Rangnick: Saya Bukan Guru Klopp Tetapi Wolfgang Frank

Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick menyatakan, pada pandangan peribadinya bahawa Jurgen Klopp dan Pep Guardiola merupakan 2 jurulatih terbaik di bumi pada ketika ini. Beliau menyebut perkara itu menjelang aksi Manchester Derby.

Jika ada yang tak setuju dua pengurus tersebut terbaik di dunia ketika ini, pasti mereka juga akan bersetuju untuk meletakkan dua pengurus tersebut sebagai antara dua terbaik di dunia.

Liverpool dan City kini bertarung di puncak carta Liga Perdana dan The Reds berharap dapat merapatkan jurang dengan pesaing mereka dengan kemenangan ke atas West Ham pada hari Sabtu.

Kejuaraan liga untuk empat musim terakhir telah dimenangi oleh kedua-dua pasukan, City telah memenangi tiga sejak musim 2017/18, manakala Liverpool menamatkan penantian 30 tahun mereka untuk trofi EPL pada 2020.

Rangnick, yang dibawa masuk sebagai bos sementara di United pada November, memuji pasangan itu dan berkata mereka mempunyai ‘idea yang jelas’ tentang bola sepak.

Rangnick berkata: “Jurgen dan Pep adalah dua jurulatih terbaik di planet ini,” katanya pada sidang akhbarnya pada hari Jumaat.

“Ia agak mudah dalam bola sepak. Anda memerlukan orang yang terbaik, mempunyai idea yang jelas dan berpegang padanya.”

Rangnick mungkin bertanggungjawab di Old Trafford dan kedua-dua pasukan mungkin seteru sengit, tetapi terdapat rasa hormat yang sudah lama wujud antara bos United dan Klopp.

Seterusnya Rangnick mengingatkan bahawa mereka akan berdepan dengan salah sebuah pasukan terkuat di dunia ketika ini iaitu Manchester City yang dibimbing oleh Pep Guardiola.

“Kita tahu kita bermain menentang salah satu pasukan terbaik dunia, jika mereka bukan yang terbaik. Mereka membangun sejak ketibaan Pep.”

“Perkara yang sama berlaku di Bayern Munich dan Barcelona. Pep Guardiola salah seorang pengurus terbaik di dunia. Kami tahu apa maknanya. Ianya tentang kerja keras dalam kerja taktikal, bertempur dan ketika tanpa bola.”

“Kami sudah mencipta banyak peluang dalam 10 atau 11 perlawanan terakhir kami. Kami menjaringkan 4 gol menentang Leeds, dan sepatutnya boleh menjaringkan satu, dua atau tiga gol berdepan Watford.”

“Namun saya akan lebih risau kalau kami gagal mencipta peluang. Kami juga kompak ketika pasukan lawan memiliki penguasaan bola.”

Pep Guardiola memberikan respon bahawa Ralf Rangnick ibarat bapa kepada gegenpressing. Di mana menurut Guardiola, idea permainan Rangnick semakin menjadi ikutan di England ketika ini.

Itulah sebabnya kenapa Ralf Rangnick digelar sebagai Profesor Bola Sepak Jerman ataupun Bapa Bola Sepak Jerman pada era moden. Ini kerana dia banyak melakukan kajian dan pembangunan tentang taktikal bola sepak moden.

Rangnick sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia dan Klopp sudah lama mengenali antara satu sama lain. Terdapat persoalan tentang adakah benar Rangnick merupakan guru ataupun mentor kepada Klopp?

Pengurus interim itu menafikannya. Klopp hanya pernah menjadikan Rangnick sebagai rujukan dalam pembentukan gegenpressing. Oleh sebab itu Rangnick pernah menyatakan bahawa, Klopp sangat gemarkan pemain yang dibangunkan Rangnick, kerana pemain pemain ini memiliki DNA gegenpressing dalam diri mereka.

Klopp pernah menyatakan bahawa dia sebenarnya meminati Arrigo Sacchi yang menjadi antara pengurus yang sentiasa berpegang kepada high pressing pada era bola sepak di Eropah terutama di Itali bermain sistem lebih defensif. Itali malah menjadi pusat kepada Cattenaccio.

Namun Klopp menyatakan bahawa pengaruh terbesarnya ialah Wolfgang Frank. Rangnick sendiri sudah lama tahu perkara tersebut.

“Jurgen [Klopp] dan saya sendiri telah mengenali antara satu sama lain sejak 1997,” kata Rangnick.

“Saya bukan mentornya – itu adalah jurulatih bernama Wolfgang Frank – tetapi kami sentiasa berhubung dan mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain. Kami menghormati satu sama lain dan itu akan berterusan.

“Saya masih ingat sebelum Jurgen menjadi ketua jurulatih di Mainz dan dia menelefon saya. Saya berada di Ulm pada masa itu dan Jurgen bertanya kepada saya, berapa wang [gaji] yang dia patut minta daripada Mainz. Dia tidak mempunyai ejen ketika itu, jadi jadi saya memberitahunya.”

Baca yang lain