Shin Tae Yong Puji Wasit Qasim Enggak Curang Tetapi Sangat Cekap Dan Terbaik

Indonesia sekali lagi berpeluang untuk menamatkan badi penantian piala AFF Suzuki mereka apabila mara ke final musim ini.

Kali ini Indonesia berjaya menewaskan pasukan penganjur kejohanan iaitu Singapura dalam aksi thriller enam gol. Aksi tersebut dibayangi oleh prestasi pengadil yang dianggap kontroversi oleh ramai pemerhati bola sepak.

Pengadil utama, Qasim Matar Ali Al Hatmi menjadi sorotan ramai apabila dia dikatakan telah mempamerkan pengadilan yang kurang memuaskan.

Namun pengendali Indonesia, Shin Tae Yong menyatakan bahawa prestasi pengadil dalam perlawanan kali ini sangat memuaskan dan terbaik.

Indonesia menang 4-2 (agregat 5-3) dalam aksi berdepan dengan pasukan seberang tambak itu. Di mana perlawanan pusingan kedua separuh akhir itu berlarutan sehingga ke 120 minit.

Selain itu, 3 orang pemain Singapura dibuang padang kerana menerima kad merah. Mereka ialah Safuwan Baharudin, Irfan Fandi dan Hassan Sunny.

Indonesia mendahului pada separuh masa pertama menerusi Ezra Walian. Namun Singapura yang beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa kedua berjaya menyamakan kedudukan menerusi Soong Ui Yong.

Irfan Fandi kemudian dibuang padang. Namun Singapura tetap berjaya mendahului, walaupun beraksi dengan 9 pemain sahaja menerusi sepakan percuma Shahdan Sulaiman.

Indonesia menyamakan kedudukan lewat perlawanan menerusi Pratama Arhan.

Singapura berkesempatan meletakkan diri mereka di hadapan beberapa minit selepas gol tersebut. Malangnya, Faris Ramli gagal menyempurnakan sepakan penalti beliau.

Aksi penuh 90 minit berakhir 2-2 bermakna kedua dua pasukan perlu beraksi 30 minit lagi. Pada masa separuh masa pertama masa ekstra, Indonesia menambah dua lagi gol menjadikan kedudukan 4-2. Singapura yang tak berdaya membalas gol tersebut tepaksa akur.

Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, pengendali asal Korea Selatan itu berkata: “Saya rasa pengadil dalam perlawanan kali ini cukup bagus. Ketika kad kuning harus dikeluarkan, dia mengeluarkannya.”

“Begitu juga dengan kad merah, ketika patut melayangkan kad merah dia pun melakukannya.”

Shin Tae Yong turut membantingkan prestasi Qasim dengan pengadil dalam aksi first leg di antara kedua dua pasukan. Dan Shin berpuas hati kerena ternyata Qasim menurutnya jauh lebih baik.

Pengadil yang bertugas dalam aksi pertama, Kim Hee Goon sebelum ini dituduh tidak cekap oleh Shin Tae Yong kerana tidak memberikan sepakan penalti kepada mereka. Ianya merujuk kepada satu insiden di mana pemain Indonesia hanya diberikan sepakan percuma luar kotak penalti.

Lantas selepas itu Shin Tae Yong menyeru agar AFF menggunakan VAR di dalam pertandingan mereka selepas ini.

Shin Tae Yong turut memuji prestasi anak-anak buahnya dalam perlawanan kali ini. Kerana menurutnya para pemainnya wajar diberikan pujian selepas menunjukkan aksi luar biasa.

Di samping itu Shin Tae Yong turut mengakui pasukannya bergelut dengan situasi bola mati. Dan sudah pastinya mereka perlu bekerja keras untuk mengatasi aksi tersebut menjelang aksi final.

Indonesia agak mengejutkan ramai kerana menjadi negara yang masih gagal menjuarai sebarang kejuaraan Piala AFF walaupun memiliki sejarah bola sepak yang agak gah di Asia Tenggara serta liga yang besar.

Mereka menjadi pasukan yang paling banyak kecewa di dalam aksi final berbanding negara lain. Adakah kali ini badi tersebut akan berakhir?

Keyakinan mereka jelas sangat terserlah kali ini terutama sekali selepas berjaya menewaskan musuh tradisi mereka Malaysia serta mengikat Vietnam di peringkat kumpulan.

Baca yang lain