Ronaldo: “Anak Saya Terkejut Lihat Tempat Saya Tinggal Dulu, Dan Fikir Kemewahan Hari Ini Datang Sendiri”

Walaupun dia seorang mega star dan kaya raya, namun Cristiano Ronaldo tak pernah lupa asal usulnya. Dia malah sentiasa mahu anaknya mengerti apa itu kesusahan walaupun mereka hidup di rumah mewah.

Walaupun Ronaldo bukan disukai semua sebagai seorang pemain, namun sebagai seorang insan dan ayah, dia seringkali membuatkan ramai kagum.

Dia merupakan seorang family man. Dan mengakui dia lebih suka duduk di rumah bersama anak anak jika ada waktu lapang berbanding berpeleseran tak tentu hala.

Ronaldo masih seperti ayah yang lain, hadir ke perlawanan bola sepak anaknya bersama sama sama ibu bapa yang lain. Dia malah pernah menjadi budak milo, ball picker dalam satu perlawanan bola sepak anaknya di sekolah.

Dalam satu temuramah dengan sebuah siaran tv di Portugal, Cristiano Ronaldo menceritakan bahawa anaknya tidak percaya apabila mengetahui betapa sukarnya kehidupan Ronaldo sebelum dia menjadi bintang.

Ronaldo ketika itu berkata: “Saya sangat teruja nak melihat dia membesar. Dia sudah tahu Madeira [kampung halaman Ronaldo] dan kejiranan di Marques de Pombal.”

“Dia pergi bersama saya berjalan jalan di sekitar kawasan itu dan ada beberapa orang yang sama masih tinggal di situ, sama seperti masa saya tinggal di sana dulu.”

“Saya rasa terharu, jujurnya saya tidak sangka akan bertemu mereka ini sekali lagi. Dan ia membuatkan saya sedikit sebak.”

“Saya masa tu ditemani Paixao [kawan Ronaldo] dan anak saya. Kami pergi masuk ke satu bilik yang saya pernah diami bersama Paixao. Anak saya bertanya: ‘Papa, betul ke kamu pernah tinggal di sini.’ Dia tak percaya.”

Ronaldo kemudian menjelaskan, cabaran dia sebagai seorang ayah adalah untuk memberitahu anaknya bahawa kemewahan yang dia ada pada hari ini bukannya seperti bulan terus jatuh ke riba.

Dia berusaha keras setiap hari. Dan tidak leka dengan bakat yang ada padanya semata mata.

Ronaldo menambah: “Mereka ingat semua perkara di dunia ni senang nak dapat. Kualiti hidup dia ada sekarang, rumah rumah mewah, kereta kereta mewah, pakaian. Mereka ingat semua benda tu terus jatuh ke atas riba diorang.”

“Inilah perkara yang saya mahu anak saya tahu dalam diri dia. Termasuk ketika saya pergi ke acara di sekolah. Saya nak memberitahu dia bahawa semua ini tak akan dapat dicapai dengan bakat semulajadi semata mata. Kamu harus bekerja keras dan berdedikasi tinggi.”

“Dan kamu boleh mendapat apa sahaja yang kamu mahukan.”

Ronaldo masih lagi pemain yang beraksi di kelas tertinggi pada usianya sudah 37 tahun. Ini kerana dia sentiasa menjaga kesihatan dan kecergasannya.

Ronaldo pernah menyatakan kadangkala dia simpati dengan Cristiano Jr yang dilarang memakan coklat dan meminum coca cola. Ini kerana anaknya itu sudah memilih mahu menjadi pemain bola sepak, walaupun Ronaldo sebenarnya tak memaksa pun dia nak jadi pemain bola.

Tetapi apabila dia sudah memilih untuk begitu, maka Ronaldo memberikan bimbingan yang tegas dan rutin yang ketat.

Cristiano Jr kini beraksi dalam akademi Manchester United. Dan menjadi pemain utama dalam pasukannya.

Ronaldo pernah ditanya sama ada beliau sudah mempersiapkan anaknya untuk mewarisinya di lapangan bola sepak sebagai pemain profesional?

Ronaldo berkata: “Tak lagi [terfikir tentangnya]. Saya kadangkala terlalu tegas dengan dia kerana dia minum Coca-Cola dan Fanta.”

“Itu membuatkan saya sangat marah dengan dia.”

“Saya bahkan sering bertengkar dengan dia setiap kali dia makan makanan ringan seperti kerepek kentang, kentang goreng, dan semua benda macam tu.”

“Saya tahu dia tak sukakannya [apabila saya mengawal pemakanannya].”

“Anak saya yang kecil, setiap kali mereka makan coklat pun mereka akan tengok wajah saya [agar saya kasihan dan membenarkan mereka makan], namun kita kena kuat.”

Bagaimana Ronaldo Menjadikan Fizikalnya Hanya Ada 7% Lemak & Kekal ’20-an’

“Namun secara jujurnya, dia [Cristiano Jr] ada potensi. Dia besar, laju dan bagus menggelecek. Namun itu semua tak bermakna. Sebab saya ingatkan dia setiap masa, ianya memerlukan dedikasi dan kerja keras berterusan.”

“Kadangkala apabila kami di rumah, saya akan kata kepadanya, pergi treadmill dan berlari sikit kat sana.”

“Lepas habis di treadmill saya suruh dia pergi mandi air sejuk untuk recover. Dan esok buat benda sama.”

“Dan dia kata:’Ayah, air ni sejuk sangat, tak naklah’,”

“Tapi saya faham. Dia baru 10 tahun [pada masa tu]. Terpulang kepada dia. Saya tak akan memaksanya menjadi pemain bola sepak profesional.”

“Jika kamu tanya saya, sama ada saya nak dia jadi pemain bola sepak? Jawapannya ya! Tapi saya lebih mahukan dia menjadi apa yang dia mahu. Kalai dia nak jadi doktor, saya nak dia memikirkan untuk menjadi doktor terbaik.”

Cristiano Ronaldo memang seorang yang sangat cerewet dengan diet dan latihan.

Patrice Evra pernah menceritakan dia datang ke rumah Ronaldo dan membayangkan rumah mewah itu dipenuhi makanan sedap.

Rupanya peti ais Ronaldo hanya ada makanan salad, buah buahan, ikan segar dan makanan sihat lain.

Lalu Evra menasihatkan: “Jika Ronaldo ajak kamu makan di rumahnya, lebih baik kamu cari alasa menolaknya. Tak sedap.”

“Lepas makan dia akan ajak kamu ke padang kecil dan melakukan beberapa latihan ringan.”

Baca yang lain

Bernardo Silva Singkir Chelsea

Chelsea disingkirkan oleh Manchester City daripada separuh akhir Piala FA 2023/24. Jaringan tunggal oleh Bernardo Silva minit ke-84, membuatkan Chelsea gigit jari