Lelaki Lubnan Ini Merompak Bank Untuk Mengeluarkan Wangnya Sendiri Dari Bank Namun Melebihi Had

Disebabkan dasar Lubnan yang mengehadkan jumlah pengeluaran tunai bagi setiap pelanggan bank, terdapat ramai yang terdesak untuk mengambil simpanan mereka melebihi daripada had maksimum. Dan ada seorang lelaki nekad melakukan apa sahaja sebab keperluan yang mendesaknya.

Lelaki  terdesak tersebut memutuskan untuk merompak bank supaya dia boleh mengambil wang yang disimpannya di bank tersebut.

Sembilan pekerja bank yang terletak di kawasan Bekaa, Lubnan, telah dijadikan tebusan oleh seorang lelaki yang sedang marah pada 21 Januari 2022. Perompak sebelum ini bengang kerana tidak dibenarkan mengambil wang tunai sekitar AS$50,000 ataupun sekitar RM210k daripada akaunnya. Namun disebabkan polisi bank pusat perkara tersebut menjadi mustahil.

Lubnan kini sedang mengalami krisis monetari, jadi peredaran tunai dihadkan kepada rakyatnya.

Perompak bernama Abdullah al-Saii itu akhirnya terdesak untuk mengeluarkan wang simpanannya. Selepas berulang kali ditolak oleh juruwang untuk mengeluarkan sejumlah besar wang tunai yang besar, dia kembali ke cawangan bank dengan membawa pistol dan bom tangan. Di hadapan juruwang itu, dia juga menyiram dirinya dengan minyak petrol, sambil mengancam untuk membakar dirinya.

Laporan oleh agensi media tempatan melaporkan bahawa Saii menjadikan 9 orang pekerja bank di situ sebagai tebusan. Saii memberikan mereka amaran bahawa dia sanggup meletupkan bank itu bersama dirinya sekali dan semua mereka akan mati.

Kerana ketakutan, pekerja bank itu akhirnya membenarkan lelaki itu mengambil sejumlah besar wang walaupun tidak mengikut tuntutan awal yang dimintanya. Media tempatan Lubnan berkata, pelaku melakukan tindakan tersebut kerana terdesak mahu menyelamatkan perniagaan kafenya.

Sejak tiga tahun lalu, mata wang rasmi Lubnan, lira, telah menurun nilai sebanyak 95 peratus. Bank pusat dan persatuan bank di negara mereka mulai menghalang orang ramai mengeluarkan wang mereka sesuka hati. Ini kerana menurut mereka, ianya akan membuatkan banyak bank yang akan akan gulung tikar dan itu akan memberikan impak kepada ekonomi negara, jika orang ramai dibenarkan mengeluarkan wang tanpa sekatan.

Rakyat Lubnan ramai yang marah dengan polisi dan sekatan tersebut yang dikatakan hanya mahu menyelamatkan bank tanpa ada penyelesaian untuk orang awam yang ketika ini terdesak mahu mengeluarkan wang mereka. Lebih lebih lagi apabila PBB mengesahkan bahawa langkah tersebut tidak menjamin akan membantu menyelamatkan ekonomi negara mereka. Hal ini kerana, kemerosotan ekonomi berlaku kerana penurunan nilai lira. Dijangka sebanyak 78 peratus penduduk Lubnan akan jatuh miskin dalam masa yang terdekat.

Lagipun lelaki tersebut hanya melakukan aliran tunai dalam negaranya dan bukannya pergi melakukan transaksi aliran tunai ke luar negara. Dia cuma mahu menyelamatkan kafenya daripada muflis dalam situasi ekonomi yang meruncing.

Saii sendiri segera dikehendaki pihak berkuasa kerana memaksa pekerja bank membenarkannya mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang besar. Dia telah ditahan di rumahnya, di Kampung Kefraya, tetapi wang yang diambil tidak ditemui. Polis mengesyaki dia menyerahkan wang kepada isterinya. Namun pada waktu artikel ini ditulis, isterinya masih gagal dibuktikan ada menerima atau menyimpan wang tersebut.

Persatuan Bank Lubnan mengecam tindakan Saii, bimbang tindakan serupa boleh ditiru oleh pelanggan lain yang melulu dan membuatkan bank dalam kesusahan. Pihak bank menuntut polis memperketatkan keselamatan setiap cawangan, supaya keselamatan pekerja terjamin.

Pendirian berbeza disuarakan oleh Persatuan Pelanggan Bank Lubnan. “Kami menyokong tindakan Abdullah al-Saii, kerana apa yang dia lakukan hanyalah mengambil haknya. Bank, dalam kes ini, mereka yang sebenarnya telah merompak orang ramai,” kata kenyataan bertulis daripada akaun Twitter milik persatuan pelanggan itu.

Saii mendapat sokongan Persatuan Pelanggan, dengan bantuan seorang peguam. Dina Abou-zour, peguam yang mengendalikan kes itu, bercadang untuk memohon penangguhan penahanan supaya Saii boleh dibebaskan dari penjara dengan jaminan polis.

Dina, ketika ditemu bual oleh laman web al Arabiya, mendakwa tiada bukti bahawa Saii membawa pistol atau bom tangan ke dalam bank. Dia hanya menyiram dirinya dengan petrol. Selebihnya, lebih kepada cerita rekaan pihak bank. Maklumat bahawa dia membawa senjata ke bank datang daripada pegawai penguatkuasa undang-undang. Peguam tersebut menuntut rakaman video untuk membuktikan Saii benar benar menjadikan pekerja bank sebagai tebusan dengan bom tangan dan senjata di tangannya.

“Kami percaya berita Saii seperti merompak bank ini adalah agenda yang saja diwujudkan oleh pihak berkuasa supaya orang lain tidak menuntut hak mereka untuk ditunaikan iaitu mengambil wang daripada akaun sendiri,” kata Dina.

Saii sendiri terus bergelut dari dalam penjara. Dia dilaporkan melancarkan mogok lapar untuk dibebaskan dari penjara. Di mata rakyat Lubnan, nama Saii dijulang sebagai wira sebenar.

Disebabkan oleh kegawatan ekonomi, kerajaan pusat Lubnan kini sedang berbincang dengan beberapa organisasi antarabangsa untuk meminjam wang. Bagaimanapun, proses penstrukturan semula ekonomi sedang tergendala, kerana keadaan politik di Lubnan semakin teruk. Lubnan adalah sebuah negara yang mempunyai sistem politik yang unik di Timur Tengah.

Kerajaan mereka sentiasa melibatkan kompromi tiga puak utama, Islam Syiah, Sunni, dan Kristian. Namun seringkali berlaku perbalahan antara 3 puak ini membuatkan banyak perkara gagal disepakati kerana ada sahaja prasangka di antara mereka.

Baca yang lain