Mayweather Pecahkan Muka Jake Paul Menjelang Perlawanan Bertemu Logan Hujung Minggu Ini

Jake Paul yang memegang rekod tiga kemenangan tanpa kalah sebagai petinju profesional telah dihentak oleh Floyd Mayweather sehingga lebam biji matanya pada hujung minggu lalu.

Youtuber yang berjaya menewaskan Ben Askren menerusi keputusan KO itu telah melakukan satu hal yang membuatkan Mayweather sangat bengang dengannya.

Floyd Mayweather dijadualkan akan bertarung dengan abang kepada Jake, Logan Paul pada hujung minggu ini.

Ketika sesi promosi perlawanan mereka hujung minggu lalu, Mayweather telah terlibat dalam satu pergaduhan besar dengan Youtuber sensasi itu.

Mereka berdua pada awalnya hanya sekadar berdebat dan saling maki memaki, namun Jake kemudiannya telah melakukan satu hal yang membangkitkan kemarahan Floyd.

Paul mencabut topi dari kepala Floyd dan terus melarikan diri sambil menganjing petinju terhebat dunia itu.

Mayweather bersama orang-orang beliau segera mengejar Jake dan membelasah beliau di situ hingga mengakibatkan kecederaan di muka adik kepada Logan itu.

Selain lebam di kedua-dua belah matanya, Jake turut mengalami pendarahan di hidung dan mulutnya.

Walau sudah dibelasah teruk, Jake Paul masih lagi tidak mengalah untuk menganjing Juara pound-for-pound itu dengan menyatakan bahawa tumbukannya tak menyakitkan.

Bercakap ketika temu bual bersama Showtime Sports, Logan Paul menjelaskan:

“Ia merupakan uppercut. Kamu dengar bunyi dia. Pengawal dia memegang saya dari belakang dan muka saya seperti ini dan dia cuma, ‘what the ****?’ dan terus tumbuk muka saya.”

“Dia bengang dan menjerit mahu membunuh saya dan ia sangat kelakar sebenarnya… Saya beritahu abang saya ini, ‘pukulan dia langsung tak menyakitkan.”

Abang kepada Jake, Logan Paul telah mendedahkan bahawa Mayweather telah menumbuk adiknya sebanyak dua kali dengan menyatakan:

“Saya rasa dua kali berturut-turut. Saya rasa juga ia merupakan tumbukan tepat menggunakan tangan kanan. Mata dia lebam, tapi saya rasa dia tak ada masalah.”

“Berapa orang je di dunia ini boleh tunjukkan mata dia lebam sebab kena tumbuk dengan Floyd Mayweather?”

Sementara itu, Mayweather sendiri jelas tidak berpuasa hati dengan tindakan Jake yang dianggap biadap itu dan beliau telah memberi amaran keras kepada Youtuber itu.

Bercakap tentang kecederaan di muka Jake Paul selepas insiden tersebut, Mayweather menyatakan:

“Saya tak suka dipermain-mainkan. Saya bukan bahan gurauan, ia merupakan satu hal yang sangat biadap.”

“Sebab tu kamu akhirnya balik dengan lebam dua-dua biji mata, hidung kamu berdarah dan gigi kamu patah.”

“Buat hal lagi dengan saya lepas ni, kamu akan berakhir dengan memakai neck brace.”

Jake Paul awalnya telah diharamkan dari menonton perlawanan hujung minggu ini yang menemukan legenda boxing yang kini berusia 44 tahun, Floyd Mayweather dan Youtuber berusia 26 tahun, Logan Paul.

Namun begitu, larangan tersebut telah ditarik balik dan Mayweather berpeluang untuk tibai dua beradik Paul pada malam tersebut.

Walau bagaimanapun, Jake Paul sebenarnya perlu beri tumpuan untuk perlawanan yang melibatkan dirinya sendiri tidak lama lagi.

Bekas Juara Dunia UFC, Tyron Woodley telah dipilih sebagai lawan untuk Jake Paul dalam perlawanan keempat beliau di pentas Pro Boxing.

Perlawanan pada hujung minggu ini tentu menarik untuk disaksikan dengan Mayweather berkemungkinan akan berdepan dengan kedua-dua Jake dan Logan pada malam yang sama.

Baca yang lain

Penyokong Sociedad Ejek Greenwood

Mason Greenwood sekali lagi menjadi serangan lisan berbaur hinaan ke atasnya. Penyokong pelawat, penyokong Real Sociedad telah berkali kali melaungkan Greenwood pergi