PSSI Sedang Berunding Dengan FIFA Untuk Elak Hukuman

Ketua Umum PSSI, Erick Thohir menyatakan bahawa PSSI telah berkomunikasi dengan FIFA berikutan pembatalan hak penganjuran sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 di negara tersebut.

PSSI berharap Indonesia akan dapat mengelak daripada hukuman oleh FIFA.

Antara hukuman yang boleh dikenakan ke atas Indonesia adalah larangan bermain di peringkat antarabangsa. Terutama sekali dalam kelayakan Piala Dunia 2026.

Bukan itu sahaja, FIFA juga bersedia menyingkirkan Indonesia daripada sebarang usaha untuk menjadi tuan rumah pertandingan bola sepak di bawah seliaannya. Dan ini akan memberikan impak kepada penganjuran sukan lain termasuk Olimpik, jika Indonesia berminat mahu menjadi penganjur.

FIFA menarik balik hak penganjuran Piala Dunia B-20 daripada Indonesia selepas FIFA tidak yakin dengan jaminan keselamatan atlet Israel yang datang bertanding di negara tersebut.

FIFA turut memetik kes keganasan penyokong yang digelar tragedi Kanjuruhan yang mengorbankan ratusan nyawa.

Indonesia dinafikan hak sebagai tuan rumah pada bulan bulan terakhir sebelum kejohanan itu bermula.

Dengan berjuta juta dollar sudah dibelanjakan oleh negara itu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20.

Segalanya bermula apabila Gabenor Bali, Wayan Koster menyatakan pendirian mereka bahawa kota tersebut tidak mahu menerima pemain pemain Israel jika pasukan itu diundi beraksi di sana.

Kritikan Wayan Koster itu mencetuskan lagi suara ramai penyokong Indonesia yang turut tidak mahu menerima pemain pemai Israel sebagai rakyat Indonesia, yang merupakan negara yang paling ramai penganut agama Islam.

Wayan Koster meminta Indonesia menggunakan hujah bahawa negara tersebut tiada hubungan diplomatik dengan Israel untuk menolak pasukan tersebut daripada bertandang ke Indonesia.

Kritikan itu dibuat sehari sebelum undian Piala Dunia B-20 dibuat, yang kemudian terpaksa dibatalkan.

Erik Thohir menegaskan bahawa dia menjangkakan FIFA akan terus menghukum Indonesia. Kerana biasanya badan yang menjadi ketua bola sepak dunia itu akan bertindak serta merta.

Namun Erick Thohir berkata dia cuba melakukan apa yang dia mampu untuk membantu negaranya mengelak daripada dikenakan hukuman.

Selain itu Erick Thohir juga menyatakan FIFA mungkin akan mengambil tindakan berdasarkan kesalahan campur tangan politik dalam bola sepak.

Erick berkata: “Saya sedang berusaha untuk berunding semula dengan FIFA agar hukuman dapat dielakkan.”

Erick Thohir turut mendedahkan bahawa presiden Indonesia, Jokowi sudah memberitahunya bahawa dia tidak mahu negara tersebut disisihkan sekali lagi daripada bola sepak dunia, selepas kehilangan hak penganjuran Piala Dunia B-20.

Buat masa ini, FIFA masih tidak mahu memberikan sebarang komen kepada Reuters.

Baca yang lain