Statistik Nunez Pastikan Dia Bukan Flop, Skor 2 Gol Bantu Liverpool Benam Soton 3-1

Skuad kendalian Jürgen Klopp menutup separuh pertama aksi domestik di Anfield menjelang rehat Piala Dunia dengan tiga mata. Dengan Roberto Firmino membuka jaringan sebelum dua gol lagi menerusi Darwin Nunez.

Che Adams menemui jaringan untuk pelawat menyamakan kedudukan.

Liverpool membuat 10 pertukaran untuk perlawanan menentang Saints ketika Alisson Becker membuat penampilan ke-150 dalam Liga Perdana.

Hanya Joe Gomez mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama daripada perlawanan Piala Carabao pertengahan minggu dengan Derby County, manakala pemain muda Ben Doak disenaraikan di bangku simpanan.

Anfield dipenuhi lebih 53,000 penyokong dengan Jurgen Klopp menjalani penggantungan kawasan teknikal dalam perlawanan ini.

Separuh masa pertama

Perlawanan bermula dengan pantas, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas gol dalam 10 minit pembukaan pertandingan.

Liverpool menjaringkan gol pertama ketika Firmino menghalakan tandukan ke sudut jauh, selepas menyambut sepakan percuma Andy Robertson, dengan bola melepasi jangkauan penjaga gol Gavin Bazunu.

Southampton, bagaimanapun, membalas hampir dengan serta-merta. Che Adams menanduk masuk bola sepakan percuma sesedap rasa James Ward-Prowse.

Anfield mulai resah sekali lagi. Kerana musim ini seringkali Liverpool bergelut untuk mendapatkan 3 mata.

Namun keresahan itu diredakan oleh gol pendahuluan Darwin Nunez. Berpunca daripada Harvey Elliott yang menghasilkan hantaran lintang sempurna ke dalam kotak untuk mencari larian Nunez.

Pemain antarabangsa Uruguay itu melepaskan percubaan dengan kemas untuk memberikan satu lagi kelebihan tipis kepada Liverpool.

Nunez memiliki beberapa peluang lagi, namun usahanya disekat Bazunu. Mohamed Salah turut kehampaan melihat percubaan jarak dekatnya dinafikan penjaga gol tersebut.

Tetapi Liverpool, ternyata tidak dapat dibendung lagi untuk gol ketiga. Dengan Firmino melepaskan bola kepada Robertson yang kemudian meleretkan bola lintang untuk disambar Nunez.

Nunez kini memiliki statistik sumbangan gol yang agak baik dengan 11 G/A daripada 18 perlawanan dia terlibat dengan purata 1 gol untuk setiap 86 minit.

Rekod itu dikatakan sudah cukupn untuk membuktikan bahawa Nunez bukannya flop.

Mungkin tekanan di atas tanda harga membuatkan perhatian terlalu tertumpu kepadanya?

Seorang peminat berkata: “Sentiasa cakap macam ni, dia tak akan pernah flop di Liverpool. Cuma berada dalam masa masa sukar.”

Separuh masa kedua

Selepas tempoh pembukaan yang penuh aksi, permainan bermula pada intensiti sederhana.

Firmino kemudian hampir menambah gol peribadinya malam itu ketika gandingannya dengan Robertson menghasilkan peluang gol.

Ketika aksi memasuki sejam permainan, Alisson dipaksa melakukan penyelamatan sebanyak dua kali. Menafikan percubaan Mohamed Elyounoussi dan pemain gantian Samuel Edozie.

Sementara itu, Salah menyaksikan rayuan penaltinya ditolak oleh pengadil Simon Hooper berikutan pergelutan dengan Mohammed Salisu.

Tiada tambahan gol lagi dilakukan selepas itu.

Liverpool mendapat 3 mata penuh untuk terus mendaki carta liga perdana Inggeris.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.