutan 3 tahun pada musim panas 2012 yang dipersetujui Taarabt.

Bertemu semula Harry Redknapp

Pengurus yang pernah tidak sehaluan dengannya di Spurs, Harry Redknapp menyertai QPR. Sebelum ini mereka berdua pernah tarik muka antara satu sama lain. Adakah mereka akan mampu membantu kelab keluar dari krisis prestasi?

Walaupun QPR secara keseluruhannya bergelut dengan prestasi, namun aksi individual Adel Taarabt menonjol. Gol cantik ke atas WBA menjadi perhatian dunia. Dan dia menjaringkan 2 gol dalam kemenangan pertama QPR dalam liga pada Disember. Itulah 3 mata pertama kelab pada musim 2012/13.

Taarabt kini mulai menunjukkan nilainya di mata Redknapp. Dan Redknapp pula menunjukkan kepada Taarabt nilai dia pada Taarabt. Siapa sangka mereka berdua sebenarnya gandingan yang ideal cuma sebelum ini tak ngam.

Taarabt menganggap dia bermain aksi terbaik dalam hidupnya ketika menentang Fulham. Namun aksi luar biasa Taarabt tidak cukup untuk membantu QPR dari tersingkir. Dan musim berikutnya dia dipinjamkan ke Fulham, bergabung semula dengan Martin Jol.

Martin Jol datang untuk menyelamatkan Taarabt

Jol memang tak pernah ragu dengan Taarabt. Jol adalah pengurus yang sangat mahukan Taarabt pada masa itu. Menurut Jol, dia sudah mengagumi Taarabt sejak dulu lagi. Jol malah pernah cuba membawa masuk Taarabt ke Hamburg, namun harga diletakkan Spurs masa itu terlalu tinggi dan QPR pula sedang berbelanja sakan.

“Saya pernah cuba membawanya ke Hamburg, malangnya mereka nakkan duit yang sangat banyak untuknya. Lalu kami terlepas dia ke QPR. Dia memang pemain yang saya gemari dari dulu. Bagi saya, dia no.10 semulajadi dalam bola sepak. Pemain lain pun akan katakan benda sama. Saya gelar dia  The Whizzer.”

“Dia ada bakat yang membolehkannya melakukan banyak perkara. Tak tahulah kenapa Neil Warnock tidak sehaluan dengan dia di QPR.”

“Saya tak hairan PSG nak membelinya dengan menawarkan gaji besar. Dia seorang pemimpin,” kata Jol mengulas ketika PSG cuba mendapatkan Taarabt namun pemain itu lebih selesa kekal di London.

Malangnya gandingan Jol dan Taarabt tidak menjadi. Taarabt mengalami banyak masalah kecederaan dan gagal mendapatkan aksi terbaik dengan taktikal Jol. Dia bermain 12 perlawanan pertama dan gagal menjaringkan sebarang gol.

Pada Disember, Jol dipecat selepas kalah 6 perlawanan berturut turut. Fulham tersingkir pada akhir musim. Dan QPR kembali ke EPL menerusi play off.

Taarabt setuju untuk kembali ke QPR dan kekal beraksi di EPL.

Namun Taarabt perlu bermula dari bawah. Dia bermain dalam Piala Liga untuk membuktikan kualitinya yang sudah pudar ketika itu. Redknapp dengan terbuka mempertikaikan di mana Adel Taarabt yang dulu?

Redknapp: Dia kegemukan

Redknapp kemudian memutuskan bahawa Taarabt tidak akan kekal bersama mereka. Redknapp berkata: “Taarabt tak cedera tetapi dia tak sesuai untuk bola sepak lagi.”

Harry Redknapp kecewa dengan berat badan Taarabt yang meningkat naik mendadak. Dia tidak menjaga fizikalnya dengan baik. Dengan masalah kecederaan yang kerap dan kurang aksi atas padang, impak kenaikan berat badan itu lebih cepat dirasakan Taarabt.

Dan selama ini memang Taarabt tidak begitu berdisiplin dalam soal berat badannya. Redknapp menyisihkan Taarabt ke pasukan pembangunan.

Rekdnapp sekali lagi menyerang Taarabt dengan komen yang membuatkannya sakit hati. Redknapp menegaskan dia memantau perkembangan Taarabt di pasukan pembangunan.

“Dia bermain satu perlawanan dengan skuad pembangunan, dan saya rasa saya boleh beralri lebih laju daripadanya.”

Redknapp juga menuduh Taarabt sebagai pemain yang malas di atas padang kerana tak larat nak berlari.

Taarabt akhirnya membidas semula Redknapp yang menandakan berakhirnya masa depan dia dengan QPR. Taarabt menuduh Redknapp menjadikannya kambing hitam di atas kegagalan dia sendiri.

Taarabt malah membidas Redknapp menerusi media.

Akhirnya mereka tidak sehaluan secara total, walaupun Redknapp menyatakan bahawa Taarabt sudah meminta maaf kepadanya.

AC Milan

Namun yang ajaibnya, AC Milan menawarkan kontrak pinjaman kepada Adel Taarabt.

Dalam debutnya menentang Napoli, Taarabt terus skor. Ianya memberikan isyarat bahawa bakatnya masih bersamanya. Dia mulai kembali menggelecek dengan penuh yakin.

Taarabt bergandingan dengan salah seorang pemain terbaik di dunia dan dalam sejarah AC Milan iaitu Kaka.

Taarabt malah dipertimbangkan untuk kontrak tetap selepa beraksi cemerlang bersama Milan. Inzaghi tak mahukan Taarabt.

“Detik itu menghancurkan saya secara psikologi. Saya telah berjaya dengan Rossoneri dan kami hampir menandatangani kontrak tetap, kemudian Pippo Inzaghi tiba dan membuat pilihan lain.”

“Kembali ke QPR setelah bermain di Liga Juara-Juara bersama bintang seperti Kaka benar-benar membuatkan anda terluka.”

Taarabt menyatakan itulah momen di mana keyakinan dirinya benar benar hancur. QPR tidak inginkan beliau dan selepas kontrak tamat pada Jun 2015, Taarabt menandatangani perjanjian jangka panjang dengan Benfica.

Dihantui masalah lama

Namun apa yang dikatakan Rekdnapp beberapa tahun lalu menghantuinya. Di mana pengurus Benfica tidak menurunkan Taarabt lagi, selagi lagi pemain itu tidak mencapai berat badan ideal.

Lebih mengeruhkan keadaan, Taarabt bercakap kepada Football France secara terbuka menyatakan dia nak berambus dan menunggu tawaran kelab lain. Kenyataan itu membuatkan presiden kelab Luis Filipe Vieira, menegaskan bahawa Taarabt tidak akan pernah bermain untuk Benfica lagi.

Sebenarnya ada juga laporan di Itali yang menyatakan, salah satu sebab kenapa Inzaghi tidak mahukan Taarabt kerana isu berat badannya. Namun pengurus itu tak terbuka mendedahkannya.

Luis berkata: “Taarabt adalah satu kesilapan saya dan Rui Costa. Tetapi dia pemain yang baik. Saya tidak memahami apa-apa mengenai bola sepak, tetapi saya mempunyai seorang yang banyak memahami bola sepak bersama saya iaitu Rui Costa.”

“Kami menonton dan menonton semula permainannya. Tetapi ada perkara yang kurang. Dia tiba dengan 2 kg lebihan pada berat badannya.”

“Taarabt perlu mengurangkan berat badannya sebanyak 1.5 kg untuk melepasi saringan bermain dengan pasukan utama.”

“Selepas wawancara yang dia buat hari itu, dia pasti tidak akan memakai baju Benfica lagi. Tetapi kami mempunyai kepakaran yang cukup untuk meminjamkannya ke kelab lain.”

Pada bulan Jun 2107, Taraabt dipinjamkan ke Genoa hingga Jun 2018. Dan kisah dia di Genoa, Taarabt terus tidak konsisten.

Taarabt Si Genius yang hilang

Itulah kisah pemain berbakat bernama Adel Taarabt yang sebenarnya dibunuh sendiri oleh sikap sambil lewanya dalam menguruskan fizikalnya.

Pada musim 2019/20, Taarabt kembali semula ke Benfica. Beliau menikmati musim yang baik. Namun sudah pastinya impiannya untuk beraksi dengan pasukan seperti Real Madrid sudah boleh dilupakan.

Dia pemain yang sangat berbakat. Namun kerapkali berdepan dengan konsistensi kerana isu kecergasan kerana fizikalnya. Taarabt akan tetap diingati sebagai salah seorang pemain terbaik yang pernah beraksi untuk QPR.

Adel Taarabt adalah satu enigma di mana dia terlalu bergantung kepada bakat tanpa disiplin yang lebih baik dalam menjaga fizikalnya. Menyebabkan dia bergelut dengan prestasi ketika dia tidak berada dalam kondisi fizikal terbaik.

Taarabt terlalu leka dengan bakat yang dia ada sampaikan dia tidak memikirkan untuk berusaha lebih lagi dalam menjaga dan menguatkan lagi fizikalnya. Seterusnya Taarabt suka cakap lepas dengan media. Dalam sejarah kariernya, banyak kali dia mengutuk pasukan, rakan sepasukan dan pengurus sendiri. Itu juga salah satu sebab kenapa dia seringkali berkonflik dengan pasukan,

Namun tidak ada siapa yang boleh menafikan Taarabt sebagai pemain yang genius.

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di