Rodgers Jelaskan Dia Keluarkan Fofana Untuk Membolehkan Pemain Itu Berbuka Puasa

Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers mengesahkan bahawa beliau sengaja mengeluarkan Wesley Fofana pada minit ke-60 permainan kerana mahu memberi ruang kepada bintangnya itu untuk berbuka puasa.

Wesley Fofana telah dikeluarkan pada minit ke-60 ketika aksi kemenangan 3-0 Leicester City membenam West Brom awal pagi tadi.

Pemain muda berusia 20 tahun itu sememangnya seorang muslim yang taat dan beliau ketika ini sedang menjalani ibadah Puasa di bulan Ramadhan bersama umat Islam seluruh dunia.

Sebagai salah satu dari lima rukun Islam, seseorang yang bersama Islam harus menjalani ibadah Puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Tidak makan dan minum serta mengawal segala nafsu dari subuh hingga maghrib dengan niat kerana Allah.

Ia sememangnya agak sukar untuk seorang atlet profesional terus berpuasa memandangkan kepada rutin dan kegiatan harian mereka.

Namun dek kerana ia merupakan amalan mulia, maka ramai saja yang melakukan kerja berat tetapi masih mampu menjalani ibadah mulia itu sambil meneruskan kerja hakiki masing-masing.

Sama seperti Fofana yang mampu menahan lapar dan dahaga dari subuh dan terus diturunkan beraksi ketika bertemu West Brom awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Rodgers yang menghormati pemainnya itu telah mengeluarkan Fofana pada minit ke-60 permainan dan digantikan dengan Marc Albrighton bagi memberi ruang kepada pemain pertahanan itu untuk berbuka puasa.

Rodgers dipuji kerana menunjukkan sikap toleransi dan menunjukkan ciri pengurusan yang sempurna, manakala beliau sendiri turut memuji usaha dan kerja keras yang ditunjukkan oleh Fofana ketika latihan mahupun perlawanan walau sedang berpuasa.

“Dia bagus. Dia merupakan seorang pemain yang masih muda bermain di bulan Ramadhan, jadi dia memang tak makan sepanjang siang hari.”

Jelas Brendan Rodgers.

“Ia sesuatu yang mengagumkan. Jika kamu fikirkan tentang persembahan dia pada hujung minggu dalam saingan Piala FA, yang mana dia langsung tak makan seharian dan makanan pertama dia 15 minit sebelum perlawanan, dan pada hari sama, pukul 8 PM sepak mula, dia langsung tak makan tak minum, tapi dia masih boleh beraksi sehebat itu.”

“Hanya itu yang mampu saya lakukan dengan saya memikirkan untuk membawa dia keluar dan dapatkan dia sedikit makanan untuk dimakan jadi saya perlu keluarkan dia dan bantu lindungi dia.”

“Saya bekerja dengan ramai pemain yang mematuhi peraturan agama masing-masing dan kebanyakkan darinya, mereka memperoleh kekuatan dari itu.”

“Dia berjaya menemui kekuatan yang luar biasa untuk terus bermain di bulan Ramadhan dan menjalani latihan seperti biasa. Dia pemain yang istimewa dan pemain penting untuk kami.”

Fofana merupakan salah satu penandatanganan terbaik musim ini dan telah mempamerkan rentak permainan yang sungguh menakjubkan untuk barisan pertahanan The Foxes.

Seperti aksi bertemu West Brom, Fofana, Jonny Evans dan Caglar Soyuncu berjaya mencatatkan clean sheet ketiga mereka dari empat perlawanan.

Gandingan Jamie Vardy dan Kelechi Iheanacho berjaya membantu Leicester mencatatkan kemenangan 3-0 dengan satu lagi gol disumbangkan oleh Evans.

Kemenangan itu memberikan tiga mata bermakna untuk Leicester City seterusnya meletakkan mereka di kedudukan ketiga dalam carta liga, empat mata mengatasi Chelsea dan West Ham.

Sumber artikel: Sukan.my

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di