[VIDEO] Netizen Keliru Bagaimana Situasi Sepakan Penjuru Ini Boleh Ofsaid?

Pasukan Itali membuka kempen Euro 2020 mereka dengan langkah kanan apabila dengan bersahaja menewaskan Turki 3-0 di Stadio Olimpico. Itali mendominasi perlawanan dari sepak mula dan usaha mereka berhasil apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-53.

Pemain pertahanan tengah Juventus, Merih Demiral, muncul penjaring pertama kejohanan kali ini selepas dia tertampan bola hantaran silang daripad Domenico Berardi ke gawang sendiri.

13 minit kemudian, Itali menggandakan kelebihan mereka dan kali ini pemain mereka sendiri yang menjaringkan gol.

Penyerang bintang, Ciro Immobile, menolak bola yang muntah di dalam kotak 6-ela pasukan Turki sekaligus menggamatkan lagi suasana di stadium.

Pada minit ke-79, bintang Napoli Lorenzo Insigne telah memastikan kemenangan bergaya buat Azzuri selepas sepakan lencongnya menerjah jaring, hadiah daripada kesilapan penjaga gol Tukri Ugurcan Cakir.

Tetapi, di sebalik kemeriahan dalam kemenangan Itali tersebut, terselit satu detik lucu dan pelik lantas  mengundang perdebatan pakar bola sepak atas talian di seluruh dunia.

Pada minit-minit awal separuh masa kedua, Itali berjaya mendapatkan tendangan sudut. Ketika inilah detik pelik dan kelakar berlaku.

Insigne dilihat akan mengambil tendangan sudut tersebut, dengan Berardi berada di sebelahnya tanpa menjaga SOP jarak fizikal.

Tidak semena-mena, Insigne menolak bola kepada Berardi yang berada di luar garisan. Selepas itu, pembantu pengadil mengangkat bendera menandakan Berardi telah berada dalam keadaan ofsaid.

Situasi ini jika berlaku dalam adegan sepakan percuma pasti tidak akan mengundang sebarang cakap-cakap belakang, namun ini berlaku ketika tendangan sudut.

Macamana boleh ofsaid?

Seorang pakar undang-undang bola sepak atas talian telah berkongsi tangkap layar daripada laman web IFAB yang mengatakan bahawa ofsaid tidak akan terjadi jika pemain menerima bola dalam tiga situasi

1- Tendangan gol

2- Lontaran ke dalam

3- Tendangan sudut

Malah ramai lagi orang mempersoalkan tindakan pengadil tersebut dan melabelkan pengadil tidak tahu peraturan sebenar.

Bagi meredakan keadaan, editor ESPN, Dale Johnson, mengatakan bahawa Berardi yang salah kerana membuat keputusan yang tidak bijak.

Bukan ofsaid tetapi foul play

“Jadi dalam perbincangan ofsaid ini..kata kuncinya adalah Berardi berada di BELAKANG bola ketika bola dimainkan.”

“Itu satu-satunya alasan untuk dia tidak ofsaid. Ya, dia boleh ofsaid dalam gerakan ini. Tapi dia di belakang bola yang dihantar. Berbalik kepada keputusan yang salah,” katanya.

Selepas semakan dibuat dalam kitab bola sepak Law of The Game, sebenarnya kesalahan Berardi bukanlah kerana ofsaid atau tidak. Tetapi lebih kepada kedudukannya di luar padang.

Dalam kitab tersebut, pada muka surat 101, Perkara 4 Perenggan 3 menyatakan;

“Seseorang pemain yang menyerang boleh melangkah atau berada di luar padang permainan dan tidak terlibat dengan situasi yang aktif(active play).

“Kalau pemain itu masuk semula ke padang dari garisan gol dan menjadi terlibat dalam permainan sebelum pemberhentian permainan atau pihak yang bertahan telah memainkan bola sampai ke arah garisan tengah dan bola di luar kotak penalti, pemain yang berada di atas garisan gol patut dikira berada dalam posisi ofsaid.

“Pemain yang dengan sengaja meninggalkan padang dan masuk semula tanpa keizinan pengadil dan tidak didenda ofsaid dikira mendapat kelebihan dan patut diperhatikan.”

Petikan dari Fifa.

Maksudnya, kesimpulan daripada kenyataan ini adalah;

1-Pemain tidak boleh keluar masuk ke padang sesuka hati tanpa keizinan pengaidil

2- Pemain yang berada di luar padang ketika tendangan sudut diambil dikira tidak aktif dalam permainan dan hanya akan aktif secara sah apabila bola sudahpun berada di kaki pemain pasukan yang bertahan dan sedang dimainkan ke arah garisan tengah padang dan di luar kotak penalti.

Faham tak?

Semoga terungkai misteri ini.

Artikel dikelepet dari: The Sukan

Sumber : FIFA, IFAB, SportBible

 

Baca yang lain