Real Lancar Bidaan €160 Juta Untuk Mbappe, Namun Ditolak PSG

Kylian Mbappe terus menjadi pemain yang dikaitkan dengan Real Madrid. Terbaru kelab Los Blancos itu melancarkan bidaan rasmi untuk mendapatkan penggempur asal Perancis itu.

Mbappe sudah menolak tawaran lanjutan oleh PSG beberapa kali. Dan ini adalah peluang terakhir PSG mahu menjual pemain itu, atau dia akan pergi secara percuma musim hadapan.

Presiden PSG sebelum ini sudah menyatakan bahawa mereka mahukan Mbappe kekal dan tunaikan janjinya, selepas kelab mendapatkan Messi.

Nasser Al Khelaifi berkata: “Mbappe sebelum ni cakap dia nak pasukan ini jadi sangat kompetitif. Sekarang ni kita dah sign pemain paling kompetitif di dunia. Maka tiada alasan untuk Mbappe tak terus kekal bersama kita lepas ni.”

Sumber perpindahan kelas A, Fabrizio Romano melaporkan bahawa bidaan rasmi sudah dibuat oleh Real Madrid dengan nilai mencecah €160 juta untuk pemain sayap laju itu.

Namun tidak ada tanda tanda PSG berminat melayan tawaran tersebut. Malah PSG menolak tawaran tersebut.

Kylian Mbappe merupakan peminat Real Madrid sejak kecil lagi. Beliau dikatakan sudah memasang impian untuk beraksi bersama dengan kelab yang disokongnya itu.

Mbappe sedia bergandingan dengan rakan baiknya yang juga seniornya di dalam pasukan Perancis, Karim Benzema.

Real Madrid sudah lama tak aktif membeli pemain kerana beban hutang kelab. Mereka sudah melepaskan dan menjual beberapa pemain dalam beberapa musim terakhir.

Jadi, Real Madrid sudah sedia untuk berbelanja. Agak mengejutkan kerana sebelum ini Real dikatakan sanggup menunggu Mbappe sebagai ejen bebas. Dan yakin pemain itu akan datang.

Tetapi memandangkan Real Madrid melihat ada juga pesaing lain yang juga gatal nakkan Mbappe maka mereka mahukan pemain itu dengan membelinya.

Ini bukan pertama kali Real Madrid membida pemain pada tahun akhir kontrak dengan tawaran lebih €100 juta.

Mereka pernah melakukannya ketika mendapatkan Eden Hazard dari Chelsea.

Walaupun Hazard terang terangan memberitahu dia mahu ke Real Madrid selepas kontraknya tamat dengan Chelsea. Namun Real tanpa berlengah terus membida pemain antarabangsa Belgium itu.

Mbappe merupakan bakat yang panas dan luar biasa di dalam bola sepak dunia pada ketika ini. Beliau juga pemain penting ketika membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 – pada usianya sangat muda.

Mbappe bukan sahaja berbakat besar, namun dikatakan menepati profil bintang yang sesuai untuk Real Madrid.

Real Madrid sebelum ini cuba menjadikan Eden Hazard bintang utamanya namun pemain itu bergelut dengan prestasi sejak menyertai Real Madrid dan berharap akan bangkit musim ini.

Dari segi usia, Mbappe boleh menjadi pemain bintang yang dipakai lama oleh Real Madrid. Sama seperti Benzema.

Mbappe pemain yang boleh bermain di kesemua posisi serangan. Sebelum ini sudah menyatakan bahawa, jika beliau berpindah ke kelab baharu, beliau hanya mahu bermain di posisi sayap kiri dan no.9.

Itu bermakna posisi Eden Hazard akan terancam. Di PSG, Mbappe banyak bermain di posisi sayap kanan dan no.9. Kerana posisi sayap kiri milik seorang lagi rakannya, Neymar.

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di