Sadio Mane: Kisah Kegigihan Anak Pak Imam Mahu Mengubah Nasib Keluarga Dan Masyarakatnya Dengan Sebiji Bola

Sadio Mane baru sahaja melakar sejarah gemilang bersama negaranya di Piala AFCON 2021. Di mana Mane berjaya membantu negaranya menjuarai Piala Afrika itu buat pertama kali. Mane malah dipilih sebagai pemain terbaik Piala AFCON 2021.

Sadio Mane merupakan salah seorang penyerang sayap terbaik di dunia pada ketika ini. Dan pernah berada dalam ranking keempat dalam Ballon d’Or pada 2019.

Malah pemenang Ballon d’Or tujuh kali, Lionel Messi merupakan peminat aksi Sadio Mane kerana menyukai personaliti pemain itu di dalam dan di luar padang.

Menurut Messi, beliau selalu menonton aksi Liverpool apabila ada kesempatan, hanya kerana mahu melihat aksi Mane yang menghiburkan.

Dalam aksi separuh akhir UCL berhadapan Barcelona 2019 misalnya, walaupun Sadio Mane tidak menjaringkan gol dalam aksi kebangkitan epik di Anfield, namun beliau bintang utama Liverpool ketika itu.

Ini selepas Mohamed Salah dan Roberto Firmino cedera. Klopp menyatakan bahawa Sadio Mane merupakan seorang pemain yang tidak pernah berputus asa.

Mane tak pernah berputus asa

Klopp menyatakan: “Apa yang membuatkannya istimewa adalah, dia tidak pernah berhenti percaya.”

“Dalam pertemuan sebelum perlawanan itu [vs Barcelona], dia benar-benar yakin kami akan dapat melakukannya.”

“Walaupun ketika itu kami kehilangan dua pemain terbaik di dunia [Salah dan Roberto Firmino].”

“Dia mendorong dan memberikan semangat kepada pemain pemain lain. Dan beliau berusaha sedaya upaya untuk meredakan tekanan yang ada pada kami semua.”

Liverpool berjaya bangkit dengan kemenanga 4-0 di Anfield dan mara ke final dengan agregate 4-3.

Liverpool kemudian menang trofi tersebut di Madrid Selepas aksi kemenangan dalam final Liga Juara Juara Eropah 2018/19 ke atas Spurs, Sadio Mane telah kembali ke kampung halamannya di Bambali.

Beliau berjalan di sekitar kampung yang dikelilingi oleh ramai peminat beliau yang bangga dan gembira.

Mane disenangi

Mane sempat mengusik seorang seorang wanita tua dan bertanya mengapa dia tidak mengangkat panggilan telefonnya?

“Kamu kenalah balas balik missed call tu, saya kan ada berikan nombor.”

Itulah sikap Mane yang disenangi di kampung halamannya. Suka bergurau dan bermesra dengan penduduk setempatnya. Beliau menjadi pujaan dan simbol kebanggaan di Bambali.

Di dalam dokumentarinya, Mane menegaskan bahawa pentingnya pendidikan sebagai kunci kepada mengubah nasib mereka di Senegal.

Beliau berkata kepada kerumunan remaja di luar sekolah baru dan memberitahu mereka “pendidikan adalah kunci”.

“Sekolah paling utama,” katanya. “Anda harus berada dalam keadaan baik sebelum anda pergi bekerja, jadi mari kita bina dahulu hospital.”

Mane kemudian menegaskan, beliau tersentuh hati melihat keadaan di kampungnya dan menjadi motivasinya untuk bekerja lebih keras demi membantu mereka.

“Apabila anda melihat wajah-wajah mereka berada di depan rumah, anda berfikir: ‘Oh, nampaknya saya perlu bekerja lebih keras untuk mereka,” kata Mané, yang juga baru menyumbang £40,000 kepada kerajaan Senegal untuk membantu melawan wabak pandemik,

Membina Masjid, sekolah dan Hospital untuk Bambali

Mane sangat unik kerana dia sentiasa mahu mengubah, bukan sahaja nasih keluarganya, malah nasib masyarakat di kampungnya agar menjadi lebih baik. Mane sangat mementingkan pendidikan.

“Mungkin jika ada sekolah yang lebih bagus ketika saya masih kecil – mungkin saya dapat belajar dengan lebih tinggi.”

“Tetapi malangnya ia tidak begitu – saya berada jauh di kampung. Semua kanak-kanak dan remaja lelaki di sana ingin bermain bola sepak dan  tak mahu pergi ke sekolah lagi.”

“Mereka hanya mahu menjadi pemain bola sepak seperti saya … Tetapi saya selalu memberitahu mereka untuk memastikan mereka perlu ada pendidikan dan pergi ke sekolah. ”

“Sudah tentu mereka boleh terus bermain bola sepak tetapi ini akan membantu anda untuk berjaya dalam apa yang anda lakukan jika anda ada kedua-duanya. ”

“Ia tidak seperti ketika saya muda dulu, kerana ia sangat sukar ketika itu. ”

Mane juga pernah berkata: “Kenapa saya nak beli 10 Ferrari, 20 set jam tangan berlian atau 2 jet peribadi? Apabila saya boleh gunakan wang saya untuk membantu membina sekolah, stadium, membeli pakaian, kasut, makanan untuk orang yang benar benar miskin. Saya lebih memilih untuk melihat orang saya [Senegal] merasai sedikit apa yang Tuhan telah kurniakan kepada saya.”

Sadio Mane juga menggunakan wang yang dia ada untuk membina masjid di kampung halamannya. Kerana dia sangat mementingkan agama dalam kehidupan.

Malah di masjid tersebut telah diletakkan potret ayahnya yang merupakan bekas imam di kampungnya. Ayah Mane meninggal dunia ketika pemain itu baru berusia 11 tahun. Dia dibesarkan oleh ibunya bersama dengan pak cik dan neneknya. Kini keluarganya sudah tinggal di rumah mewah dibina oleh sadio Mane.

Bukan itu sahaja, Mane turut menggunakan wangnya untuk membina hospital di kampungya.

Dia pernah melihat orang yang dia sayangi meninggal dunia kerana tiada hospital, itulah ayahnya.

“Ketika itu saya berusia 7 tahun. Kamu baru nak bermain bola sepak. Dan kemudian sepupu saya mendekati saya lalu berkata: ‘Sadio, ayah kamu dah meninggal dunia’.”

“Saya membalas: ‘Ye ke ni? kamu bergurakah?”

“Sebelum ayah meninggal dunia, dia ada mengalami sakit dalam beberapa minggu.”

“Kami membawanya berubat secara tradisional. Ia membantu meredakan penyakitnya dalam 3 atau 4 bulan.”

“Tidak lama selepas itu, sakit itu datang lagi. Pada masa itu, kami tak ada ubat dari klinik kerana tiada hospital di Bambali. Mereka kena bawa ayah ke kampung sebelah untuk cuba menyelamatkannya. Namun gagal.”

“Ketika saya masih kecil, ayah selalu menyatakan dia bangga dengan saya. Ayah seorang lelaki yang berjiwa besar.”

“Selepas dia meninggal dunia, ia memberikan kesan yang kuat kepada saya dan seluruh keluarga.”

“Saya bertekad dengan diri sendiri, saya perlu melakukan yang terbaik untuk membantu emak. Namun benda tu sangat sukar nak kamu lakukan kerana kamu masih sangat muda.”

Dua dekad kemudian, sebuah hospital berdiri megah, ditaja sepenuhnya Sadio Mane, dan akan dibuka dalam masa enam bulan lagi.

“Saya masih ingat, adik perempuan saya dilahirkan di rumah kerana tiada hospital di kampung saya. Ianya situasi yang sangat menyedihkan. Dan saya nak membina sebuah hospital bagi memberikan harapan kepada orang di sini.”

Sebelum itu, Mane telah membina sebuah sekolah di kampungnya pada tahun lalu.

Kematian ayahnya memang memberikan kesan kepada Mane.

Bambali adalah sebuah kawasan di wilayah Sedhiou. Berdasarkan Bank Dunia, kawasan tersebut hampir 70% isi rumah hidup dalam kemiskinan.

Ayahnya merupakan seorang imam. Dan mereka akan berkumpul membaca Al Quran setiap tahun untuk memperingati pemergiannya.

Mane turut membina sekolah di kampungnya.

Mengejar impian

Ibu saudaranya, Tianna Cisse memberitahu bahawa keluarganya tidak suka Mane bermain bola sepak kerana menurut mereka, bola sepak tidak ada masa depan. Untuk keluar daripada kemiskinan, Mane harus belajar pandai pandai dan bekerja dalam sektor profesional selain memikirkan bola sepak.

Mane pernah tidak mendapat restu ibunya pada awalnya, ketika beliau mahu meninggalkan pelajaran demi bola sepak. Mane pernah melarikan diri dari rumah dan mengejar cita-citanya pada usianya sekitar 15-16 tahun bersama dengan rakannya Luc Djiboune.

Arwah ayahnya dahulu sangat tegas dengan isu pendidikan. Oleh sebab itu, ibunya mahu memastikan Mane terus belajar walaupun ayahnya sudah tiada.

Mane juga seringkali mengelak daripada kantoi bermain bola sepak di hadapan keluarganya. Namun Mane tetap berterima kasih kepada ibu dan pak ciknya yang menyedari kepentingan pendidikan. Jika tidak, Mane sudah pasti hanya memikirkan soal bola dan tak nak belajar.

Mane berkata: “Pernah sekali, pak cik saya meminta saya membantunya untuk menuai. Tetapi saya berkata kepadanya, pak cik saya akan menjadi pemain bola sepak terkenal suatu hari nanti supaya kamu tak perlu lagi letih menuai.”

Pak Cik dia menganggap Mane bersembang kosong kerana menurutnya: “Ahh, sembanglah, saya mana ada duit nak hantar kamu berlatih bermain bola.”

Pak Ciknya sendiri menyatakan dia tidak yakin dengan impian Mane itu. Namun kesungguhan Mane benar benar terbalas apabila dia sanggup melarikan diri dari rumah demi mengejar impiannya. Ketika itu dia baru berusia 16 tahun,

Dia ketika itu bermain untuk satu kejohanan daerah di Mbour, 80km dari Dakar. Dan sebuah kelab di Dakar menjemputnya untuk trial bersama sama dengan ratusan pemain kolej pelatih polis.

Jurulatih yang melihat dia hadir ke sesi pemilihan ketika itu terkejut melihat penampilannya. Memakai seluar pendek bukan seluar bola sepak dan kasut yang berjahit.

Jangan berhenti berimpian

“Sukar bagi saya ketika itu, kerana tiada yang menyokong saya mengejar impian saya.”

“Namun saya tidak pernah berhenti berimpian.”

“Ia memang keputusan sangat berani lari dari kampung dan meninggalkan keluarga saya, pergi ke Dakar, dan saya tahu saya akan berjaya suatu hari nanti.”

“Namun selepas itu keluarga saya faham dan lebih serius dalam menyokong saya. Mereka akhirnya tahu bahawa saya tidak ada benda lain yang boleh saya buat. Saya tiada pilihan, dan mereka membantu saya selepas itu.”

“Saya meninggalkan rumah tanpa memberitahu sesiapa kecuali kawan kawan baik saya. Saya berjalan kaki dalam jarak yang jauh untuk bertemu dengan seorang kawan saya untuk meminjam wang untuk tambang bas ke Dakar. Saya disambut mesra oleh sebuah keluarga yang saya tak kenali. Kemudian saya terus mengambil bahagian dalam sesi latihan.”

“Ada 200 ke 300 pemain muda yang beratur menunggu giliran mereka. Saya bermula dengan teruk dan tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar, dan ada yang mentertawakan saya masa itu. Saya memakai seluar yang tidak menunjukkan imej pemain bola sepak langsung. Dan kasut bola saya memang koyak teru di sebelahnya, yang saya telah baiki sendiri dengan wayar, itu yang terbaik saya boleh buat masa itu.”

“Mereka yang datang ke sesi pemilihan hari tu pasti akan pelik melihat saya: ‘Betul ke kau ni nak jadi pemain bola sepak? Saya faham dengan mereka yang bereaksi begitu kerana saya tiada pilihan.”

“Namun saya taklah teruk sangat aksi hari itu dan mereka memilih saya. Itulah permulaan sebuah perjalanan karier saya.”

Mujur beliau berjaya menjadi pemain profesional dan menjadi wira negaranya serta Raja Senegal di Liverpool.

Hari ini Mane sudah ada UCL, EPL, Piala Afrika, Piala Dunia Kelab, Piala Super Eropah dan masih memburu beberapa trofi lagi bersama dengan Liverpool dan negaranya. Bermain di salah sebuah kelab terbesar di dunia iaitu Liverpool FC dengan ratusan ribu pound seminggu masuk ke dalam akaunya.

Baca yang lain