Kurang Minit Perlawanan Punca Garnacho Disisihkan Argentina

Lionel Scaloni sangat tegas soal minit permainan untuk para pemainnya. Kerana persaingan dalam mendapat tempat di dalam skuad Argentina kini semakin padat.

Ini bukan lagi era Argentina yang memanggil sahaja pemain yang bermain di kelab besar di Eropah.

Alejandro Garnacho sebelum ini dipanggil untuk tugasan kebangsaan. Namun namanya disisihkan untuk kali ini. Membuatkan wartawan bertanya, apakah sebab pemain itu disisihkan?

Garnacho pernah mengancam untuk menukar kewarganegaraan sebelum ini jika namanya tidak dipanggil dan berterusan disisihkan. Penyerang itu dipercayai ‘kecewa’ selepas diketepikan daripada skuad Piala Dunia Argentina. Di mana dia terlepas panggilan pada saringan akhir.

Sedangkan ketika itu Garnacho beraksi cemerlang dan merasakan dia berhak untuk berada dalam skuad Argentina. Paling mengecewakan Garnacho, dia turut terlepas peluang menjadi juara dunia bersama Argentina.

Dia dikatakan mempertimbangkan untuk tidak mewakili Argentina dan sedia untuk menukar kewarganegaraan dan mewakili Sepanyol. Tetapi selepas itu namanya dipanggil untuk aksi antarabangsa Argentina untuk Mac. Dia benar benar gembira dengan panggilan itu. Dia turut dipanggil semula dalam tugasan sebelum ini.

Malangnya kali ini namanya digugurkan. Scaloni menegaskan dia tak dipilih kerana tidak menunjukkan prestasi memuaskan di peringkat kelab dan kurang minit permainan.

Scaloni berkata: “Alasan utama Ale tidak dipilih adalah kerana masalah prestasi. Kami tidak mahu memanggil pemain kemudian tidak menggunakan mereka atau mengeluarkan mereka dari skuad.”

Scaloni mendedahkan, sebelum ini mereka memanggil Garnacho atas dasar kemanusiaan dan mahu memberikan peluang kepada pemain itu. Namun akhirnya dia harus berlaku adil dengan pemain lain.

“Semua orang mahu berada di sini, dan itu cukup bagus. Dia ada isu dengan prestasi semasanya. Pada panggilan terakhirnya sebelum ini, dia tidak memiliki minit permainan yang cukup, namun kami juga harus berfikir sebagai manusia.”

Scaloni sama sekali tidak menutup pintu untuk pemain muda berbakat itu. Dengan syarat dia harus mendapatkan minit permainan yang cukup dan kembali ke prestasi yang memuaskan hati.

“Ianya keputusan yang mudah untuk membawa dia masuk kembali. Namun dalam beberapa panggilan sebelum ini, dia tidak mendapat minit permainan, dan ada masanya kamu harus membuat keputusan demi pasukan.”

“Dia adalah pemain yang ada dalam radar kami dan dia akan kekal berada di situ. Saya percaya dia ada masa depan yang cerah.”

Scaloni bukanlah yang pertama mengkritik prestasi Garnacho. Sebelum ini Erik Ten Hag turut menyatakan bahawa pemain itu tidak berada dalam prestasi terbaiknya musim ini.

Itu antara alasan kenapa Garnacho seringkali disisihkan daripada kesebelasan utama Man United.

Ten Hag berkata: “Kamu harus tengok pada awal musim kami menurunkan dia dan kemudian sumbangannya tidak cukup bagus. Namun dia juga ada menunjukkan beberapa sumbangan yang sangat baik. Kamu tengok dia sentiasa melakukan ancaman kepada lawan walaupun dia tidak bermain baik.”

“Dia juga harus belajar dan melakukan tugas ketika bertahan. Dia sentiasa ada peluang dan dia sentiasa mampu memberikan ancaman kerana dia ada kualiti yang hebat.”

Baca yang lain