Laporta Sahkan FFP Satu Satunya Penghalang Barcelona-Messi Meterai Kontrak

Presiden baru Barcelona, Joan Laporta memberikan jaminan kepada penyokong Barcelona, bahawa Lionel Messi akan kekal bersama mereka.

1 Julai menandakan bahawa secara rasminya Lionel Messi menjadi ejen bebas tanpa sebarang kontrak.

Namun rundingan dengan Messi masih tidak dapat dimuktamadkan kerana isu Financial Fair Play. Ini kerana Barcelona kini berdepan dengan beban hutang yang sangat tinggi.

Pada masa yang sama, mereka memiliki bil gaji pemain yang tinggi. Ini menyukarkan mereka untuk mengesahkan kontrak Messi yang dijangka akan tetap menerima gaji yang besar – sama ada menaik ataupun kekal dengan gaji semasa.

Prestasi Lionel Messi musim lalu tidak langsung menunjukkan beliau berhak menerima pengurangan gaji walaupun Messi sudah berusia 34 tahun. Barcelona masih cuba mengeluarkan beberapa pemain dari kelab mereka untuk mengimbangi kontrak Messi.

Coutinho, Ousmane Dembele antara dua nama dengan gaji besar yang berada dalam senarai untuk dilepaskan Barcelona pada harga tertentu.

Laporta meminta peminat Barcelona bertenang kerana segalanya masih terkawal. Laporta menjelaskan kepada El Transitor: “Kami mahu Lionel Messi kekal dan Messi pun mahu kekal di sini. Segalanya masih berjalan lancar – kami cuma ada isu dengan Financial Fairplay.”

“Kami dalam proses mencari solusi yang terbaik kepada kedua dua pihak.”

Fungsi FFP secara ringkas

Jadi nampak la fungsi FFP ni macamana kan. Bukan macam di Liga Malaysia yang kononnya ada ECP ke apa nama dia. Yang sepatutnya fungsi macam FFP. Tapi elok je bagi kelab di Malaysia sign pemain walaupun dalam akaun pasukan tersebut tak ada duit nak menampung gaji pemain.

FFP ni adalah satu mekanisme digunakan kelab Eropah untuk mewujudkan kesaksamaan dan keadilan. Walaupun mungkin sukar mencari keadilan sebenar, sekurang kurangnya kelab kaya tidak terlalu sesuka hati menyuntik dana daripada pemilik.

Jika tanpa FFP, kau bayangkan City dan PSG yang sumber duit mereka tak ada titik penghujungnya.

FFP menetapkan bahawa setiap pasukan harus mencapai break even dalam 3 musim. Break even di sini, bermaksud – – titik dimana perolehan keuntungan sama besarnya dengan kerugian. Ataupun tak rugi apa apa.

Dan setiap pasukan hanya boleh mencapai kerugian maksimum €30 juta dalam 3 tahun FFP. Namun pada Jun, UEFA memberikan sedikit kelonggaran kepada semua kelab kerana pandemik. Di mana untuk kewangan tahun 2020, ianya akan dilampirkan sekali dengan 2021 sebagai satu laporan kewangan.

Namun dari segi angka kerugian, FFP tidak mengubahnya. Walaupun berlaku perubahan pada kelonggaran FFP, itu masih menjadi masalah kepada Barcelona. Ini kerana kontrak Messi pastinya sangat lumayan.

Messi mahu tinggalkan Barca musim lalu

Musim lalu Messi mengejutkan peminat Barca dengan meminta untuk dilepaskan kelab. Namun permintaan itu gagal. Messi mahu berpindah selepas kekalahan 8-2 di tangan Bayern pada aksi UCL.

Messi ketika ada klausa khas yang membenarkannya pergi secara percuma pada akhir musim selepas beliau berusia 32 tahun.

Klausa itu hanya boleh diaktifkan oleh Lionel Messi sejak musim lalu lagi.

Dan pada musim panas 2019, Messi memutuskan untuk tidak mengaktifkannya dan memilih untuk kekal di Barcelona. Namun klausa itu masih aktif pada akhir musim 2019/20 dan sepatutnya digunakan pada Jun – ketika liga berakhir.

Ketika itu liga masih tidak berakhir kerana ada pandemik melanda. Selepas liga tamat, Messi mahu menggunakan klausa itu kerana musim sudah berakhir.

Selain itu Messi sudah setuju untuk bermain sehingga Ogos – dan bukannya Jun. Dan itu antara alasan yang akan digunakan Messi untuk menebus klausa tersebut.

Mana mungkin Lionel Messi pergi pada bulan Jun yang lalu kerana Barcelona memerlukan beliau untuk mengharungi baki saingan liga dan kemudian Liga Juara Juara Eropah. Musim 2019/20 memang kalendarnya tidak seperti musim kebiasaannya, selepas dunia dilanda wabak.

Messi menghantar faks yang menyatakan bahawa beliau mahu meninggalkan Barcelona dengan mengaktifkan klausa tersebut dan meminta pemanjangan tempoh klausa itu aktif adalah sejajar dengan musim yang dilanjutkan.

Dengan cara itu, Messi boleh berpindah ke kelab lain secara percuma. Barcelona terus mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan dengan situasi Lionel Messi.

RAC1 melaporkan bahawa Messi telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Koeman. Dan Koeman menegaskan beliau tidak mahu Messi pergi. Bartomeu mengugut Messi untuk membayar €700 juta jika beliau mahu pergi. Dan tidak ada kelab yang sanggup membayar angka sebesar itu.

Messi kekal

Lionel Messi akhirnya memutuskan untuk terus kekal di Barcelona selepas drama yang agak panjang kali ini. Pemain yang digelar La Pulga itu menyatakan bahawa dia sedar bahawa mustahil untuk beliau pergi meninggalkan Barcelona dengan klausa pelepasan €700 juta tersebut.

Messi menafikan bahawa pembantaian oleh Bayern Munich sebagai sebab utama beliau mahu pergi. Tetapi menyatakan bahawa ada banyak perkara yang berlaku sejak akhir akhir ini membuatkannya bercelaru dan merasakan sudah tiba masanya beliau mahu pergi.

Selain itu Messi turut menyatakan bahawa faktor keluarga adalah paling utama membuatkannya terus kekal dan membuat pusingan U dalam keputusannya. Menerusi satu wawancara eksklusif dengan Goal, Messi mengakui keluarganya sangat terkejut ketia dia menyatakan bahawa dia akan meninggalkan Barcelona.

“Ketika saya menyampaikan keinginan untuk pergi kepada isteri dan anak-anak saya, itu adalah drama yang kejam.”

“Seluruh keluarga saya mulai menangis, anak-anak saya tidak ingin meninggalkan Barcelona, mereka juga tidak ingin pindah sekolah,” kata Messi.

“Anak saya, keluarga saya, mereka membesar di sini dan berasal dari sini. Tidak ada yang salah dengan keinginan untuk pergi. Saya memerlukannya, kelab perlukannya dan itu adalah yang terbaik untuk semua orang.”

“Isteri saya, dengan semua rasa sakit di jiwanya , menyokong dan menemani saya,” tambah beliau lagi.

“Mateo masih kecil dan dia tidak tahu lagi apa ertinya pergi ke tempat lain. Thiago, dia lebih tua. Dia mendengar sesuatu di TV dan dan bertanya.”

“Dia menangis dekat saya dan berkata ‘jangan pergi’. Saya ulang! bahawa itu adalah sangat sukar.”

“Itu terjadi pada saya. Sangat sukar untuk membuat keputusan,” katanya.

“Tapi saya melihat lebih jauh dan saya ingin bersaing di level tertinggi, memenangi gelaran, bersaing di Liga Juara Juara Eropah.”

“Kamu mampu menang atau kalah di dalamnya [persaingan], kerana itu persaingan yang sangat sukar, tetapi anda harus terus bersaing,” jelasnya.

“Sekurang kurangnya bersaing sengit untuk itu dan bukannya berantakan seperti di Roma, Liverpool, Lisbon. Semua itu membuatkan saya berfikir tentang keputusan yang ingin saya lakukan,” kata Lionel Messi.

Pemain antarabangsa Argentina itu akhirnya berjanji untuk kekal sepanjang kempen 2020-21 kerana cintanya kepada Barca dan peminat mereka.

Messi lupakan tawaran €700 juta

Keputusan Messi itu bermakna dia telah melupakan tawaran yang dilaporkan sudah dipersetujuinya secara lisan dengan City.

City sanggup membayar pakej kontrak keseluruhan bernilai €700 juta. Angka yang sama dengan klausa pelepasan di Barcelona. Seperti yang dilaporkan oleh Duncan Castles dari Daily Record, pemilik City dan Messi telah bersetuju dengan syarat untuk perjanjian lima tahun bernilai €700 juta (£623 juta).

Tawaran itu akan menyaksikan Messi bermain tiga tahun di Liga Perdana Inggeris dengan Man City dan dua tahun lagi dengan New York City FC – yang juga dimiliki oleh City Football Group (CFG).

Sumber yang sama juga melaporkan bahawa Messi akan ditawarkan saham ekuiti dalam CFG sebagai sebahagian daripada pakej pampasannya.

Ini adalah tawaran kontrak yang akan mengukuhkan status pemenang Ballon d’Or enam kali sebagai pemain bola sepak terbaik di dunia dan menerima gaji sangat lumayang sepanjang baki kariernya.

Messi terdesak untuk bekerja di bawah Guardiola lagi, kerana Guardiola pernah mengeluarkan bola sepak yang terbaik darinya, dan dia ingin mengulanginya. Presiden Josep Maria Bartomeu “tidak mahu dikenang sebagai presiden yang menjual Messi”.

Namun, spekulasi mengenai masa depannya tetap panas. Pemenang Ballon d’Or enam kali itu masih dikaitkan dengan kelab seperti Paris Saint-Germain dan Manchester City. Messi juga telah membuka pintu untuk berpindah ke MLS sebelum menggantung butnya.

El Mundo Dedah gaji Messi:

El Mundo mendedahkan jumlah bayaran diterima Messi untuk kontrak yang ditandatangainya pada 2017 – berdurasi 4 tahun yang akan berakhir pada Jun ini.

Secara keseluruhan, Messi menerima €555,237,619 selama 4 tahun di Barcelona. Itu bersamaan dengan sekitar RM2.73 billion.

Setiap musim kapten legenda Barcelona, Lionel Messi menerima €138 juta daripada gaji tetap dan bonus lain. Manakala €115 juta adalah bayaran yang diterima Messi sebaik sahaja beliau menurunkan tandatangan ke atas kertas kontraknya pada 2017 sebagai bonus pembaharuan kontrak.

Secara relevannya, Barcelona tidak perlu membeli pemain lain dan hanya perlu membayar €115 juta terus kepada Messi dan agensinya. Messi sebelum ini mahu pergi meninggalkan Barcelona. Dan jika itu berlaku Barcelona boleh menjimatkan sekitar €78 juta untuk bonus kesetiaan.

Bonus ini hanya akan keluar jika Messi menghabiskan kontraknya di Barcelona. Ini bermakna Messi akan menerima bonus kesetiaan bernilai €77,929,955 kerana sudah kekal di Barcelona sehingga tamat kontraknya pada Jun 2021.

Jadi secara terkumpulnya, sehingga Jun lalu. Leo Messi akan menerima wang terkumpul sebanyak  €555,237,619. Angka itu mungkin akan kurang sedikit pada gaji beliau kerana Messi menerima pemotongan gaji.

Pendedahan ini menjadikan Lionel Messi sebagai pemain dengan kontrak paling tinggi dalam sejarah bola sepak. Messi sememangnya legenda Barcelona yang sangat berpengaruh. Di mana purata 70% daripada penjualan jersi Barca setiap musim adalah dicetak nama Messi.

Kedudukan kewangan Barcelona ketika ini sangat kritikal. Dan mereka tidak dapat membayar gaji Messi untuk Januari pada musim lalu.

Barca malah diancam muflis dengan bebanan hutang kasar yang lebih €1.2 billion.

Koresponden sukan terkemuka Guillem Balague menepis dakwaan yang mengaitkan Messi sebagai punca kenapa Barcelona berisiko muflis. Sebaliknya berpendapat, ianya berlaku kerana pengurusan yang teruk.

Barcelona berbelanja sehingga tak ingat dunia dalam membeli pemain dalam beberapa musim kebelakangan ini. Dan beberapa nama besar itu gagal memberikan impak lebih baik di atas padang. Messi sudah menjaringkan gol yang sangat banyak untuk Barcelona sejak menyertai mereka.

Pada Disember lalu Messi memecahkan rekod Pele sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol untuk satu kelab.


Ayuh mulakan sedikit kira kira:

4 tahun Messi dapat €555.2 juta

Setahun Messi dapat €138.8 juta

Sebulan Messi dapat €11.56 juta

Seminggu Messi dapat €2.89 juta

Sehari Messi dapat €412.9k

Sejam Messi dapat €17.2k

Seminit Messi dapat €287

Sesaat Messi dapat €4.78

Ataupun tukaran kepada Ringgit Malaysia

4 tahun Messi dapat RM2.73 billion

Setahun Messi dapat RM681 juta

Sebulan Messi dapat RM56.72 juta

Seminggu Messi dapat RM14.18 juta

Sehari Messi dapat RM2.02 juta

Sejam Messi dapat RM84k

Seminit Messi dapat RM1,408.20

Sesaat Messi dapat RM23.45

Purata manusia bernafas dalam seminit adalah 12 hembusan nafas. Jadi untuk setiap kali Messi menarik dan menghembus nafasnya dia mendapat RM117.

Jika kita termenung selama seminit kerana membaca pendapatan luar biasa Messi, dan pada masa yang sama, jika Messi ketika ini pun sedang termenung seminit di bilik mandi, Messi sudah menjana RM1,408.20.

Barcelona ancam saman El Mundo

Kenyataan El Mundo itu memberikan impak kepada usaha Barcelona meminta penangguhan hutang daripada beberapa bank besar dan juga 19 kelab lain – atas urusan perpindahan pemain.

Seperti yang dinyatakan di dalam laporan kewangan kelab, dengan Liverpool sahaja mereka berhutang sebanyak £28 juta (29 juta euro) untuk Coutinho.

Selepas hutang Coutinho, Blaugrana berhutang dengan Ajax £ 14 juta (€ 16 juta) untuk Frenkie de Jong, Bordeaux £ 8,8 juta (€ 9,9 juta) untuk Malcom dan Gremio £ 7 juta (€ 7,9 juta) untuk Arthur Melo.

Agak menarik kerana Melo dijual terlebih dahulu sebelum harganya dibayar langsai. Arthur ditukarkan dengan Pjanic yang merupakan opsyen lebih murah dari segi gaji.

Kapten kelab  tersebut kemungkinan akan mengakhiri kariernya selama 17 tahun di Camp Nou pada musim panas ini, dengan Barca dilaporkan tidak mampu terus membayar gaji pemain itu yang lumayan di tengah-tengah hutang yang meningkat melebihi € 1.2 bilion.

Pegawai Blaugrana telah menyatakan  hasrat mereka untuk meyaman El Mundo kerana mengeluarkan butiran kontrak Messi kepada umum tanpa izin mereka, sambil mengutuk cubaan mencemarkan nama baik watak dan imej Messi.

“Melihat maklumat yang disiarkan hari ini di surat khabar El Mundo, berkaitan dengan kontrak profesional yang ditandatangani antara FC Barcelona dan pemain Lionel Messi, kelab menyesali penerbitannya memandangkan ia adalah dokumen peribadi yang diatur oleh prinsip kerahsiaan antara pihak, ” tegas Barcelona menerusi pernyataan di laman web rasmi.

“FC Barcelona dengan tegas menolak tanggungjawab untuk penerbitan dokumen ini, dan akan mengambil tindakan perundangan yang sesuai terhadap surat kabar El Mundo, atas segala kerosakan yang mungkin disebabkan oleh penerbitan ini.

“FC Barcelona menyatakan sokongan mutlak ke atas Lionel Messi, terutama dalam menghadapi segala usaha untuk mencemarkan nama baiknya, dan merosakkan hubungannya dengan entiti di mana dia telah bekerja untuk menjadi pemain terbaik di dunia dan dalam sejarah bola sepak.”

Messi gagal berpindah pada musim panas lalu setelah keputusannya untuk mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya tidak dilayan Barcelona.

Baca yang lain