TERKINI: Suzuki Mahu Umum Tarik Diri Daripada MotoGP

Dunia MotoGP dikejutkan dengan berita dari Suzuki yang merancang untuk menarik diri daripada MotoGP pada penghujung musim ini.

Desas-desus mengenai rancangan penarikan diri oleh Suzuki itu hadir selepas ujian pertengahan musim di Litar Jerez, Sepanyol.

Sedangkan sebelum ini, Suzuki telah menandatangani kontrak lima tahun pada 2021 yang memastikan penyertaan mereka dalam MotoGP sehingga 2026.

Suzuki juga terus menunjukkan aksi cemerlang mereka dan komitmen yang luar biasa pada musim ini. Marc Marquez antara pelumba yang memuji pasukan Suzuki yang menurutnya benar benar bagus musim ini.

Mereka mendengar luahan pelumba dan segera memperbaiki aspek teknikal pada motosikal mereka.

Jadi, tidak ada tanda tanda Suzuki kecewa atau tidak komited dengan MotoGP.

Mereka turut membangunkan kuasa motosikal Suzuki GSX-RR dalam ujian pra-musim. Sehinggakan jentera itu menjadi ‘beast’ di atas litar terutama sekali di zon pecutan lurus.

Seterusnya, Suzuki pada musim ini mengambil pengurus pasukan berkaliber Livio Suppo.

Semua itu menandakan dan menunjukkan kesungguhan pasukan pengeluar itu dalam perlumbaan MotoGP musim ini.

Malah suatu ketika dahulu Suppo turut menyatakan hasrat pasukan mereka untuk mengekalkan Joan Mir dan Alex Rins yang kontraknya tamat pada penghujung musim ini.

Dipetik daripada The-Race, keputusan itu diambil terus oleh ibu pejabat Suzuki di Jepun tanpa melibatkan pasukan Suzuki Ecstar dalam MotoGP.

Anggota pasukan termasuk Mir dan Rins hanya mengetahui perkara itu pada baru baru ini selepas aksi pusingan percubaan yang berlangsung Isnin lalu di Jerez.

Bagi Suzuki yang telah memenangi tujuh gelaran kelas perdana, ini bukan kali pertama mereka menarik diri daripada pertandingan itu.

Pada penghujung musim 2011, Suzuki tiba-tiba mengumumkan bahawa mereka akan menarik diri daripada MotoGP walaupun telah mengambil pelumba untuk musim berikutnya.

Langkah Suzuki ketika itu kerana krisis kewangan global yang turut memberi kesan kepada paddock MotoGP.

Pengumuman rasmi mengenai penarikan diri oleh pasukan Suzuki Ecstar dari kejuaraan musim depan dijangka dikeluarkan pada masa terdekat.

Jika Suzuki menari diri, Joan Mir dan Alex Rins pastinya akan menjadi pelumba yang hangat menjadi rebutan pasukan lain.

Joan Mir merupakan juara dunia pertama untuk Suzuki dalam era MotoGP.

Mir sudah dikaitkan dengan pasukan lain seperti Repsol Honda bagi menggantikan Pol Espargaro.

Baca yang lain

Sancho Tak Mahu Pulang Ke United

Koresponden Patrick Berger mendedahkan bahawa Jadon Sancho sudah tak ada hati untuk bermain untuk Manchester United lagi. Pemain itu tidak mahu kembali