Penyokong Barca Rempuh Nou Camp Mahu Jumpa Nobita, Rayu Messi Terus Kekal

Para penyokong Barca melakukan satu lagi demonstrasi di hadapan Nou Camp.

Semalam mereka hanya berada di luar jalanraya. Namun kali ini mereka lebih liar dengan merempuh pagar Nou Camp dan masuk ke dalam stadium.

Tujuannya adalah kerana mereka protes kepada pengurusan Josep Maria Bartomeu yang dituduh punca kenapa Lionel Messi mahu meninggalkan pasukan tersebut.

Para penyokong melaungkan Bartomeu Out serta sokongan kepada Lionel Messi.

Mereka merayu agar Lionel Messi terus kekal bersama dengan mereka. Sebaliknya Bartomeu yang digelar Nobita oleh peminat Barca, sepatutnya dia yang harus berambus daripada kelab mereka.

Messi merupakan pemain terbaik dalam sejarah Barcelona. Beliau menjadi figura penting dalam kejayaan Barcelona era moden.

Messi memenangi enam Ballon d’Or ketika bermain bersama kelab dari Catalan itu. Beliau sudah mengecapi banyak kejayaan bersama Barca sama ada secara berpasukan ataupun individu.

Namun agak mengecewakan musim ini apabila Messi dan Barca menamatkan kempen dengan tanpa sebarang piala buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Semalam, Marca dan SPORT melaporkan bahawa Lionel Messi telah memutuskan untuk meninggalkan Barcelona pada jendela perpindahan kali ini.

Messi ataupun La Pulga telah menghantar faks yang menyatakan hasratnya untuk pergi secara percuma.

Keputusan ini merujuk kepada klausa dalam kontrak Messi yang boleh dia boleh tinggalkan pada bila-bila masa secara percuma selepas dia berusia 32 tahun.

Dengan syarat, musim berakhir dan dia menyatakan kepada kelab bahawa dia ingin mengaktifkan klausa tersebut.

Barca masih bertegas bahawa mereka akan kekal dengan pendirian bahawa klausa itu hanya terpakai pada Jun dan selepas Jun mereka meminta klausa pelepasan €700 juta harus dibayar.

Messi sudah melantik peguam untuk memastikan beliau dapat menggunakan klausa pergi percuma itu. Ini sejajar dengan musim liga yang dilanjutkan pada musim ini dan bukannya berakhir pada Jun seperti biasa.

Messi bertemu dengan Koeman sebelum ini dan memberitahu jurulatih Belanda bahawa dia lebih melihat masa depannya keluar dari Barcelona berbanding dengan terus kekal.

Tidak pasti kenapa beliau berkata sedemikian. Ada juga laporan menyatakan bahawa Messi sudah berbincang dengan keluarganya terutama sekali isterinya tentang hasrat beliau untuk meninggalkan Barcelona.

Ke mana destinasi Messi?

Sejak berita Messi mahu kelua daripada Barcelona, banyak kelab yang mulai dikaitkan dengan beliau.

Namun pendahulu kepada persaingan dilaporkan adalah Manchester City. Ini selepas Messi berbincang dengan Guardiola tentang projek pasukan City pada musim mendatang.

Perbincangan itu dikatakan berlaku dalam 2 atau 3 hari yang lepas.

Messi dan Guardiola sebelum ini pernah berganding bersama ketika era emas tiki taka di Barcelona.

Guardiola adalah pengurus yang bertanggungjawab menaikkan nama Messi ketika pemain itu masih muda ketika itu.

Selain daripada Man City, kelab seperti Chelsea, Man United juga dikaitkan dengan Messi.

Inter Milan dilaporkan sudah menarik diri daripada persaingan mendapatkan Messi.

 

Baca yang lain