Melaka, Kedah, P. Pinang, Kelantan Hutang RM10 Juta

Semalam Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Melaka, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang antara pasukan yang masih berhutang tunggakan gaji pemain.

Perkara itu mendapat perhatian ramai pihak. TMJ menegaskan: “Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19.”

“Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu.”

“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.”

“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.”

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.”

“Kebanyakan pasukan bergantung 100% peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji.”

“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri.”

Hutang RM10 Juta

Harian Metro melaporkan bahawa, hutang tunggakan gaji pemain melibatkan 4 pasukan tersebut mencecah RM10 juta.

Melaka adalah pasukan yang memiliki tunggakan gaji paling tinggi iaitu sebanyak hampir RM5 juta.

Angka itu adalah jumlah yang belum dibayar kepada pemain dan pegawai pasukan membabitkan pembayaran untuk bulan Febuari dan Mac tahun ini.

Selain itu, Melaka juga ada tunggakan gaji pada musim 2019 yang masih tak diselesaikan lagi. Semuanya berjumlah RM800,000 kepada pemain membabitkan gaji 2019.

Tunggakan RM800,000 ini perlu diselesaikan sebelum 30 April untuk mengelak dikenakan tindakan pemotongan enam mata.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), Mohd Ashiq Abd Samad mengesahkan pasukannya gagal untuk membayar tunggakan dua bulan gaji kepada pemain.

Oleh sebab itu, mereka terpaksa melupakan inisiatif untuk memotong gaji itu. Sebelum ini Yusoff Mahadi membidas PFAM yang meletakkan syarat khas kepada pasukan yang mahu memotong gaji pemain.

Di mana PFAM meletakkan syarat, tunggakan gaji sebelum ini harus dilangsaikan terlebih dahulu sebelum memotong gaji pemain kerana krisis Covid-19.

Mohd Ashiq Abd Samad memberitahu Arena Metro: “Hutang hampir RM4 juta membabitkan semua peringkat iaitu skuad utama hingga kepada belia termasuk pegawai pasukan.”

“Kami berusaha mahu menyelesaikan keseluruhan tunggakan terbabit dan sekarang ini ada masalah sedikit berikutan tampuk pemerintahan Musa berubah,” katanya.

Pasukan Kelantan pula ada tunggakan gaji pemain sebanyak RM4 juta. Kelantan sebelum ini mengesahkan mereka sudah mendapat persetujuan daripada pemain untuk membayar secara ansuran.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Hussin Deraman turut mengesahkan bahawa hutang RM4 juta adalah hutang lapuk daripada pengurusan lama.

Beliau memberitahu: “Kafa sedia maklum perkara terbabit dengan hutang berkenaan bukan yang terbaharu, namun sudah lapuk dengan usaha membayarnya sedang dilakukan pasukan,” katanya.

Dua lagi pasukan dari Utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang memiliki tunggakan sekitar RM1 juta.

Sumber: Harian Metro

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.