Rajinikanth: Daripada Konduktor Bas Kepada GOAT Perfileman Tamil Untuk 5 Dekad

Beberapa hari lalu merupakan harijadi Superstar Rajinidkant atau Thalaivar. Masuk tahun 2023 bermakna usia legeda filem India itu adalah 73 tahun. Dan dia telah bertahta di dunia perfileman selama 5 dekad lamanya.

Rajinikanth sangat berbeza dengan hero Kollywood atau Bollywood yang lain. Dia tiada six packs. Wajahnya tidak jambu, malah dia sendiri mengakui dia tidak ada muka seorang hero.

Namun aura dan lakonannya membuatkan dia dianggap GOAT untuk perfileman Tamil. Turut memasuki arena Bollywood pada era 90-an dan pernah berlakon bersama legenda Amitabh Bachchan serta Rajesh Khanna.

Kisah Rajinikanth sangat menarik. Sebelum berlakon dia pernah menjadi kuli dan juga konduktor bas. Malah pernah bekerja sebagai tukang kayu. Siapa sangka hari ini dia telah menjadi superstar legenda. Dia bukan sahaja popular di India malah di seluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia.

Produser, K Balachander antara yang terawal melihat bakat dan keterampilan Rajinikanth. Di mana dia sudah meramalkan Rajinikanth akan menjadi seorang yang fenomena suatu hari nanti hanya dengan melihat ‘api membara’ pada bebola matanya ketika dia masih muda.

Rajinikanth hidup susah ketika muda. Dia adik paling bongsu di kalangan adik beradiknya. Sejak dari muda dia sudah bekerja. Mengambil apa sahaja pekerjaan yang ada. Namun kerja yang paling sebati dengannya sebelum menjadi artis adalah konduktor bas.

Dia seorang konduktor bas agak popular di Bangalore Transport Service (BTS), kerana seorang yang peramah dan juga ada aura yang mampu menarik orang ramai ketika dia bercakap dan membawa dirinya. Walaupun mukanya tidaklah sekacak yang lain, namun apabila dia bercakap, berjalan atau bersembang orang akan tepersona. Malah ramai pada masa itu sanggup menunggu bas yang dia bertugas sebagai konduktor kerana sangat senang dengannya.

Dia disukai ramai orang termasuk golongan wanita sebaya dengannya. Pada ketika itu dia hanya mendapat gaji 750 rupees atau RM45 kita.

Tetapi orang kata, dunia lakonan memang sedang menunggunya. Dia suka berjenaka dan mengajuk lakonan pelakon di TV di hadapan orang lain. Suatu hari dia melihat iklan oleh Madras Film Institute tempat berlatih berlakon.

Ibu bapanya tidak merestuinya kerana kekangan kewangan mereka pada masa itu. Ditambah pula, mereka tak yakin anak mereka boleh menjadi pelakon. Rajinikanth meminjam wang rakannya untuk membayar yuran kemasukan. Satu fakta menarik, sehingga ke hari ini, dia masih berkawan dengan rakannya itu yang memberikannya wang untuk membayar yuran.

Selepas memenangi Dadasaheb Phalke Award, dia mengucapkan terima kasih kepada rakannya itu: “Saya sangat sangat gembira menerima penhgargaan ini. Dan terima kasih tak terhingga kepada kerajaan India yang memberikan saya anugera Dadasaheb Phalke. Saya dedikasikan anugerah ini kepada tuan guru saya, K Balanchander.”

“Sehingga ke hari ini saya masih mengingati beliau dengan rasa rendah diri. Dan tak lupa kepada saudara abang saya Satyanarayana Gaikwad,  yang dah macam ayah saya sendiri, yang mengajar saya nilai murni kehidupan dan mengajar saya tentang kerohanian.”

“Dan terima kasih kepada rakan baik saya dan juga rakan sekerja saya, Raj Bahadur, yang merupakan pemandu bas, dia adalah orang pertama yang mengesan bakat saya dan memberikan semangat agar saya menyertai dunia lakonan.

K Balanchander sangat bertuah kerana menemui bakatnya di arena lakonan dan sangat kagum dengan mutu lakonannya. Lalu melihat masa depan Rajinikanth sebagai superstar.

Dia bermula dengan peranan kecil dalam filem Tamil, Apoorva Raagangal (1975),  sebagai bekas suami kepada pelakon wanita utama oleh Srividya. Menariknya, ketika itu sudah ramai penonton membincangkan kesan lakonannya pada masa itu.

Akhbar The Hindu juga tidak melepaskan peluang untuk memujinya dengan tajuk akhbar laman hiburan: “Pendatang Baru Rajinikanth Berketerampilan Dan Mengagumkan”

Jutaan rakyat India yang membaca akhbar tersebut, membuatkan dia semakin dikenali. Selepas beberapa kali menjadi watak ekstra dan pembantu, dia akhirnya mendapat peranan besar dalam filem Moondru Mudichu pada 1976.

Gaya dia memusingkan rokok dalam filem itu telah menjadi fenomena dan popular di kalangan penonton. Ramai mulai mengikut dan mengajuknya.

Dia kemudian mendapat watak utama pertamanya dalam filem Chilakamma Cheppindi pada 1977. Tetapi kali ini dia menjadi watak villain yang berlawan dengan Kamal Hassan. Namanya mulai dicanang bakal menjadi pelakon watak jahat yang sensasi selepas ini. Sehinggakan pada hari ini King Khan pun mengiktiraf dirinya sebagai peminat setia Rajinikanth.

Selepas popularitinya meningkat naik, dia akhirnya mendapat peranan sebagai pelakon utama yang baik sebagai hero dalam filem Bhuvana Oru Kelvi Kuri (1977). Rajinikanth tidak mengecwakan, di mana dia menerima banyak pujian dan penghargaan. Sepanjang 1990-an dia berlakon banyak sekali filem termasuk filem Hindustan.

Selepas berjaya, dia mulai menunaikan impiannya untuk memiliki rumah mewah dan membeli rumah di Chennai. Rajinikanth berkata, ketika dia memiliki rumah itu barulah dia lebih tenang dan akhirnya menganggap dia sudah mencapai sesuatu hasil lakonannya. Ketika itu dia menjamu ramai orang meraikan hari kejayaannya memiliki rumah mewah itu dan juga sebagai tanda keraian selepas lama berkeringat dalam industri lakonan.

Namanya menjadi semakin mahal. Dan dianggap King bagi perfileman India Selatan. Pada era 70 dan 80-an Rajinikanth berlakon sangat banyak filem. Dia menerima apa sahaja tawaran yang dia rasa boleh bawa. Tidak mengira soal bayaran atau dengan siapa dia berlakon.

Antara filem dia yang sangat popular termasuk Sivaji, Padaiyappa, Thalapathi, Annamalai, Arunachalam, Chandramurkhi dan banyak lagi.

Selepas pengaruhnya semakin kuat dan usianya meningkat, barulah dia memperlahankan sedikit aktiviti lakonannya dan selektif terhadap wataknya. Pada usianya sudah lebih 70 tahun, dia masih aktif berlakon.

Antara filem Rajinikanth selepas era 2010-an termasuk Kabali, Kaala dan Jailer.

Baca yang lain