‘Valentino Rossi Lagi Besar Daripada MotoGP, Dia Menaikkan Jenama Ini’ – Lin Jarvis

Siri dokumentari khas Valentino Rossi dan Marc Marquez yang dikeluarkan oleh DAZN, ‘Ruta 46-Ruta 93, El Camino de Dos Mitos’ (Route 46-Route 93, Journey of Two Legends) menceritakan banyak perkara menarik.

Salah satu daripadanya adalah mengenai populariti Valentino Rossi di dalam acara MotoGP. Sememangnya tidak dapat dinafikan The Doctor merupakan pelumba motosikal paling berpengaruh dan popular dalam sejarah.

Beliau malah menjadi inspirasi banyak pelumba generasi baharu pada hari ini. Bos Yamaha iaitu Lin Jarvis dalam dokumentari tersebut melabel Rossi lebih besar daripada MotoGP.

Jarvis menganggap Rossi adalah jenama yang sangat penting dalam membawa naik nama MotoGP. Di mana beliau berpendapat, tak semua orang kenal MotoGP tetapi semua orang akan kenal Valentino Rossi.

Jarvis memaksudkan, ramai orang di luar sana yang hanya mengetahui MotoGP. Namun informasi lain di dalamnya, mereka kurang arif. Sebaliknya mereka akan sentiasa tahu nama Valentino Rossi.

“Jika anda bertanya mengenai MotoGP, tidak semua orang tahu itu, tetapi jika anda bertanya mengenai Valentino Rossi, semua orang mengenalinya,” kata Lin Jarvis.

Salah seorang pesaing Valentino Rossi dalam acara MotoGP, Andrea Dovizioso juga mengiktiraf sumbangan Rossi kepada MotoGP.

Menurut Dovizioso, selaku pelumba dan pengikut MotoGP dari kecil, beliau berterima kasih atas sumbangan Rossi dalam membantu memberikan kesedaran kepada dunia dan menaikkan nama MotoGP.

“Dahulu, sukan yang kita terlibat ini adalah sukan khas untuk golongan tertentu. Dan sekarang diikuti oleh kanak kanak sehingga ke nenek tu. Dari golongan muda sehinggalah mereka yang berusia 80 tahun,” kata Andrea Dovizioso.

Rakan karib Valentino Rossi, Alessio Salucci, menyatakan harinya akan tiba juga, Rossi akan meninggalkan MotoGP. Namun beliau yakin The Doctor akan meninggalkan legenda yang tidak ada gantinya.

“Legasi adalah banyak perkara: kemenangan, peminat, keseronokan di trek. Membangun bersa-sama, sama ada berlumba di MotoGP atau bahkan ketika berada di akademi (VR46),” kata Salucci.

Valentino Rossi sendiri telah menyiapkan rancangan sekiranya dia bersara dari acara MotoGP. Dia mahu memastikan pasukannya, SKY VR46, untuk berada di kelas perdana MotoGP.”

Ini bermakna bahawa walaupun anda bersara, nama Valentino Rossi akan tetap berada di landasan. Berita baik untuk acara MotoGP.