Melihat Dilema Jerman-Turks Dari Cerita Persaraan Ozil Beberapa Tahun Lalu

Share on facebook
Share on twitter

“Dasar Jerman-Turks, pendatang [imigran]’, Itulah antara kata-kata stereotaip yang menjadi ‘makanan’ kepada kanak-kanak berbangsa Turki di Jerman. Boleh dikatakan ia dilalui oleh hampir kesemua mereka.

Pada era moden ini, intergrasi kaum Turki dengan bola sepak Jerman telah melahirkan nama-nama besar termasuk Ozil, Ilkay Gundogan, Emre Can, Cenk Tosun dan ramai lagi.

Ozil telah menjadi nadi kepada kejayaan Jerman di Piala Dunia 2014 dengan aksi terbaik beliau. Beliau diundi 5 kali sebagai pemain terbaik Jerman. Bukan satu pencapaian yang anda boleh katakan sekadar nasib.

Beliau adalah pemain penting era Joachim Low. 5 kali menjadi pemain terbaik Jerman. Namun legasi Ozil – yang dicipta dan dicapai kerana aksi di padang – seakan akan dihapus oleh sikap perkauman sesetengah pihak yang berubah menjadi pembunuhan karakter.

Ozil telah menjadi mangsa kecaman kerana kegagalan Jerman di Piala Dunia 2018.

Kecaman itu biasa dalam bola sepak. Namun beliau tidak dapat menerima apabila asal usul keturunan beliau menjadi subjek kecaman.

Adakah kecaman berbaur perkauman ini selektif kepada Ozil kerana dia adalah berdarah Turki. Ozil mempertikaikan kenapa dia tak pernah mendengar label Jerman-Poland untuk rakannya Podolski dan Klose.

Klopp: Media Jerman melebih lebih

Jurgen Klopp antara lelaki Jerman yang melahirkan sokongan beliau dan mempertahankan tindakan Mesut Ozil yang bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Endorgan.

blank

Ozil menjadi sasaran utama media dan beberapa penyokong Jerman di sebalik prestasi memalukan negara tersebut pada Piala Dunia 2018.

Walaupun Ozil menjadi pemain paling banyak mencipta peluang dalam kem Jerman, Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness antara yang lantang menghentam pemain itu.

Menurut Hoeness, Ozil patut bersara selepas Piala Dunia 2014 kerana itulah kali terakhir pemain itu bermain baik. Hoeness memperlekehkan kenyataan Unai Emery yang menyenaraikan Ozil dalam 5 calon utama untuk menjadi kapten Arsenal ketika itu.

Klopp walaubagaimanapun mempertahankan Ozil dan faham kenapa pemain itu bersara daripada arena antarabangsa. Ia bukan sebab Ozil tak patriotik, tetapi layanan beberapa media dan orang Jerman ke atas beliau. Mereka sengaja memperbesar besarkan isu gambar itu menjadikan ia sensasi dan berniat jahat.

Klopp juga setuju Ozil menjadi kambing hitam kegagalan pasukan Jerman. Kenapa pemain-pemain lain seperti Neuer, Muller dan Kross tidak dikritik? Kenapa perlu ada ‘double standard‘?

Sedangkan Jerman memegang kepada prinsip, menang bersama dan kalah bersama. Klopp berkata:

“Ini adalah contoh klasik bagaimana informasi yang salah dan sudah tentunya ianya mengarut sepenuhnya.”

“Gambar ini telah disalah guna dan Ozil menjadi mangsanya.”

blank

“Dalam politik, perkara kecil pun akan diperbesarkan secara berterusan.”

“Biasanya orang yang bijak akan berdiam diri kerana sukar untuk mereka berkata perkara yang betul. Ini termasuk saya sendiri.”

“Ramai yang tidak tahu apa-apa bercakap dengan lantang dalam perbicangan ini.”

“Saya sangat kenal dengan Ilkay Gundogan, begitu juga Emre Can, Nuri Sahin. Walaupun saya tak kenal sangat dengan Ozil namun saya mahu untuk menjemput dia ke rumah.”

blank

“Saya tidak pernah meragui kesetian mereka ini kepada negara kami.”

“Perbezaan yang ada pada mereka adalah salah satu perkara yang negara kita miliki, jadi di mana masalahnya?”

“Itu adalah perkara yang cantik, perbezaan budaya, dan kita semua pasti ingat betapa indahnya Piala Dunia 2006, di mana iklan Pala Dunia menggunakan ibu bapa Gerald Asamoah dan Mario Gomez sedang ‘barbeque’ bersama-sama.”

“Kita semua saksi betapa indahnya ia berlaku. Dan sekarang ini, 2 pemain ini, gambar mereka jatuh ke tangan orang yang sangat licik mahu menegakkan hujah mereka 100% betul.”

“Sebab itu saya merasakan perbincangan hal ini penuh kepura-puraan, hipokrasi.”

blank

“Apa yang membuat keadaan ini teruk adalah, orang di luar tidak diberikan informasi yang betul.”

“Media tidak sepatutnya terlalu mencipta sensasi untuk perkara seperti ini setiap hari. Cuba lebih bertenang dan lihat siapakah orang di sebalik semua ini.”

Cerita mungkin berbeza

Jika Jerman juara Piala Dunia 2018, mungkin semua orang akan memuji Ozil. Dan tak siapa pun akan kisah yang beliau bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Endorgan.

Orang Jerman mungkin akan terasa tersinggung jika ada yang menyatakan Ozil ini orang Turki. Endorgan datang ke London atas lawatan politik dan beliau meluangkan masa untuk bertemu dengan beberapa bintang Jerman berdarah Turki termasuk Ozil, Gundogan dan Cenk Tosun.

Perbuatan Endorgan ini dikatakan mahu meraih populariti dalam pemilihan Presiden Turki yang selepas itu dimenangi beliau.

Presiden pasukan kebangsaan Jerman, Frank-Walter Steinmeier, mengecam tindakan Ozil dan rakan-rakannya dan mempersoalkan kenapa perlu masuk campur dalam kempen politik Endorgan?

Ozil mempertahankan tindakannya kerana bagi beliau, sesiapa sahaja pemimipin tertinggi Turki yang mahu berjumpa dengan beliau, ianya adalah satu penghormatan dan menyantuni pemimpin tanpa memandang dari pihak parti mana.

Ozil dalam kenyataan media beliau semalam menegaskan yang beliau tidak pernah lupa asal-usulnya dan sentiasa ada 2 hati iaitu berjiwa Jerman dan Turki.

Ilkay Gundogan lebih lebih teruk dihentam kerana menulis ucapan pada jersi yang diberikan kepada Endorgan bertulis:

“Untuk Presiden-ku yang dihormati, dengan segala hormatnya.”

blank

Pihak DFB, mengutuk tindakan tersebut. Seorang lagi ahli politik yang berdarah Turki di Jerman, Cem Ozdemir dalam kenyataan sinikal beliau meminta Endorgan memulangkan jersi itu.

Kenyataan itu dijadikan tajuk utama muka hadapan akhbar nasional dalam kenyataan media beliau telah ditulis di muka Die Welt yang merupakan akhbar nasional Jerman.

Tajuk akhbar berbunyi:

“Pulangkan balik jersi itu Encik Endorgan, itu milik Steinmeir.”

Ia telah menghangatkan isu. Di Jerman ada hampir 3 juta rakyat Jerman-Turks. Di Berlin sahaja dilaporkan populasi mereka adalah sekitar 139 ribu orang.

Jerman-Turks di Jerman

Mereka adalah generasi yang menetap di Turki ketika migrasi daripada Turki pada perang dunia ke-2. Golongan ini digelar Gastarbeiter ataupun ‘guest workers’ (tetamu pekerja).

blank

Jasa mereka kepada Jerman adalah membantu negara tersebut membina semula kerosakan selepas perang dunia ke-2. Kolumnis DW menggelar mereka sebagai tetamu yang kemudian menjadi sahabat membangunkan negara Jerman.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerja yang dianggap kotor, berminyak, terlalu berat dan susah di tapak pembinaan dengan kebanyakan mereka sanggup bekerja lebih masa.

Ketika itu, dasar kerajaan Jerman adalah untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dari luar sempadan mereka yang mahukan pendapatan lebih.

Golongan Jerman-Turks ini ada tempoh perkhidmatan mereka sendiri dan akan pulang semula ke Turki selepas beberapa tahun. Ini yang membuatkan mereka digelar ‘Anatolian Auf Wiedersehen Pet’.

Namun setelah tinggal di Jerman, ramai yang bekeluarga dan tidak mahu balik ke Turki. Mereka mulai selesa tinggal di Jerman kerana ia seperti mini Turki untuk mereka. Ramai orang Turki di Jerman membuatkan mereka boleh mengamalkan budaya dan cara hidup Turki di Jerman.

Ini termasuk, perayaan, makanan, bahasa dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan dengan Turki. Itu adalah generasi pertama Jerman-Turks di Jerman.

Ramai antara mereka meminta taraf kewarganegaraan tetapi banyak yang gagal. Sehinggalah ke generasi ke-3 mereka di mana pada 1990, berlaku perubahan dalam syarat kewarganegaraan Jerman.

Kerajaan melihat terlalu ramai orang Turki di Jerman dan mereka ada kepentingan tersendiri dalam sektor ekonomi di Jerman. Mereka berintergrasi dengan baik dengan orang Jerman walaupun seringkali menjadi mangsa perkauman.

blank

Inilah pertama kalinya dalam borang permohonan kewarganegaraan termaktub terma ‘Deutsch-Türken’ ataupun Jerman-Turks yang membolehkan ada beberapa syarat khas diberikan kepada orang Turki, yang bermastautin terutama sekali yang lahir di Jerman untuk mendapatkan kerakyatan.

Pada tahun 2000, Parlimen Jerman menggubal sekali lagi dasar ke atas Jerman-Turks dan bersetuju dengan prinsip Jus Soli. Di mana, sesiapa sahaja yang lahir di Jerman dengan syarat, ibu bapa mereka tinggal di Jerman lebih daripada 8 tahun.

Hari ini situasi Jerman-Turks di Jerman masih sentiasa menjadi perbualan hangat di Parlimen. Banyak sekali isu dibincangkan melibatkan kebudayaan, mobiliti sosial, keagamaan, pendidikan dan sebagainya.

Mereka dianggap antara bangsa yang berhadapan dengan konflik indentiti di Jerman.

Jerman-Turks dan bola sepak

Di Jerman sebelum pengenalan Jus Soli pada tahun 2000, ramai bangsa Jerman-Turks tidak diberikan hak sama rata dalam pendidikan. Jadi, pada usia muda mereka sudah sedia untuk bekerja di sektor tidak profesional dan kerja berkemahiran rendah (low skilled jobs).

Bola sepak antara wadah yang terbaik untuk mereka mengubah hidup mereka kerana di lapangan ini, keupayaan dan bakat teknikal menjadi taruhan.

blank

Kanak-kanak Jerman-Turks ini jauh lebih dedikasi untuk bola sepak. Jika orang Jerman memberikan 100% kepada bola sepak, mereka memberikan lebih daripada itu. Ini kerana, hanya pemain luar biasa sahaja yang akan mampu diterima di akademi profesional di Jerman.

Selepas kerajaan berusaha menyamaratakan hak pendidikan kepada semua, kanak-kanak Jerman-Turks ini turut berhadapan dengan masalah untuk mengikuti pengajian dalam bahasa Jerman.

Ada juga ibu bapa mereka yang terlalu kuat semangat Turki sehingga melarang anak-anak mereka belajar bahasa Jerman. Dan ada kanak-kanak ini dihantar belajar di Turki untuk menikmati sistem pendidikan di sana.

Ini juga salah satu dilema dihadapi oleh kanak-kanak ini yang terpaksa mengikut kehendak ibu bapa dan pada masa yang sama memikirkan tuntutan daripada sistem negara Jerman.

Di lapangan bola sepak, ramai pemain Jerman-Turks muncul selepas itu. Mereka memberikan ledakan kepada kualiti pasukan Jerman dan pada masa yang sama pasukan Turki.

Antara nama yang kita dengar ialah Umit Davala, Yildiray Basturk, Mehmet Ekici, Ihan Mansiz, Hakan Balta, Hamit Altintop, Halil Altintop, Omer Toprak sehinggalah ke Mesut Ozil, Hakan Calhanoglu, Emre Can, Ilkay Gudongan dan ramai lagi.

Skuad Piala Dunia 2002 Turki antara yang bertunjangkan bangsa Jerman-Turks ini. Kualiti mereka sangat baik kerana dilahir dan dibangunkan daripad sistem bola sepak Jerman yang sangat sistematik.

blank

Kontroversi bergambar dengan Endorgan

Ianya lebih kepada perbezaan pandangan politik. Pada 2016, Parlimen Jerman pernah mengundi usul untuk mendakwa empayar Uthmaniyah telah melakukan genocide di Armenia.

Beberapa ahli parlimen berbangsa Jerman-Turks telah mendapat ancaman bunuh dan kerajaan memberikan mereka khidmat pengawal peribadi khas.

Pada 2017, di Turki, Endorgan telah mengadakan referendum untuk membenarkan bangsa Jerman-Turks di Jerman diberikan 2 kerakyatan.

Ini membolehkan mereka mengundi dalam pemilihan presiden Turki. Di Turki, perkara ini telah menerima banyak bantahan kerana ia dianggap tidak masuk akal dan lebih kepada untuk menguatkan lagi kuasa politik Endorgan.

Endorgan adalah pemimpin Turki yang sangat berpengaruh di luar negara terutama sekali di kalangan Jerman-Turks. Apa yang mengejutkan parti kerajaan di Jerman, 63% setuju Jerman-Turks di Jerman menyokong referendum ini. Jauh lebih tinggi daripada pungutan suara di Turki yang hanya 51% bersetuju.

Oleh itu, dilaporkan seramai lebih setengah juta pengundi Jerman-Turks terlibat dalam pemilihan presiden ini. Dan Endorgan menang dengan majoriti kurang sejuta. Akhbar Bild di Jerman terus menuduh, kemenangan Endorgan adalah daripada tangan Jerman-Turks.

Di Parlimen Jerman kemudian isu ini dibahaskan. Kenapa perlu orang Jerman-Turks menentukan kuasa politik di Turki?

Parti berhaluan kiri, Die Linke mendesak agar Jerman mengamalkan ‘fairplay’ bukan sahaja di lapangan bola sepak tetapi turut di arena politik.

blank

Perkataan fairplay itu sindiran kepada Mesut Ozil dan rakan-rakannya yang dituduh mempromosi Edorgan dalam kempen politik. Ozil lebih bijak daripada Gundogan kerana beliau tidak menyatakan sokongan politik beliau kepada mana-mana pihak.

Namun Gundogan yang panas hati dengan sindiran itu telah membalas: “Adakah kami perlu bersikap biadap dengan Presiden ‘keluarga’ kami?”

“Apa sahaja kritikan yang diterima, kami tetap memilih untuk menghormati dan beradab ketika berhadapan dengan Presiden yang menjadi Presiden Turki yang merupakan asal-usul kami.”

Tidak lama selepas itu Ozil dan Gundogan diminta melaporkan diri untuk tugasan Piala Dunia 2018. Mereka berdua terus dikutuk secara terangan oleh Presiden DFB, Reinhard Grindel yang menghangatkan semula keadaan.

Beliau memberikan amaran agar tiada lagi perkara seumpama itu berlaku, di mana ada pemain bola sepak menjadi alat politik. Pengarah DFB, Oliver Bierhoff pula berkata:

“Mereka berdua tak faham nilai simbolik gambar ini yang jelas tidak betul. Dan kami akan bercakap dengan mereka tentang perkara ini.”

Dalam perlawanan pemanas badan sebelum Piala Dunia 2018, Ozil dan Gundogan diejek dan diboo oleh peminat Jerman sendiri.

Antara Jerman dan Turki

Agak ironi kerana sebelum ini nama Ozil disanjung di Jerman dan dijadikan model kepada Jerman-Turks di negara mereka. Jerman bangga memberitahu dunia yang mereka melayan imigran dengan adil dan saksama menerusi sistem perundangan dan sosial negara mereka.

Ozil dan Gundogan kerap dijulang sebagai patriotik, mewakili Jerman untuk membalas jasa kepada negara. Berbeza dengan seorang lagi pemain Nuri Sahin yang kerap dikritik kerana memilih untuk mewakili Turki.

Di Turki pula ada media dan beberapa penyokong memperlekehkan Ozil dan mebanding-bandingkan pemain itu dengan Hakan Calhanoglu yang sanggup memilih bermain untuk Turki.

Namun Ozil menyatakan, itu hanya titik kecil kerana lebih ramai rakyat Turki bangga dengan beliau ketika menjulang Piala Dunia bersama Jerman.

Sebelum itu, adik beradik Hamit dan Halil Altintop yang kerap menjadi mangsa sindiran di Jerman kerana memilih mewakili Turki pada ‘peak’ terbaik mereka. Apa sebenarnya mereka boleh berikan kepada Jerman sebagai rakyat Jerman?

blank

Ada yang menyuruh 2 beradik ini nyah dari Jerman dan balik ke Turki. Itu antara dilema di sana.

Mujur Jerman sarat dengan bakat, ketika Nuri Sahin berada dalam prestasi terbaik. Sejak dari remaja memilih untuk mewakili Turki dan pada ‘peak’ beliau dia terus kekal dengan pilihannya.

Sahin yang juga Jerman-Turks memilih mewakili Turki ketika beliau berada dalam prestasi terbaik beliau dengan Borussia Dortmund. Cenk Tosun bermain untuk Jerman dalam pelbagai peringkat di usia remaja.

Namun pada 2013, beliau memutuskan untuk mewakili skuad senior Turki.

blank

Itulah antara dilema dihadapi oleh pemain Jerman Turks. Mereka serba salah untuk memilih mana satu negara yang mereka wakili. Ramai antara mereka lebih selesa mewakili Jerman, bak kata pepatah, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Namun pada masa yang sama mereka sangat kuat identiti dan perasaan cinta kepada asal usul mereka. Rumah Mesut Ozil di London hampir 90% binaan, perabot dan perhiasan didatangkan khas dari Turki.

Ada yang bertanya, jika begitu kuat sentimen anda kepada Turki, kenapa memilih untuk mewakili Jerman?

Soalan yang sangat sukar dijawab. Apa pula akan jadi kalau beliau memilih untuk mewakili Turki selepas dibangunkan sebagai pemain Jerman sejak dari kecil?

Ozil memutuskan untuk bersara kerana layanan buruk daripada DFB kepada beliau. Ozil menuduh DFB menjadikannya kambing hitam di sebalik kegagalan pentadbiran mereka.

Ozil juga menyatakan hasrat bersara itu kerana serangan berbentuk perkauman ke atas beliau. Kritikan itu haruslah berasaskan persembahan bukannya melibatkan bangsa.

Jadi, betullah ada satu ayat kami jumpa di media sosial, anda akan menjadi imigran yang baik jika menang Piala Dunia, jika tidak, anda hanya imigran yang menyusahkan.

Adakah selepas ini akan lebih ramai pemain berbangsa Jerman-Turks menolak untuk mewakili Jerman? Seperti yang berlaku ketika era Ilhan Mansiz ketika dahulu?

Dan apa pula kata penyokong Jerman dan Turki selepas ini, jika perkara itu berlaku?

‘Saya hanya menjadi orang Jerman ketika saya menang, dan ketika saya kalah, saya adalah imigran.’ – Mesut Ozil

Rujukan

DW

Independent

Jstor

Baca yang lain