Mulai Hari Ini Siapa Ingkar PKP Terus Direman Dan Dihadapkan Ke Mahkamah

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, semakin ramai rakyat Malaysia yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk fasa yang ketiga bermula pada hari ini, pihak polis akan lebih tegas. Sebelum ini denda kompaun RM1,000 ke atas individu yang melanggar kesalahan PKP dilihat tidak memberikan kesan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat individu yang berfikiran kompaun RM1,000 yang dikenakan adalah nilai yang kecil dan tidak menakutkan.

Dipetik daripada Sinar Harian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata: “Kita lihat (sesetengah rakyat) seolah-olah tidak takut dengan undang-undang yang kita ada pada hari ini.”

“Mungkin RM1,000 dianggap tidak tinggi untuk mereka ingkar.”

Oleh itu kerajaan memutuskan untuk mengambil pendekatan lebih drastik. Di mana, mulai hari ini, sesiapa yang ditahan kerana kesalahan PKP akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau menegaskan, keputusan terletak di tangan mahkamah. Di mana pesalah ingkar PKP berhadapan hukuman penjara tidak lebih 2 tahun untuk kesalahan pertama, dan tidak lebih 5 tahun untuk kesalahan seterusnya.

“Kita bersetuju polis tidak lagi memberikan tumpuan kepada kompaun dan mulai esok [hari ini], sesiapa yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.

“Biarlah mahkamah putuskan. Mengikut Seksyen 24 Akta 342, mahkamah boleh menghukum pesalah ini tidak lebih dua tahun penjara bagi kesalahan pertama dan lima tahun penjara bagi kesalahan seterusnya. ”

“Kita anggap biarlah mahkamah putuskan hukuman berat kepada mereka yang ingkar,”

Ismail Sabri juga sudah mendapat tahu tentang perkembangan lalulintas di Malaysia. Di mana berlaku pertambahan jumlah kenderaan berbanding dengan hari PKP sebelum ini.

“Saya difahamkan ramai keluar ke bank untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN). ”

“Kerajaan sarankan supaya mereka yang memohon membuat semakan dalam talian, tetapi ramai juga yang keluar.”

“Sebab itu polis bersetuju bahawa pematuhan masih lagi tidak sampai ke tahap yang disasarkan.”

“Jadi ramai yang agaknya lupa atau sengaja lupa dengan masih keluar seperti biasa. Polis tidak akan berkompromi bukan hanya beri kompaun tetapi, hadapkan ke mahkamah,” katanya.

Jelas beliau lagi, ramai yang seolah-olah menganggap kompaun yang dikeluarkan polis itu sama seperti saman kesalahan jalan raya.

“Mereka mungkin ingat jika tak selesaikan kompaun, tak akan ada tindakan. Bermula esok [hari ini] tidak ada kompromi lagi,” katanya.

Beliau juga mengesahkan bahawa, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 786 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Dan telah melakukan pemeriksaan ke atas kira-kira 546,553 kenderaan.

“Sebanyak 49,394 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,702 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.”

“PDRM telah menahan 1,374 individu kerana ingkar PKP merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala seramai 418 individu direman dan 25 individu dijamin polis,”

Setakat ini sudah 427 individu dituduh di mahkamh kerana ingkar PKP.

“Selain itu juga, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 13 April 2020 adalah sebanyak 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036,” katanya.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.