RASMI: Shahrul Saad, De Paula Milik JDT

Dua pemain dengan status pemain tempatan Malaysia, Shahrul Saad dan De Paula sah menjadi milik JDT.

Spekulasi masa depan kedua dua pemain terus hangat dalam beberapa hari ini selepas Perak berdepan dengan masalah pembayaran gaji pemain.

Kemelut gaji buatkan Perak hilang dua marquee players

Shahrul Saad dan De Paula boleh dikatakan marquee players dalam pasukan Perak. Dan kerana kemelut masalah gaji yang berlarutan membuatkan Perak FC berputih mata terlepas dua pemain mereka.

Semalam koresponden T. Avineshwaran menyatakan bahawa para pemain Perak menunjukkan rasa tak puas hati kerana tunggakan gaji dan memutuskan untuk tidak menyertai latihan pada sebelah malam.

Satu lagi video dikongsi laman peminat Perak Power yang menyatakan solidariti mereka kepada pemain yang ditindas kerana tidak dibayar gaji.

Selain itu pemain Perak, Kenny Palraj dikatakan terpaksa mempertimbangkan untuk menjual motosikal RXZ beliau kerana tunggakan gaji tersebut.

Seperti yang dilaporkan beberapa media, beberapa pemain Perak sudah dihubungi beberapa pasukan lain. Shahrul Saad dan De Paula antara yang paling mencuri perhatian.

JDT sambar dua pemain Perak FC

Shahrul Saad sebelum ini mendapat tawaran daripada beberapa pasukan lain termasuk Sri Pahang. Namun akhirnya JDT memenangi persaingan mendapatkan pemain tersebut. Koresponden Astro, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan bahawa Shahrul Saad menjadi barang panas yang dikehendaki pasukan lain.

Pemain bek tengah kebangsaan itu boleh menjadi pelan jangka panjang JDT dengan Aidil Zafuan yang sudah menuju ke fasa akhir kariernya. Namun Shahrul pasti sedar itu bukan cabaran mudah untuknya.

JDT memang sedang cuba memperkemas benteng pertahanan mereka selepas kecederaan Mauricio. Dan kehadiran Shahrul Saad dianggap tepat pada masanya.

De Paula merupakan pemain yang mendapat status naturalisasi. Dan beliau pemain yang beraksi di bahagian serangan. Tetapi buat masa ini De Paula dilihat pemain yang mampu mengisi squad depth untuk Bergson bersama dengan Syafiq Ahmad.

Perkara itu disahkan sendiri admin JST. Kenapalah dia pakai bahasa back up. Kan elok cakap pesaing kepada posisi kan?

Dengan persaingan di posisi tersebut De Paula perlu bekerja keras untuk memenangi tempat dalam skuad utama.

Bergson yang merupakan pemain pinjaman JDT, menunjukkan prestasi luar biasa sejak merumput bersama dengan mereka.

De Paula memiliki pengalaman yang cukup lama dengan Liga Malaysia. Namun De Paula harus sedar, JDT adalah pasukan yang berbeza daripada pasukan beliau sebelum ini.

 

Baca yang lain