Sumareh Milik JDT, Ikuti Kisah Suka Duka Kariernya Yang Pernah Lari Rumah Kerana Bola Sepak

Mohamdaou Sumareh akhirnya rasmi menjadi milik Johor Darul Ta’zim selepas banyak spekulasi berlegar.

Sumareh hampir dikaitkan dengan semua pasukan utama dalam Liga Super Malaysia termasuk, Kedah, Selangor dan JDT sendiri.

Bekas pemain Pahang tersebut akhirnya memilih ke destinasi di Selatan Tanah Air, bersama dengan juara Liga Super, JDT.

JDT mengumumkan kehadiran pemain baharu itu secara rasmi dalam satu video dengan kapsyen:

“Pemandu, sila bawa saya ke kelab terbaik di Malaysia.”

JST (media rasmi JDT) turut mengalu alukan kedatangan Sumareh: “Selamat datang ke rumah sang juara, Sumareh!”

Kehadiran Sumareh pastinya akan menyuntik lagi kualiti di barisan hadapan JDT.

Dari segi posisi, Sumareh boleh beraksi di kesemua posisi serangan. Beliau juga boleh bergandingan semula dengan Safawi Rasid. Gandingan beliau dalam skuad kebangsaan.

Sumareh merupakan pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya. Karier beliau mulai meningkat naik ketika bermain untuk PDRM.

Sumareh kemudian menguatkan lagi namanya dalam pentas liga Malaysia ketika bersama dengan pasukan Pahang. Beliau diberikan gelaran Keliboy oleh peminat.

Dari Gambia ke Malaysia

Sumareh pernah berkongsi kisah hidupnya yang susah ketika di Gambia.

Sumareh memberitahu sejak dari kecil beliau bertekad mahu menjadi pemain bola sepak profesional. Malangnya kedua-dua ibu bapanya tidak merestui cita-cita beliau. Mereka mahu Sumareh fokus kepada pelajaran berbanding bola sepak kerana risau sukan itu tak akan membantu mengubah nasib mereka.

Namun begitu, Sumareh membulatkan tekad beliau untuk menjadi pemain profesional dan berusaha bersungguh-sungguh sejak dari kecil. Beliau bercakap kepada media rasmi AFF Suzuki 2018: “Ibu bapa saya tak suka saya bermain bola sepak. Mereka sangat tegas dalam mengawal saya ketika kecil agar saya fokus kepada pelajaran.”

“Oleh sebab itu mereka tak akan biarkan saya keluar [bermain]. Jadi saya terpaksa menyusun selipar di lantai rumah saya dan menggelecek mereka ‘sebagai’ pemain pertahanan. Dinding adalah rakan sepasukan saya, jadi saya akan hantar bola ke dinding dan dinding itu hantar bola balik kepada saya.”

“Pada satu hari saya menyusup keluar untuk menyertai beberapa budak lain di lorong. Mereka tak pernah melihat saya sebelum ini dan pada mulanya mereka tak mahu bermain dengan saya.”

“Namun akhirnya mereka membenarkan saya bermain dengan mereka. Dan saya menggelecek melepasi semua mereka lalu menjaringkan gol.”

“Mereka kemudian mencari di mana saya tinggal supaya senang nak ajak saya bermain dengan mereka.”

Ketika di sekolah menengah cabaran Sumareh semakin sukar. Ibu bapanya mahu dia fokus kepada kelas tambahan berbanding dengan sukan. Mereka datang ke sekolah dan membertahu pengetua sekolah bahawa mereka tidak mahu Sumareh menyertai mana-mana sukan.

“Cikgu sukan saya tidak mahu mengambil saya dalam pasukan bola sepak kerana memberitahu diarahkan pengetua untuk tidak membawa saya. Itu selepas ibu bapa saya memintanya.”

“Saya bosan dan kemudian menggelecek semua orang di sana dan menjaringkan gol. Ketika itu guru sukan saya memberitahu pengetua bahawa sekolah sangat memerlukan pemain seperti saya.”

Ketika memasuki alam Universiti, Sumareh tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau kini lebih bebas untuk bermain bola sepak. Beliau menyertai beberapa sesi pemilihan pemain. Beliau tahu, jika mahu menjadi pemain profesional, ianya harus ‘bermula sekarang’.

KELANA JAYA 12 NOVEMBER 2019. Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh berlatih menjelang perlawanan menentang pasukan Thailand dan Indonesia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Pada satu hari rakannya telah membantu beliau untuk menyertai pemilihan pemain di Malaysia. Sumareh tidak berlengah dan bersiap dengan segala kelengkapan beliau pada tengah malam.

Sumareh meninggalkan rumahnya. Beliau tahu, tiada jaminan untuknya mendapatkan kontrak profesional di Malaysia – namun beliau mahu mencuba.

“Saya melarikan diri dari rumah pada tengah malam ketika ibu bapa saya sedang tidur. Saya pergi ke rumah kawan saya yang membantu saya untuk pergi ke Malaysia bagi menyertai beberapa sesi pemilihan pemain.”

Risiko yang beliau ambil membuahkan hasil. Beliau menyertai PDRM. Ketika di PDRM nama Sumareh mulai menjadi perhatian. Beliau membantu PDRM menjuarai Liga Premier.

Sumareh kemudiannya menyertai Perlis. Selepas itu pada 2017, Sumareh menyertai skuad bimbingan Dollah Salleh di Pahang. Salah sebuah pasukan utama dalam Liga Malaysia. Beliau membantuk Pahang menamatkan saingan 2017 di tangga ke-2 Liga Super dan Naib Juara Piala FA.

Pada 2018, karier Sumareh berada di kemuncak dengan membantu Pahang menjuarai Piala FA 2018 menewaskan Selangor.

Mohamadou Sumareh dipilih sebagai pemain terbaik untuk malam final Piala FA 2018. Beliau dianggap antara pemain paling menyerlah sepanjang musim domestik 2018.

Dipanggil skuad Harimau Malaya

Lebih manis lagi apabila pemain yang diberikan gelaran The Keliboy ini ditawarkan tempat dalam skuad kebangsaan Malaysia. Beliau memiliki kerakyatan Malaysia selepas bermastautin lama di negara ini. Sumareh berkongsi rasa gembiranya mewakili Malaysia.

“Saya ketika itu baru merancang untuk bercuti [pada rehat pra musim] di luar negara. Tiba-tiba ‘coach’ Tan Cheng Hoe telefon saya. Beliau memaklumkan saya tersenarai dalam skuad kebangsaan.”

“Sebelum itu saya dengar daripada rakan-rakan saya, dan saya anggap mereka bergurau. Namun selepas itu saya sangat berterima kasih kepada beliau [coach]. Saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini.”

Sumareh melakukan debut kebangsaan menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan dan beliau menjaringkan gol antarabangsa pertama beliau untuk Malaysia dalam perlawanan itu.

“Saya masuk pada separuh masa kedua dengan tekanan tinggi, namun saya cabar diri saya. Saya nak buktikan kepada orang ramai bahawa saya berhak mendapat tempat. Saya memberikan segalanya, dan saya bernasib baik kerana menjaringkan gol.”

“Dan pada ketika itu, ianya satu perasaan kegembiraan yang saya tak mampu gambarkan.”

Pada tahun 2021, Sumareh diumumkan sebagai pemain JDT. Sebelum itu beliau beraksi untuk pasukan Thailand, Police Tero.

Berlaku konflik pada kontrak beliau dengan PBNP sehingga kes dibawa ke FIFA. Sumareh menamatkan kontraknya dengan Pahang sebelum berkelana ke Thailand.

Pada akhir musim 2020, beliau menjadi ejen bebas. Lalu dikaitkan dengan banyak pasukan termasuk dari Indonesia.

Tetapi JDT menjadi pilihannya.

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di