1 Gol Jahat + 1 Assist Rendah Hati, Bukti Rahsia Benfica Benar Benar Dalam Kocek Luis Diaz

Ada satu kisah lucu sebelum perlawanan antara Benfica dan Liverpool. Di mana Jurgen Klopp menyatakan bahawa Luis Diaz berkongsi dengannya rahsia taktikal Benfica.

Luis Diaz sebelum ini bermain dalam Liga Portugis. Jadi tiada pemain lain lebih kenal dengan Benfica berbandingnya.

Dia juga tak pernah kalah dalam pertemuan dengan Benfica di dalam kariernya.

Klopp menyatakan bahawa, Diaz memang cuba membantu memberikan nasihat tentang taktikal Benfica. Malangnya Klopp tak faham dengan apa yang dicakapkannya.

Klopp berkata: “Dia cuba [memberitahu saya] 10 minit, malangnya saya tak faham sepatah haram pun apa dia katakan.”

Sebelum sepak mula, satu video aksi Diaz bertemu dengan Benfica telah dimuat naik. Ternyata Diaz menjadi pemain yang dibenci pertahanan Benfica.

Dalam aksi berdepan Benfica pada aksi suku akhir UCL pula, Diaz membuktikan bahawa dia benar benar arif dengan corak permainan lawan.

Diaz menjadi ancaman utama Benfica dengan kelincahan dan kelicikannya.

Konate meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-17.

Gol kedua Liverpool adalah berpunca daripada hantaran kunci yang sangat cantik daripada Trent Alexander Arnold kepada Luis Diaz.

Diaz dengan tidak tamak dan menunjukkan sisi rendah hatinya telah melorongkan bola kepada Mane yang berada di sebelah kanannya.

Mane yang menerima bola dengan mudah memasukkan bola tersebut untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak pasukan Liverpool.

Benfica sempat merapatkan kedudukan menerusi Darwin Nunez pada awal separuh masa kedua.

Namun Diaz yang memegang rahsia taktikal Benfica berjaya menewaskan Vachodimos dengan menggelecek penjaga gol itu sebaik sahaja selepas dia menewaskan perangkap ofsaid ketika menerima hantaran Naby Keita.

Diaz meraikan golnya di hadapan penyokong Benfica dan dibaling dengan objek. Cari pasal!

Diaz yang dicemuh sepanjang perlawanan oleh penyokong tuan rumah – kerana kaitannya dengan Sporting Lisbon – telah memberikan kedukaan kepada penyokong tuan rumah.

Selepas wisel penamat, Diaz dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Diaz turut mencatatkan rekod statistik yang sangat cemerlang. 92% ketepatan hantaran. 1 assist, 1 gol, 3 kali menggelecek melepasi lawan. 4 percubaan dengan 3 daripadanya adalah on target.

Diaz meneruskan rekod tanpa kalah dalam kariernya berdepan dengan Benfica.

Ketika Luis Diaz sedang dalam sesi wawancara selaku MOTM, Sadio Mane sempat meluangkan masanya untuk mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukannya itu dengan memeluknya.

Seterusnya Liverpool akan berdepan dengan Manchester City dalam aksi blockbuster Liga Perdana Inggeris. Pertemuan di antara pasukan di tangga pertama dengan yang berada di tangga kedua dalam carta Liga Perdana Inggeris musim ini, 2021/22.

Perlawanan yang mungkin akan menentukan siapakah juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Baca yang lain